Thursday, May 14, 2015

HARI RAYA JATUH JUMAAT

Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Juma‘at


Soalan:

Saya ingin mengetahui apakah pendapat Tuan tentang masalah ini:

          Soalan: saya pernah terbaca bahawa sekiranya Hari Raya (Aidil Fitri atau Aidil Adha) jatuh pada hari Jumaat maka jika kita telah mengerjakan sembahyang raya maka tidak lagi wajib kita mengerjakan sembahyang Jumaat. Memadai dengan bersembahyang Zohor. Adakah ini benar?

          Jawapan : Benar pendapat saudara di atas. Bagi orang yang telah mengerjakan solat sunat Hari Raya di pagi Jumaat, tidak wajib baginya untuk mengerjakan solat Jumaat, hanya wajib mengerjakan solat Zohor. Tetapi sekiranya seseorang itu tidak mengerjakan solat sunat Hari Raya, maka wajib ke atasnya solat Jumaat.

          Nota :

          1.       Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM

          2.       Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.          

Jawapan:

اَلـحَمدُ للهِ الفَتَّاحِ الوَهَّابِ الهَادِى اِلَى الحَقِّ وَالصَّوَابِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِهِ خَاتَمِ الأَنبِيَاءِ وَالرُّسُلِ، وَالِهِ وَصَحبِهِ أَجـمَعِينَ.

Sembahyang fardhu Juma‘at itu adalah fardhu ‘ain ke atas orang lelaki yang mukallaf, merdeka, muqim dan yang tiada berkeuzuran. Maka gugur tuntutan sembahyang Juma‘at itu dengan sebab masyaqqah (kesukaran) dan keuzuran yang mengharuskannya meninggalkan sembahyang Juma‘at tersebut.

Persoalan mengenai hari Raya yang jatuh pada hari Juma‘at seperti yang berlaku kepada Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura pada tahun (1 Syawal 1423H bersamaan dengan 6 Disember 2002), maka tidak gugur tuntutan sembahyang Juma‘at  dengan sebab telah bersembahyang Hari Raya kepada ahlul balad (penduduk Bandar). Berlainan halnya kepada ahlul qura (penduduk kampung), jika mereka (ahlul qura) itu telah menunaikan sembahyang Hari Raya, maka gugurlah tuntutan mengerjakan sembahyang Juma‘at itu dan harus bagi mereka (ahlul qura) itu meninggalkan sembahyang Juma‘at.

Adapun maksud ahlul qura disini termasuk orang desa, orang tinggal di pedalaman, yang tidak ada didirikan sembahyang Juma‘at di kampungnya, maka ahlul qura yang bersembahyang Hari Raya di bandar atau di kota itu akan pulang ke rumah di kampung masing-masing setelah selesai sembahyang Hari Raya.

Begitu juga jika kampung tempat mereka tinggal itu jauh; setelah mereka pulang atau sampai di rumah, jika mereka hendak kembali semula ke bandar atau ke kota, akan menghadapi masyaqqah (kepayahan) untuk bersembahyang Juma‘at.

Walaubagaimanapun adalah harus jika ahlul qura yang mengerjakan sembahyang Hari Raya itu menunggu juga di bandar untuk mengerjakan sembahyang Juma‘at bersama-sama dengan penduduk bandar atau kota itu. Jika mereka mahu pulang juga ke kampungnya, juga harus, dan dalam keadaan begini gugurlah Juma‘at untuk mereka itu.

Manakala bagi orang kampung atau orang yang tempat tinggal mereka mudah atau dekat dengan masjid, yakni tidak ada masyaqqah atau kesulitan bagi mereka untuk datang ke masjid setelah mereka pulang dari melakukan sembahyang Hari Raya, maka sama sekali tidaklah gugur kewajipan sembahyang Juma‘at  itu, kecuali jika ada sebab-sebab lain berupa uzur syara‘ yang membolehkannya untuk meninggalkan Juma‘at tersebut.

Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, khasnya di luar bandar atau di kampung-kampung, termasuk yang jauh di pedalaman pun sudah terdapat masjid untuk mendirikan  sembahyang Juma‘at. Jadi tidaklah berbangkit rukhshah (kelonggaran) untuk meninggalkan sembahyang Juma‘at  itu semata-mata kerana telah mengerjakan sembahyang Hari Raya.

Adapun dalil atau keterangan mengenai perkara ini telah dijelaskan oleh Imam asy-Syafi‘e dalam Kitab al-Umm, sebagaimana riwayat daripada ar-Rabi‘, katanya:

أَخْبَرَنَا الرَّبِيعُ قَالَ أَخْبَرَنَا الشَّافِعِيُّ قَالَ : أَخْبَرَنَا إبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ ، قَالَ: أَخْبَرَنَا إبْرَاهِيمُ بْنُ عُقْبَةَ عَنْ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ ، قَالَ : {اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم ، فَقَالَ : مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ مِنْ أَهْلِ الْعَالِيَةِ فَلْيَجْلِسْ فِي غَيْرِ حَرَجٍ}

أَخْبَرَنَا الرَّبِيعُ ، قَالَ : أَخْبَرَنَا الشَّافِعِيُّ ، قَالَ : أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ أَبِي عُبَيْدٍ مَوْلَى ابْنِ أَزْهَرَ ، قَالَ : شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَجَاءَ فَصَلَّى ، ثُمَّ انْصَرَفَ فَخَطَبَ ، فَقَالَ : " إنَّهُ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ ، فَمَنْ أَحَبَّ مِنْ أَهْلِ الْعَالِيَةِ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ فَلْيَنْتَظِرْهَا , وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَلْيَرْجِعْ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ " .

قَالَ الشَّافِعِيُّ : وَإِذَا كَانَ يَوْمُ الْفِطْرِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ صَلَّى الإِمَامُ الْعِيدَ حِينَ تَحِلُّ الصَّلاَةُ ، ثُمَّ أَذِنَ لِمَنْ حَضَرَهُ مِنْ غَيْرِ أَهْلِ الْمِصْرِ فِي أَنْ يَنْصَرِفُوا إنْ شَاءُوا إلَى أَهْلِيهِمْ , وَلاَ يَعُودُونَ إلَى الْجُمُعَةِ ، وَالاخْتِيَارُ لَهُمْ أَنْ يُقِيمُوا حَتَّى يُجَمِّعُوا أَوْ يَعُودُوا بَعْدَ انْصِرَافِهِمْ إنْ قَدَرُوا حَتَّى يُجَمِّعُوا ، وَإِنْ لَمْ يَفْعَلُوا فَلاَ حَرَجَ إنْ شَاءَ اللهُ تَعَالَى

قَالَ الشَّافِعِيُّ : وَلاَ يَجُوزُ هَذَا لأَحَدٍ مِنْ أَهْلِ الْمِصْرِ أَنْ يَدَعُوا أَنْ يُجَمِّعُوا إلاَّ مِنْ عُذْرٍ يَجُوزُ لَهُمْ بِهِ تَرْكُ الْجُمُعَةِ , وَإِنْ كَانَ يَوْمَ عِيدٍ

قَالَ الشَّافِعِيُّ : وَهَكَذَا إنْ كَانَ يَوْمَ الأَضْحَى
(موسوعة الإمام الشافعي، الكتاب الأم كتاب الصلاة: 247)

Ertinya: “Asy-Syafi‘e telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: Ibrahim bin Muhammad telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: Ibrahim bin ‘Uqbah daripada Umar bin Abdul Aziz telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: Pernah berhimpun dua hari raya (hari raya dan Juma‘at serentak) pada masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda bersabda: “Sesiapa yang suka duduk daripada Ahlul ‘Aliyah maka hendaklah dia duduk tanpa sesuatu kesulitan”.

(“Duduk” maksudnya tidak berjuma‘at. “Ahlul ‘Aliyyah” ertinya orang-orang yang tinggal di ‘Aliyah iaitu desa-desa yang jauh di luar kota Madinah)

A-Rabi‘ telah memberitakan kepada kami, beliau berkata:  Asy-Syafi‘e telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: Malik dari Ibnu Syihab dari Abi ‘Ubaid Maula ibni Azhar telah memberitakan kepada kami, beliau berkata: Aku pernah menyaksikan bersama ‘Utsman bin ‘Affan akan sembahyang Hari Raya, maka datanglah beliau lalu bersembahyang, kemudian berpaling seraya berkhutbah dengan berkata: “Sesungguhnya berhimpun bagi kamu pada hari ini dua Hari Raya, maka sesiapa yang suka di kalangan Ahlil ‘Aliyah menunggu Juma‘at, hendaklah ditunggunya, dan sesiapa yang mahu pulang, bolehlah dia pulang, sesungguhnya aku telah izinkan baginya.”


Asy-Syafi‘e berkata: “Dan apabila berlaku hari raya Fitrah itu pada hari Juma‘at, imam bersembahyang hari raya setelah masuk waktu sembahyang, kemudian dia mengizinkan orang yang hadir selain daripada orang kota, untuk berpaling (pulang) kepada keluarga mereka, (jika mereka mahu) dan mereka tidak perlu kembali lagi untuk menunaikan sembahyang Juma‘at. Maka pilihan adalah kepada mereka, sama ada terus bermukim melakukan Juma‘at, atau balik ke desa selepas menunaikan Sembahyang Hari Raya dan kembali semula ke kota untuk menunaikan sembahyang Juma‘at. Sekiranya mereka berupaya, mereka berjuma‘at. Jika mereka tidak melakukannya, maka tidaklah mengapa, insya Allahu Ta‘ala.”


Berkatalah asy-Syafi‘e: “Tidak harus (dilakukan) demikian bagi seseorang daripada ahli kota, sekiranya mereka meninggalkan untuk berhimpun (mendirikan sembahyang Juma‘at). Kecuali (terdapat) suatu keuzuran yang mengharuskan bagi mereka meninggalkan Sembahyang Juma‘at sekalipun hari itu (bertepatan dengan) hari raya.”


Berkatalah asy-Syafi‘e:“Begitu  juga (jika berlaku) pada Hari Raya Adhha.”  (Mausu‘ah al-Imam asy-Syafi‘e, al-Kitab al-Umm, Kitab ash-Sholah: 247)


Imam ar-Ramli pula berkata:


وَلَوْ وَافَقَ الْعِيدُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَحَضَرَ أَهْلُ الْقَرْيَةِ الَّذِينَ بَلَغَهُمُ النِّدَاءُ لِصَلاَةِ الْعِيدِ فَلَهُمُ الرُّجُوعُ قَبْلَ صَلاَتِهَا وَتَسْقُطُ عَنْهُمْ وَإِنْ قَرُبُوا مِنْهَا وَسَمِعُوا النِّدَاءَ وَأَمْكَنَهُمْ إدْرَاكُهَا لَوْ عَادُوا إلَيْهَا لِخَبَرِ ( مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَشْهَدَ مَعَنَا الْجُمُعَةَ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْصَرِفَ فَلْيَفْعَلْ ) رَوَاهُ أَبُو دَاوُد وَلأَنَّهُمْ لَوْ كُلِّفُوا بِعَدَمِ الرُّجُوعِ أَوْ بِالْعَودِ إلَى الْجُمُعَةِ لَشُقَّ عَلَيْهِمْ وَالْجُمُعَةُ تَسْقُطُ بِالْمَشَاقِّ

Ertinya: “Dan jika hari raya itu (jatuhnya) bertepatan dengan hari Juma‘at, lalu hadir penduduk kampung yang sampai kepada mereka seruan untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya, maka bagi mereka itu (apabila) kembali pulang (ke kampungnya) sebelum didirikan sembahyang Juma‘at, gugurlah kewajipan sembahyang Juma‘at ke atas mereka, sekalipun mereka itu hampir dengan tempat didirikan sembahyang Juma‘at  tersebut dan mendengar seruan (azan) Juma‘at. (Begitu juga gugur kewajipan Juma‘at) sekalipun jika mereka sempat mengerjakan sembahyang Juma‘at itu sekiranya mereka kembali ke kota. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis: “Sesiapa yang suka hadir bersama-sama kami untuk menunaikan sembahyang Juma‘at, hendaklah dia menunaikannya. Sesiapa yang ingin kembali pulang (ke kampung), maka lakukanlah”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud. Dan berdasarkan kepada alasan, jika mereka itu ditaklifkan (dibebankan) supaya tidak pulang atau kembali semula (ke kota), untuk menunaikan sembahyang Juma‘at, nescaya ia merupakan suatu kesukaran ke atas diri mereka sedangkan sembahyang Juma‘at itu gugur kewajipannya dengan adanya kesukaran.” (Nihayah al-Muhtaj: 2/291)

Ibnu Hajar berkata di dalam kitabnya at-Tuhfah:

وَإِنْ حَضَرُوا الْعِيْدَ الَّذِي وَافَقَ يَوْمُهُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ الاِنْصِرَافُ بَعْدَهُ قَبْلَ دُخُولِ وَقْتِهَا وَعَدَمُ الْعَوْدِ لَهَا وَاِنْ سَمِعُوا تَخْفِيْفًا عَلَيْهِمْ وَمِنْ ثَمَّ لَوْ لَمْ يَحْضُرُوا لَزِمَهُمُ الْحُضُوْرُ لِلْجُمُعَةِ عَلَى الأَوْجَهِ

Ertinya: “Dan sekiranya (penduduk kampung) itu hadir untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya yang bertepatan harinya dengan Hari Juma‘at  (dan mereka) bersurai (kembali ke kampung) selepas menunaikan sembahyang hari raya itu sebelum lagi masuk waktu untuk menunaikan sembahyang Juma‘at  dan mereka tidak kembali semula ke kota untuk menunaikan Sembahyang Juma‘at  sekalipun  mereka mendengar (seruan azan Juma‘at), itulah sebagai suatu keringanan ke atas mereka (tidak wajib atas mereka menunaikan Sembahyang Juma‘at). Akan tetapi, jika mereka tidak hadir (menunaikan sembahyang hari raya) lazim (mesti) bagi mereka hadir untuk menunaikan sembahyang Juma‘at  menurut pendapat al-awjah.” (Tuhfah Al-Muhtaj: 2/415)

Adapun keharusan bagi orang-orang kampung (ahlul qura) tidak mengerjakan sembahyang Juma‘at itu, kerana jika mereka itu terus menunggu di bandar atau kota selepas mereka mengerjakan sembahyang hari raya sehinggalah sembahyang Juma‘at, mereka sudah pasti akan terlepas keseronokan atau kegembiraan hari raya. Jika mereka itu kembali ke rumah-rumah mereka di kampung selepas sembahyang hari raya, kemudian kembali semula ke bandar atau kota untuk sembahyang Juma‘at, mereka akan menghadapi masyaqqah (kepayahan atau kesusahan), sedangkan tuntutan sembahyang Juma‘at  itu gugur dengan sebab masyaqqah berbeza dengan penduduk bandar masyaqqah itu tiada ada pada mereka. (al-Bayan Fi al-Mazhab al-Imam asy-Syafi‘e asy-Syeikh al-Jalil al-Faqeh al-‘Allamah Abi al-Hussain Yahya bin Abi al-Khair bin Salim al-‘Imrani asy-Syafi’e al-Yamani: 2/553)

Maka berdasarkan pendapat ulama-ulama mu‘tabar daripada mazhab Syafi‘e, jika Hari Raya Fitrah atau Hari Adha jatuh pada hari Juma‘at, tidaklah gugur tuntutan sembahyang Juma‘at  sekalipun telah menunaikan sembahyang Hari Raya itu secara mutlak. Kecuali bagi ahlul qura yang jauh di pendalaman dan tidak ada didirikan sembahyang Juma‘at di kampungnya, kehadiran mereka untuk hadir menunaikan sembahyang Juma‘at sangat menyusahkan.

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ


[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
(DR.) USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,

Negara Brunei Darussalam.

No comments:

Post a Comment