Wednesday, May 6, 2015

KEDUDUKAN DALAM SEMBAHYANG

DI MANA KEDUDUKAN KITA
DALAM SEMBAHYANG

بِسْمِ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللهِ، وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ وَالاَهُ


Sembahyang itu tiang agama, kedudukannya sangat penting selepas Dua Kalimah Syahadah.  Kedudukan sembahyang itu dalam agama seperti kedudukan kepala, nisbah kepada badan.

Kerana pentingnya sembahyang itu, maka barangsiapa meninggalkannya, dia telah melakukan dosa yang paling besar, mungkar yang paling buruk dan haram yang paling dahsyat.

Allah telah menceritakan di dalam Al-Qur’an tentang nasib penghuni neraka:

مَا سَلَكَكُم فِى سَقَرَ   ¡قَالُواْ لَـم نَكُ مِنَ الـمُصَلّينَ ¡
(سورة المدثر : 42-43)

Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Saqar (neraka)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”
(Surah Al-Muddatstsir: 42-43)
Sementara itu, di antara hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan kedudukan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu ialah:

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّركِ أَو الْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ.
(رواه مسـلم)

Maksudnya: “Di antara seorang dan di antara syirik atau kufur itu ialah meninggalkan sembahyang.”
(Hadits riwayat Muslim)


لَيْسَ بَيْنَ الْعَبْدِ وَبَيْنَ الْكُفْرِ إِلاَّ تَرْكُ الصَّلاَةِ
(رواه أبو داود والنسائى)

Maksudnya: “Tidak ada di antara hamba dan di antara kufur melainkan meninggalkan sembahyang.”
(Hadits riwayat Abu Daud dan Nasâ’i)

كَانَ أَصْحَابُ مُـحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْـرَ الصَّلاَةِ.
(رواه التـرمذى)

Maksudnya: “Sahabat-sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melihat sesuatu perbuatan (jika) meninggalkannya menyebabkan kufur selain daripada sembahyang.”
(Hadits riwayat Tirmidzi)

Kepentingan sembahyang itu jika dilihat dari sudut yang lain ialah untuk melahirkan manusia mukmin yang berjaya. Di antara unsur penting kejayaan itu ialah mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.  Di samping itu sembahyang juga dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan satu sembahyang kepada sembahyang yang lain adalah menjadi tebusan dosa di antara keduanya, selama dijauhi dosa-dosa besar. Inilah di antara peranan sembahyang untuk melahirkan insan yang bertaqwa.

Oleh kerana itu, untuk mencapai matlamat yang terkandung dari tuntutan sembahyang itu, maka hendaklah sembahyang itu senantiasa dinilai, diperbaiki dari masa ke semasa.  Penilaian itu berkisar dalam perkara berikut:

(i)      Memelihara sembahyang setiap waktu,  jangan ada yang dikerjakan di luar waktu, kerana melewatkan sembahyang sehingga luput waktunya atau mengerjakan sebahagian daripadanya di luar waktunya adalah haram dan berdosa. Asas tuntutan mengerjakan sembahyang dalam waktunya itu ialah firman Allah:

حَـفِظُواْ عَلَى الصَّلَوَتِ وَالصَّلَوةُ الوُسطَى وَقُومُواْ لِلَّهِ قَنِتِينَ
(سورة البقرة : 238)     

          Tafsirnya: “Peliharalah sembahyang-sembahyang dan sembahyang wustha serta tegaklah berdiri mematuhi perintah Allah.”
(Surah Al-Baqarah:  238)

فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلف أَضَاعُواْ الصَّلَوةَ وَاتَّبَعُواْ الشَّهَوَتِ فَسَوفَ يَلقَونَ غَيـًّا
(سورة مـريـم : 59)
          Tafsirnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam  neraka).”
(Surah Maryam: 59)
         
          Menurut Ibnu Mas‘ud: “Bukanlah makna mencuaikan sembahyang itu meninggalkan seluruhnya, akan tetapi hanyalah melewatkannya dari waktunya.” Berkata pula Sa‘id bin Al-Musayyab (Imam Al-Tâbi‘în): “Seorang  itu  tidak  mengerjakan sembahyang Zhuhur sehingga datang waktu ‘Ashar dan tidak mengerjakan sembahyang‘Ashar sehingga datang waktu Maghrib ............”

(ii)     Di antara syarat memelihara dan mendirikan sembahyang itu ialah menyegerakan pelaksanaannya pada awal  waktunya,  selain  memperolehi pahala yang  besar juga untuk memperolehi atau mencari keredhaan Allah dan kasih sayangNya. Dalam kitab Nashâ’ih Al‑Diniyyah ada menyebutkan bahawa tuntutan ini berdasarkan Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

       أَوَّلُ الْوَقْتِ رِضْوَانُ اللَّهِ وَآخِرُهُ عَفْوُ اللَّهِ ، وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيُصَـلِّى الـصَّلاَةَ وَلَـمْ يُـخْرِجْهَـا عَنْ وَقْـتِـهَا ، وَلَـمَّا فَاتَـهُ مِنْ أَوَّلِ الْوَقْتِ خَـيْـرٌ لَهُ مِنَ الدُّنْيَا وَمَـا فِيْهَـا.
         
          Maksudnya: “Sembahyang pada awal waktunya mendapat keredhaan Allah, dan pada akhirnya mendapat keampunannya dan selagi seseorang hamba itu akan mengerjakan sembahyang, dan tiada meluputkannya dari waktunya, dan tiada melambatkannya pula dari awal waktunya, adalah lebih utama baginya daripada dunia dan seisinya.”

(iii)    Khusyu‘ dalam sembahyang ialah hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu sembahyang itu, sedangkan hakikat lahirnya pula ialah berdiri, membaca, ruku‘,  sujud dan lain  tugas  yang  lahir.  Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.

          Untuk lebih jelas lagi cara memelihara sembahyang itu, ialah menimbulkan khusyu‘ dalam diri dengan sebaik-baiknya, menghadirkan hati, meneliti bacaan-bacaan serta memahami makna-maknanya, merasa  rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud, meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir, dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang, meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia, dan membelakangi perbicaraan dalam diri pada waktu sembahyang.  Hendaklah segala perhatian dalam sembahyang itu tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan baik, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Ta‘ala.  Sebab sembahyang dengan hati yang lalai, dan tanpa khusyu‘ dan hadir diri adalah tiada berguna dan tidak bermanfaat.

          Akibat bersembahyang dalam keadaan lalai itu diancam oleh Allah dengan firmanNya:

فَوَيل لّلمُصَلّينَ ¡ اَلَّـذِينَ هُم عَن صَلاتِهِم سَاهُونَ ¡
 (سورة الماعون : 4-5)
         
          Tafsirnya:  “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
                                              (Surah Al-Mâ‘ûn: 4-5)

(iv)    Kekhusyu‘an sembahyang itu berkait  langsung dengan perbuatan di mana pelaksanaan sembahyang itu dilakukan dalam keadaan thuma’nînahThuma’nînah  dalam ruku‘,  sujud  dan  lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).  Jangan lupa thuma’nînah,  sembahyang seperti disimbat-simbat atau sambil lewa apatah lagi jika seperti ayam  mematuk padi tidak akan memberi makna dalam menuju kebahagiaan dan  kemenangan dunia dan akhirat, bahkan  sebaliknya suatu ancaman dan seksaan pula balasannya. Thuma’nînah itu adalah gambar awal kekhusyu‘an sembahyang itu sendiri.

          Perhatikanlah Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِنَّـمَـا الصَّلاَةُ تَـمَسْكُنٌ وَتَـخَضُّعٌ وَتَـخَشُّعٌ
(رواه الترمذى)   

          Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah ketenangan hati dan keredhaan diri serta kekhusyu‘an hati.”
(Hadits riwayat Tirmidzi)

          Suatu peristiwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat seorang yang sedang memintal-mintal janggutnya dalam sembahyang, maka ujar Baginda: “Sekiranya hati orang ini khusyu‘ nescaya khusyu‘lah seluruh anggotanya.”
          Sesungguhnya khusyu‘ itu nadi kepada kesempurnaan sembahyang, bahkan di antara syarat-syarat kemenangan orang mukmin itu ialah yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.

(v)     Selain daripada memelihara sembahyang pada tiap-tiap waktunya, maka mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu  adalah di antara syi‘ar agama. Masjid didirikan tiap-tiap kampung, mukim dan bandar supaya dapat dizahirkan  syi‘ar agama di mana di dalamnya didirikan bersembahyang berjemaah.

Selain itu, sembahyang berjemaah melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat dan lain-lain fadhilat tambahan seperti pahala kerana beri‘tikaf, pahala belajar hatta pahala kerana hadir ke masjid.

Oleh kerana itu, barangsiapa memandang sepi terhadap keuntungan akhirat yang diperolehi dari sembahyang berjemaah, padahal dia tidak perlu berpenat lelah, maka dia termasuk orang-orang yang rugi.

Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hampir-hampir membakar rumah-rumah orang yang meninggalkan sembahyang jemaah, sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadits.

Sepanjang yang diketahui, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam belum pernah meninggalkan sembahyang jemaah.  Bahkan para sahabat yang meminta keuzuran (supaya tidak) hadir ke masjid Madinah pada masa itu, telah  tidak dibenarkan oleh Baginda. Ini terdapat peristiwa bahawa Ibnu Ummi Maktum yang buta matanya telah datang mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawasanya dia tidak punya seorang pemimpin (penunjuk jalan) serta mengingatkan Baginda lagi, bahawa di kota Madinah ketika itu terdapat perigi dan binatang-binatang yang merayap.  Di samping itu pula, rumahnya terlalu jauh dari masjid, agar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dapat menguzurkannya untuk datang bersembahyang jemaah di masjid.  Mula-mula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menerima keuzurannya setelah mendengar semua alasannya. Tetapi apabila Ibnu Ummi Maktum bangun hendak pergi, lalu dia dipanggil Baginda sekali lagi.  Baginda bertanya kepadanya: “Adakah engkau dengar seruan muadzdzin Hayya ‘alâ al‑Shalâh, Hayya ‘alâ al-Falâh?” Jawab Ibnu Ummi Maktum: “Aku mendengar!” Ujar Baginda pula: “Kalau begitu, hendaklah engkau datang segera untuk bersembahyang.  Tidak ada uzur bagimu lagi.”

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُـجِبْهُ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ
 (رواه أحمد و ابن حزم)

Maksudnya: “Barangsiapa mendengar azan, lalu dia tidak memenuhi seruannya (tidak datang bersembahyang berjemaah), maka tiada sembahyang (yang sempurna) baginya melainkan kerana ada uzur.”
(Hadits riwayat Ahmad dan Ibnu Hazm)

Walau bagaimanapun seseorang itu dianggap uzur tidak dapat berjemaah ke masjid dalam perkara-perkara berikut:

(i)      Hujan yang bersangatan sampai membasahkan pakaian.

(ii)     Jalan berlumpur tidak dapat dielak dari terkena kotorannya ketika berjalan atau mudah tergelincir.

(iii)    Cuaca amat panas.

(iv)    Cuaca amat sejuk.

(v)     Amat gelap di malam hari.

(vi)    Bersangatan sakit.

(vii)   Menahan atau senantiasa berhadats,  kencing atau berak atau kentut. Sembahyang dengan menahan hadats hukumnya makruh.

(viii)  Tiada ada pakaian yang layak baginya,  sekalipun telah ada pakaian untuk  menutup auratnya.

(ix)    Takut kepada orang akan menzalimi dirinya, atau terhadap orang yang berhak dilindunginya, baik mengenai kehormatannya atau jiwa (nyawanya), mahupun hartanya.

(x)     Penghutang yang belum mampu  membayar, takut akan ditahan pemiutangnya.

(xi)    Mendampingi kerabat yang sedang sakit yang ditakuti membawa kematiannya.

(xii)   Sangat mengantuk di waktu menunggu jemaah.

(xiii)  Buta di mana tidak didapati ada orang  yang menunjuk jalan  memandu dengan upah, sekalipun dapat berjalan sendiri dengan memakai tongkat.
Keuzuran-keuzuran ini juga mengharuskan seseorang itu terlepas dari tuntutan melaksanakan sembahyang Jum‘at.

Haruslah diingat semua  uzur  di atas  ini telah menghilangkan hukum makruh kerana meninggalkan sembahyang jemaah, jika sembahyang berjemaah itu dikatakan sebagai  sunat. Dan  menghilangkan  daripada berdosa jika sembahyang berjemaah  itu dikatakan sebagai wajib.

Jika meninggalkan jemaah tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ adalah berhak menerima ancaman, maka meninggalkan sembahyang Jum‘at pula lebih-lebih lagi berhak menerima ancaman. Meninggalkan Jum‘at tanpa uzur adalah berat, suatu dosa besar,  kerana sembahyang Jum‘at itu adalah fardhu ‘ain dengan ijma‘ ulama.

Dalil fardhunya sembahyang Jum‘at itu dapat dilihat dalam firman Allah:

يـأيـُّهَـا الَّذِينَ ءَامَنُواْ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوةِ مِن يَـومِ الـجُمعَةِ فَـاسعَواْ إِلَـى ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُواْ البَيعَ ذلِكُم خَـيـر لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمُونَ
(سـورة  الجمعة : 9)

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jum‘at) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah Al-Jumu‘ah: 9)

Sementara ancaman yang dimaksudkan ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُـمَعٍ تَهَـاوُنًـا بِـهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Barangsiapa meninggalkan tiga Jum‘at berturut-turut dalam keadaan memudah-mudahkan (cuai tanpa uzur), nescaya Allah akan meterikan hatinya (menghalang dari sampai kebajikan kepadanya atau ditulis ke atasnya sebagai orang munafiq).”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Lain-lain hadits-hadits yang seumpama ini dapat dirujuk dalam kitab Al-Zawâjir.

Di antara ancaman kerana meninggalkan sembahyang tanpa uzur yang sebenar-benarnya ialah dicap sebagai seorang munafiq, penyeleweng dari jalan  benar dan hak.  Hatinya telah terlindung dari cahaya kebesaran Allah yang Maha Agung, sehingga dia tidak mengenal lagi hak-hak ketuhanan Allah, yang mana seseorang hamba tidak akan mencapai kemuliaan, kebahagiaan dan keberuntungan di dunia dan di akhirat, melainkan setelah mendirikannya, melazimkan diri dengan mengerjakannya serta senantiasa memeliharanya dengan baik. Malah tidak ada keselamatan, dan tidak ada pertolongan dari azab dan kemurkaan Allah Ta‘ala, melainkan dengan mendirikan kewajipan itu serta memeliharanya.

Dengan berpandukan keterangan-keterangan di atas, maka marilah kita sama-sama menilai sejauh mana kedudukan dan hubungan kita dengan sembahyang yang kita lakukan selama ini. Penilaian ini mudah-mudahan dapat membawa perubahan kepada yang lebih baik, apatah lagi peranan sembahyang  itu dapat memberi kesan kepada lain-lain ibadat.  Di akhirat, amal ibadat yang mula-mula sekali akan dinilai ialah sembahyang kita sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِنَّ  أَوَّلَ مَـا يُـحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَـوْمَ الْقِيَـامَةِ مِنْ عَـمَلِهِ صَلاتُهُ فَـإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْـلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَـسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَـسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَتِهِ شَىْءٌ قَـالَ الرَّبُّ: انْظُرُوا  هَـلْ لِعَبْدِى مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلُ بِهَـا مَـا انْتَقَصَ مِنَ الْفرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذلِكَ
 (رواه الـترمذى والنسائى وابن ماجه)

Maksudnya: “Perkara  yang  pertama  dihitung  ke atas seseorang hamba dari pekerjaannya di Hari Kiamat ialah sembahyangnya, jika sembahyangnya betul maka menang dan berjayalah dia, dan jika rosak (sembahyangnya), maka hampa dan rugilah dia, jika sembahyangnya kurang Allah berfirman: “Lihat oleh kamu adakah bagi hambaKu sembahyang sunat untuk menutupi (menampal) dengan sembahyang sunatnya itu apa yang kurang daripada sembahyang fardhunya, kemudian demikianlah lain-lain amalannya untuk dilihat.”
(Hadits riwayat Tirmidzi, Nasâ’i dan Ibnu Majah)





No comments:

Post a Comment