Thursday, May 14, 2015

WAKTU SEMBAHYANG FARDHU DAN QADHA

Adakah harus sembahyang fardhu yang lima pada akhir waktunya, dan adakah harus sembahyang qadha fardhu atau sembahyang sunat pada waktu yang diharamkan sembahyang padanya.


Soal:

1.   Adakah harus sembahyang fardhu yang lima pada akhir waktunya?

2. Adakah harus sembahyang qadha’ fardhu atau sembahyang sunat pada waktu yang diharamkan sembahyang padanya?

Jawab:

الحمد لله،  وبه نستعين على امور الدنيا والدين

1.  Adalah syari‘at Islam telah menentukan waktu-waktu bagi menunaikan sembahyang fardhu yang lima itu, bagaimana Sayyidina Jibril telah mengajar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam  akan waktu-waktu sembahyang pada siang hari Isra’ dan Mi‘raj sebelum hijrah Rasulullah ke Madinah al‑Munawwarah dan bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam  mengajar sahabat-sahabat akan waktu-waktu sembahyang menurut kitab-kitab hadits Shahîh al-Bukhari dan Muslim, iaitu:

(1)     Waktu Zohor waktunya dari tergelincir matahari dari tengah langit, berpanjang waktunya sehingga bayang sesuatu itu jadi sekadar sesuatu itu selain dari bayang zawâl, jika matahari ada tepat di tengah-tengah langit tiada miring maka tiadalah ada bayang zawâl ketika matahari itu di tengah-tengah hari, dan jika matahari itu ada miring dari tengah-tengah langit maka masa matahari itu di tengah-tengah hari, ada didapati bayang zawâl.

(2)     Umpama pada awal Julai ini, maka Zohor masuk pada pukul 12.29 tengahari maka kita cacakkan sebatang kayu lurus di tanah rata sebelum pukul 12.29 , seperti sebatang pensil kayu di atas lantai yang rata maka ada bayang maka bayang itu dinamakan dia bayang zawâl dan bayang zawâl itu tiada dikira dan dihitung dari waktu Zohor, dan apabila bayang itu lebih sedikit ke timur maka itulah awal waktu Zohor dan jika tiada ada bayang zawâl sebelum pukul 12.29 tengahari maka jika kita nampak bayang itu pergi ke timur maka itulah awal waktu Zohor pada awal Julai ini.

          Hendaklah diketahui bahawa ulama yang membuat jadual waktu sembahyang ada kalanya ia lambatkan satu dua minit dari awal waktu supaya tahqiq dan yakin masuk awal waktu sembahyang, umpamanya pada 1 Julai awal Zohor pukul 12.29 tengahari boleh jadi sebelum pukul 12.29 itu sudah masuk Zohor dan boleh jadi belum masuk Zohor.

          Kiranya hendak mengetahui dengan tepat pada masuk awal waktu dan akhir waktu mestilah menggunakan alat mengetahui waktu pada mengukur waktu-waktu sembahyang itu.

(3)     Waktu ‘Ashar, mulai dari lebih sedikit bayang sesuatu akan sesuatu itu dengan ditolak bayang zawâl jika matahari tiada tepat berada di tengah-tengah langit dan terus  waktunya sehingga tenggelam segala bulatan matahari ke dalam ufuknya.

(4)     Wakru Maghrib dari  tenggelam matahari sehingga sempurna hilang dan pergi mambang merah.

(5)     Waktu ‘Isya’ dari sesudah hilang mambang merah sehingga terbit fajar shadiq .

(6)     Waktu Subuh dari terbit sedikit fajar shadiq sehingga terbit sedikit bulatan matahari.

Hendaklah diketahui bahawa tiap-tiap waktu sembahyang itu ada mempunyai tiga waktu iaitu waktu fadhilat dan waktu haram dan waktu darurat selain dari waktu-waktu yang khas bagi tiap-tiap waktu sembahyang lima waktu itu.

1)      Waktu fadhilat itu dari awal masuk waktu, kemudian seseorang itu pergi bersuci dan menutup ‘aurat, dan yang (azan) , sembahyang sunat qabliah, dan iqamah, kemudian sembahyang fardhu yang empunya, dinamakan dia waktu fadhilat kiranya banyak dan lebih diberi pahala pada mengerjakan sembahyang pada awal waktu itu.

2)      Waktu haram itu waktu yang akhir pada mana-mana sembahyang lima waktu itu, serta tiada sempat mengerjakan semua bahagian sembahyang fardhu itu di dalam waktunya, umpama seseorang sembahyang Zohor di akhir waktu dan dia sempat mengerjakan satu raka‘at di akhir waktu Zohor, dan tiga raka‘at lagi ia kerjakan di awal waktu ‘Ashar maka sembahyangnya itu shah tetapi ia membuat haram dan dosa kerana ia mengeluarkan sebahagian dari sembahyang Zohor dari waktunya.

3)      Waktu darurat itu waktu yang akhir pada mana-mana sembahyang lima waktu, apabila hilang sesuatu mâni‘ atau sekatan dengan sempat sembahyang di dalam waktu dengan dapat mengerjakan takbîratul ihrâm atau serta lain-lain rukun, seperti berhenti haidh pada akhir waktu dan hanya sempat bertakbîratul ihrâm atau mengerjakan lain-lain rukun, seperti berhenti haidh pada akhir waktu dan hanyasempat bertakbîratul ihrâm atau mengerjakan lain-lain rukun bersama-samanya di dalam waktu itu.

Menurut pendapat al-Imam al-‘Allâmah Ibnu Hajar dalam fatwanya, tiadalah sayugia dikerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar pada akhir waktunya, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam  telah menyelar sembahyang orang munafiq, sebab orang munafiq itu menunggu matahari hendak masuk, dan apabila matahari hampir masuk, ia bangun tunggang tunggit  empat kali, tiada ia ingatkan Allah di dalam sembahyangnya itu melainkan sedikit jua, ini menurut tujuan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Maka menurut pendapat al-Imam al-‘Allâmah Ibnu Hajar yang di atas ini, tiadalah sayugia bagi seseorang sembahyang mana-mana fardhu yang lima itu pada akhir waktunya, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam  telah menyelar sembahyang orang munâfiqîn yang sembahyang pada akhir waktu ‘Ashar, dan kaola belum berjumpa perkataan ulama mengatakan makruh sembahyang di akhir waktu, akan tetapi sembahyang fardhu di akhir waktunya tiada diberi pahala bagi mengerjakan pada akhir waktu, kerana tiap-tiap bahagian waktu dari awalnya hingga akhirnya ada disediakan pahala yang khas, selain dari pahala mengerjakan sembahyang fardhu itu. Wallahu a‘lam.

2.  Hendaklah diketahui bahawa sembahyang itu haram dikerjakan pada lima waktu dikecualikan di tanah haram Makkah iaitu:

i)       Dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kadar satu tombak dan satu tombak itu kadar tujuh hasta manusia yang biasa dan satu hasta itu kira-kira 18 inci.

ii)      Waktu istiwâ’ yakni matahari di tengah-tengah langit dikecualikan pada hari Juma‘at sehingga matahari itu tergelincir atau condong ke barat.

iii)     Waktu kuning-kuningan matahari sehingga tenggelam segala bulatan matahari di ufuk.

iv)      Lepas sembahyang Subuh bagi orang yang telah sembahyang Subuh sehingga matahari terbit.

v)      Lepas sembahyang ‘Ashar sehingga tenggelam matahari.

Tiadalah haram mengerjakan sembahyang padahal sembahyang itu ada mempunyai sebab yang terdahulu atau sebab yang serta seperti sembahyang qadha’ yang wajib atau qadha’ sembahyang yang sunat, dan seperti sembahyang gerhana dan sembahyang sunat wudhu’ lepas wudhu’, sembahyang masuk rumah lepas masuk rumah dan sembahyang tahiyyat masjid lepas masuk masjid pada mana-mana waktu yang lima yang diharamkan sembahyang padanya bagaimana yang tersebut di atas ini.

Haram mengerjakan sembahyang jika sembahyang itu ada mempunyai sebab yang terkemudian dari sembahyang itu, seperti sembahyang istikharah pada mohon pilih pada membuat sesuatu perkara, kerana membuat sesuatu perkara itu dimulakan lepas sembahyang istikharah itu, dan sembahyang dua raka‘at memakai ihram, kerana memakai ihram itu setelah sembahyang dua raka‘at itu.

Yang tersebut ini dipetik dari Syarh al-Imam Ibnu Hajar pada matan Bi afdhal  al-Hadhrami.

Oleh yang demikian menurut nash yang di atas ini:

1)      Sah sembahyang fardhu di akhir waktunya dan sah sembahyang qadha’ yang wajib seperti qadha’ Zohor, atau qadha’ sembahyang yang sunat yang ada mempunyai waktu seperti qabliah dan ba‘diah pada mana-mana waktu yang lima yang diharamkan mengerjakan sembahyang padanya bagaimana yang tersebut di atas ini.

2)      Haram mengerjakan sembahyang yang mempunyai sebab yang terkemudian dari sembahyang itu seperti sembahyang istikharah dan sembahyang ihram kerana memakai kain ihram pada mana-mana waktu yang lima yang diharamkan sembahyang padanya kerana sebab kedua-dua sembahyang ini terkemudian dari sembahyang itu.

3)      Haram mengerjakan sembahyang sunat semata-mata sunat seperti sembahyang sunat semata-mata sunat (muthlaq) pada mana-mana waktu yang lima yang diharamkan sembahyang padanya kerana ia tiada mempunyai sebab sama sekali.

Pendek kata sah seseorang sembahyang akan sembahyang yang mempunyai sebab yang terdahulu atau sebab yang serta pada mana-mana salah satu waktu yang ditegah dan diharamkan sembahyang padanya, dan tiada sah seseorang itu sembahyang akan sembahyang yang tiada mempunyai sesuatu sebab atau mempunyai sebab yang terkemudian.

والله اعلم

Pejabat Mufti, Brunei

Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Utama Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz
Mufti Kerajaan Brunei



No comments:

Post a Comment