Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG SUNAT TAHIYYAT MASJID


SEMBAHYANG SUNAT TAHIYYAT MASJID DAN PERSOALANNYA



 (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sembahyang sunat Tahiyyat Masjid ialah sembahyang dua rakaat sebelum duduk apabila masuk ke dalam masjid sebagai menghormati masjid. Sembahyang ini disunatkan mengerjakannya berulang kali apabila berulangnya masuk ke dalam masjid.

Akan tetapi tidak disunatkan sembahyang sunat tahiyyat masjid dalam rumah yang disediakan untuk beribadat (ribath), sekolah, surau, di atas tanah lapang yang disediakan khas untuk mengerjakan sembahyang Hari Raya, melainkan di atas tanah yang diratakan untuk dijadikan tempat duduk (dakkah) yang diwakafkan untuk masjid maka hukumnya sama dengan hukum masjid.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ.
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang dua rakaat (tahiyyat) terlebih dahulu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang duduk sebelum mengerjakan sembahyang Tahiyyat Masjid apabila masuk ke dalam masjid. Ini adalah kerana apabila seseorang telah duduk dalam jangka masa yang lama iaitu kira-kira dalam jangka masa boleh mengerjakan sembahyang lebih dari dua rakaat sebelum mengerjakan sembahyang Tahiyyat Masjid setelah masuk masjid, atau duduk dalam jangka masa yang pendek secara sengaja, bukan kerana terlupa, maka terluputlah ke atasnya sembahyang tersebut dan tidaklah disunatkan lagi.

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala, tidak terluput sembahyang sunat Tahiyyat Masjid jika duduk kerana hendak minum, kerana minum dalam keadaan berdiri hukumnya adalah makruh.

Begitu juga, tuntutan sembahyang ini akan terluput dengan sebab berdiri di dalam masjid dalam jangka waktu yang panjang (kira-kira dalam jangka masa boleh mendirikan sembahyang lebih dari dua rakaat) sebelum sempat mendirikannya.

Akan tetapi sekiranya masjid itu terlalu luas tetapi ingin melakukan sembahyang Tahiyyat di mihrab, maka perjalanan yang jauh menuju ke mihrab itu tidaklah meluputkan tuntutan sembahyang Tahiyyat Masjid.

Surah-surah yang dibaca dan lafaz niatnya

Sunat membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlas pada rakaat kedua sebagaimana juga sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang sunat Thawaf, Istikharah, Dhuha dan seumpamanya.

Lafaz niat sembahyang sunat Tahiyyat Masjid:

أُُصَلِّيْ سُنَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

Hukum meninggalkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid

Meninggalkan sembahyang ini tanpa sebarang keuzuran seperti sakit ataupun menjadi khatib (jika masuk masjid dan terus berkhutbah) hukumnya adalah makruh.

Sunat bagi sesiapa yang meninggalkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid membaca tasbih, tahmid, tahlil dan takbir sebanyak sekali atau empat kali sebagai menggantikan tempat sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sepertimana menggantikan tempat sujud tilawah. Bacaannya ialah:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُللهِ، وَلاَ اِلََهَ إِلاَّ الله، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ.

Ertinya: “Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah maha Besar, tiada daya dan upaya hanya bagi Allah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

Menjawab azan terlebih dahulu atau terus sembahyang sunat Tahiyyat Masjid?

Seseorang yang masuk ke dalam masjid disunatkan melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid. Hukum sunat ini berlaku sebelum duduk atau sebelum diam yang lama dalam masjid. Tetapi jika azan sedang dikumandangkan ketika masuk masjid bolehkah dia berdiri sahaja untuk menjawab azan, kemudian barulah melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid setelah selesai azan?

Menurut  al-‘Allamah asy-Syeikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Asyn Rahimahullahu Ta‘ala: “Sunat menangguhkan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sehingga selesai menjawab azan.”

Asy-Syabramallisi Rahimahullahu Ta‘ala menyebutkan ketika beliau menukilkan perkataan Ibn Qasim, andainya seseorang yang memasuki masjid pada hari Jumaat ketika azan sedang dikumandangkan setelah khatib naik ke mimbar, maka bolehlah dia menjawab azan itu dengan berdiri sahaja. Kemudian selepas azan selesai barulah dia mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dengan ringkas (sekadar mengerjakan yang wajib sahaja) supaya dia sempat mendengar awal khutbah tersebut.

Adab masuk masjid ketika Khutbah Juma‘at disampaikan

Makruh melakukan sembahyang Tahiyyat Masjid ketika khutbah sudah hampir selesai kerana ditakuti akan terluput mengangkat takbiratul ihram sembahyang Jumaat bersama imam, akan tetapi jika tiada anggapan sedemikian maka tidaklah makruh bahkan sunat hukumnya melakukan sembahyang Tahiyyat Masjid atau sembahyang sunat Qabliyyah Juma‘at jika belum mengerjakannya. Sebaiknya niatkanlah sembahyang Tahiyyat Masjid bersama Qabliah Jumaat.

Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menegur seorang sahabat bernama Sulaik al-Ghathafani Radhiallahu ‘anhu kerana tidak melakukan sembahyang Tahiyyat ini. Diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَرَسُولُ اللّهِ يَخْطُبُ، فَجَلَسَ. فَقَالَ لَهُ: يَا سُلَيْكٌ، قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا. ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا.
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Pernah datang Sulaik al-Ghathafani (seorang sahabat Nabi) pada hari Juma‘at, sedang Nabi Shallalahu ‘alaihi wasallam berkhutbah, maka Sulaik pun duduk, lalu baginda bersabda kepadanya: “Hai Sulaik, bangunlah engkau kembali, lalu sembahyanglah engkau dua rakaat dan pendekkanlah bacaan pada keduanya”, kemudian baginda bersabda lagi: “Bila kamu datang pada hari Juma‘at sedang imam berkhutbah, maka hendaklah kamu sembahyang dua rakaat dan pendekkanlah bacaan pada keduanya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Adab masuk Masjid al-Haram

Sesiapa yang masuk mana-mana masjid hendaklah dia beradab dengan melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid. Tetapi jika dia masuk ke Masjidil Haram, maka adabnya ialah dengan melakukan thawaf terlebih dahulu, dan salah satu perkara yang disunatkan selepas thawaf ialah sembahyang sunat thawaf di belakang Maqam Nabi Ibrahim atau di mana-mana di sekitar Baitullah.

Oleh kerana Baitullah terletak di dalam Masjidil Haram, maka berhimpunlah di dalamnya dua tahiyyat; tahiyyat Baitullah dan tahiyyat masjid. Untuk melakukan kedua-dua jenis tahiyyat ini, jika seseorang itu thawaf bermakna dia telah melakukan tahiyyat Baitullah, dan jika sembahyang sunat thawaf, bermakna dia telah melakukan Tahiyyat Masjid. Jadi kedua-dua tahiyyat telah dapat dilakukan dan dihimpunkan.

Thawaf hanya dapat dilakukan di Baitullah, sembahyang sunat Tahiyyat Masjid boleh dilakukan di mana-mana yang dinamakan masjid.  Jika dipersoalkan mana yang lebih afdal dilakukan ketika masuk Masjidil Haram di antara thawaf atau sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, maka jawapannya ialah thawaf, bukan sembahyang Tahiyyatnya.

Imam az-Zarkasyi Rahimahullahu Ta‘ala berkata: “Sesungguhnya tahiyyat mana-mana masjid ialah sembahyang dan tahiyyat Baitullah pula ialah thawaf.” (I’lam as-Sajid, hlm.107)

Bolehkah diqadha sembahyang sunat Tahiyyat Masjid?

Sembahyang-sembahyang sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat Gerhana Matahari atau Gerhana Bulan, sembahyang sunat Istisqa' dan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, tidaklah disyari'atkan untuk menqadhanya kerana sembahyang-sembahyang sunat tersebut tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada.

Oleh yang demikian, sembahyang sunat Tahiyyat Masjid adalah di antara sembahyang yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang. Dari itu tidaklah disunatkan mengqadha sembahyang tersebut.

Adakah seseorang itu akan mendapat pahala sembahyang sunat Tahiyyat Masjid sedangkan dia tidak melakukannya dan terus sahaja melakukan sembahyang qadha atau lainnya?

Berkata ulama Syafi‘e: Tidaklah disyaratkan seseorang yang masuk masjid berniat sembahyang Tahiyyat Masjid dua rakaat, bahkan jika dia sembahyang dua rakaat dengan niat sembahyang mutlak atau sembahyang sunat rawatib atau bukan rawatib atau sembahyang fardhu tunai atau qadha atau nazar, maka memadai yang demikian itu dan baginya apa yang dia niatkan dan hasillah juga sembahyang Tahiyyat Masjid secara ‘dhimnan’ (termasuk juga).  Tiada khilaf dalam perkara ini.

Berkata lagi ulama Syafi‘e: Jikalau seseorang itu berniat sembahyang fardhu dan Tahiyyat Masjid atau sembahyang Rawatib dan Tahiyyat Masjid, maka hasil semuanya tanpa khilaf ulama. المجموع للنووى: 4: 45))

Walau bagaimanapun sembahyang Tahiyyat Masjid tidak terlaksana dengan mengerjakan sembahyang yang lain yang hanya serakaat, sembahyang jenazah, sujud tilawah dan sujud syukur.

Manakah yang lebih afdhal, sembahyang sunat Tahiyyat Masjid atau sembahyang sunat Wudhu’?

Apabila seseorang mengambil wudhu’ di luar masjid, kemudian setelah selesai mengambil wudhu’ dia masuk ke dalam masjid, apakah yang lebih utama dilakukannya, mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid atau sembahyang sunat Wudhu’?

Menurut al-Allamah asy-Shawbari Rahimahullahu Ta‘ala, memadailah dikerjakan sembahyang dua rakaat dengan meniatkan kedua-dua sembahyang sunat tersebut.

Menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullahu Ta‘ala pula, memadailah dikerjakan sembahyang dua rakaat dengan niat salah satu dari niat kedua sembahyang itu ataupun dengan meniatkan kedua-duanya.

Walaubagaimanapun adalah afdhal jika dilakukan kedua-dua sembahyang sunat tersebut dengan mendahulukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dan kemudian sembahyang sunat Wudhu’.

Keadaan afdhal ini adalah berdasarkan banyaknya amalan tersebut iaitu melakukan sembahyang empat rakaat sudah tentu lebih pahalanya daripada melakukan sembahyang dua rakaat.

Penutup

Sembahyang sunat amat besar fadhilatnya di mana selain dari mengharapkan rahmat serta maghfirah iaitu keampunan, ia juga sebagai cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Selain itu ianya juga dapat menambal mana-mana kekurangan yang mungkin tidak disedari terdapat di dalam sembahyang-sembahyang fardhu yang kita lakukan, sebagaimana riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ النَّاسُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنَ الصَّلاَةِ. قَالَ رَبُّنَاَ لِلْمَلاَئِكَةِ، وَهُوَ أَعْلَمُ: اُنْظُرُواْ فِى صَلاَةِ عَبْدِى أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا؟ فَإِنْ كَانَتْ تَامَّةًكُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً، وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا قَالَ:اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِى مِنْ تَطَوُّعٍ؟ فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ قَالَ:أَتِمُّواْ لِعَبْدِى فَرِيْضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ، ثُمَّ تُؤْخَذُ  الأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكُم.
(رواه أحمد)

Maksudnya: "Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada hari qiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada MalaikatNya, sedang Dia  Lebih Mengetahui:  "Periksa lah sembahyang hambaKu,
apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), Allah berfirman lagi: "Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat? Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian diperhitungankanlah amal perbuatan (yang lain) menurut cara sedemikian".
(Hadits riwayat Imam Ahmad)



No comments:

Post a Comment