ORANG
MUDA SEMBAHYANG TIADA BERSONGKOK DAN RAMBUTNYA PANJANG MENUTUP DAHI TEMPAT
SUJUD, SEORANG MENGANGKAT TAKBIRATUL IHRAM SEMBAHYANG DENGAN NYARING
MENYEBABKAN MAKMUM SEBELAHNYA HILANG KHUSYU’, IMAM WAS-WAS MENGANGKAT TAKBIRATUL IHRAM.
Soalan:
- Pada satu hari kaola telah datang sembahyang berjemaah di masjid. Ketika hendak mendirikan sembahyang itu ada dua atau tiga orang jemaah muda tidak memakai songkok (kopiah). Rambut mereka panjang dan menutup dahi. Apakah hukum sembahyang mereka itu?
- Semasa kaola sembahyang Fardhu Juma’at kaola telah ditakdirkan berdiri bersebelahan (satu saaf) dengan seorang jemaah tua. Ketika beliau mengangkat takbir, beliau dua atau tiga kali (berulang-ulang) melakukannya dengan suara yang agak keras (nyaring) dan menyebabkan kaola hilang “khusyu” (tidak aman). Apakah hukumnya sembahyang kaola itu ?.
- Imam kelihatannya sukar untuk mengangkat niat sembahyangnya. Sehingga menyebabkan dia berulang kali melakukannya. Kaola serba salah jadinya. Terasa ingin mendirikan sembahyang seorang diri. Tetapi mengenangkan pahala jemaah itu 27 kali ganda untungnya serta tidak suka melukakan perasaannya, kaola terus menjadi makmum. Apakah hukum sembahyang kaola itu ?.
Jawab:
الحمد
لله اللهم صل وسلم على سيدنا محمد واله وصحبه ومن والاه ، اللهم هداية للصواب
1.
Sembahyang
dengan menutup anggota sujud iaitu bahagian dahi yang diletakkan diatas tikar
tempat sujud, maka sembahyang itu tiada sah, satu dari syarat sembahyang hendaklah
mana-mana bahagian dahi yang diletakkan diatas tikar sujud maka ia terbuka dan
tiada tertutup dengan rambut atau kain atau serban.
2.
Perbuatan
menganggu makmum lain dengan suara yang nyaring oleh seseorang makmum itu
adalah makruh dan kata setengah-setengah ‘Ulama adalah ia haram.
Berkataقطب الدعوة الإرشاد Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad
Al-Haddad dalam kitabnya: النصائح
الدينية .
Dari
perkara yang sangat-sangat mungkar dan dari sebesar-besar dosa besar dan
seburuk-buruk perkara haram ialah meninggalkan oleh setengah-setengah orang
Islam akan sembahyang yang fardhu lima waktu, telah datang Hadits-Hadits Shahih
daripada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menyatakan kufur orang yang
meninggalkan sembahyang fardhu itu.
Sabda
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
العهد الذي بيننا وبينهم الصلاة ، فمن تركها
فقد كفر
Ertinya: Aman
atau tanggungjawab diantara kita orang Islam dengan mereka orang kafir ialah
sembahyang, maka barang siapa meninggalkan sembahyang, maka dia telah menjadi
kafir.
Sabda
Rasulullah:
من ترك الصلاة متعمدا فقد كفر جهارا
Ertinya: Barang
siapa meninggalkan sembahyang dengan senghaja, maka sesungguhnya ia telah
menjadi kafir dengan terang-terang.
Pada suatu Hadits yang lain:
من ترك الصلاة متعمدا فقد
برئت منه ذمة الله وذمة رسوله
Ertinya: Barang
siapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah lepas
dan keluar dari tanggongan Allah dan tanggongan Rasulnya.
Sabda Rasulullah :
من حافظ على الصلاة كانت له نورا وبرهانا ونجاة يوم القيامة
، ومن لم يحافظ عليها لم تكن له نورا ولا برهانا ولا نجاة ، وكان يوم القيامة مع
فرعون وقارون وهامان وأبي بن خلف.
Ertinya: “Barangsiapa memelihara sembahyang, maka
adalah sembahyang itu menjadi nur kepadanya, dalil dan hujah, dan selamat
baginya Hari Qiamat, dan barangsiapa tiada memelihara sembahyang maka tiadalah
baginya nur, dan tiada ada hujjah baginya, dan tiada ada selamat baginya dan
adalah dia pada Hari Qiamat bersama-sama Fir‘aun, Qarun, dan haman (Menteri
Fir‘aun) dan Ubai bin Khalaf.
Rasulullah
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menegaskan akan kufur
orang yang meninggalkan sembahyang lima waktu, begitu juga telah datang
daripada sahabat-sahabat dan Ulama Assalafushshalih, mengatakan kufur
orang Islam yang meninggalkan sembahyang, sehingga mereka berkata: Saya tiada
dengar sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
berkata pada suatu perkara atau suatu ‘amal, kiranya ditinggalkan menjadikan
kufur.
Sekarang
jauhi oleh mu jangan meninggalkan sembahyang atau meninggalkan sesuatu dari
sembahyang itu, maka kiranya kamu lakukan, maka kamu tentu akan binasa masuk
dalam golongan orang-orang yang binasa, rugilah kamu di dunia dan di akhirat
dengan sebesar-besar rugi dan binasa (kerana sembahyang itu Tiang Ugama Islam).
Sebagaimana
wajib keatas kamu memelihara sembahyang, maka wajib diatas kamu jangan
mencuaikan sembahyang, begitu juga wajib diatas kamu mengerasi diatas ahli
rumah kamu, dan anak-anak kamu, dan siapa jua yang kamu ada berkuasa diatas
mereka, mengerah mendirikan sembahyang, dan jangan kamu terima suatu uzur pada
tiada mendirikan sembahyang, dan barangsiapa daripada mereka yang tiada
mendengar kata, maka hendaklah kamu beri amaran kepadanya, dan kamu marah akan
mereka lebih dari kamu marah apabila harta kamu dibinasakan, kiranya kamu tiada
berbuat begitu, maka kamu adalah orang yang meringan-ringankan kewajiran Allah
dan ugama Allah dan Iman .
Barangsiapa
tiada mengikut kata kamu, dan ia tiada insaf, halaukan dia, kerana dia itu
syaitan, tiada ada kebajikan padanya dan tiada ada berkat padanya, dan haram
diatas kamu berbuat baik kepadanya dan melayankannya, dan wajib diatas kamu
tinggalkan dia, kerana dia orang‑orang yang melawan Allah dan Rasulnya.
Firman
Allah:
surah
al-Mujadalah: ayat 22
Tafsirnya:
Kamu tiada dapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan pada hari Qiamat
kasih dan berkawan dengan mereka yang melawan Allah dan Rasulnya, sekalipun
mereka bapa-bapa mereka atau anak-anak mereka atau saudara mereka atau saudara
mara mereka atau kaum mereka.
Maka
Allah Ta‘ala telah nafikan iman diantara orang yang kasihkan Allah dan Rasulnya
dengan orang yang melawan Allah dan Rasulnya sekalipun mereka sedekat-dekat
orang kepadanya.
Adapun
orang awam yang lalai yang tenggelam dalam syahwat dan dunianya, walau
bagaimanapun sembahyang telah luput daripada mereka, maka hendaklah mereka
qadhakan sembahyang itu serta ia bertaubat dan mengaku salah dan berhenti dari
membuat salah dan tiada dan tiada sembahyang itu, dan mencuaikan sembahyang itu
tiada boleh, dan mengeluarkan dari sembahyang dari waktunya adalah suatu dosa
yang besar, sekalipun ia bersegera qadhakan sembahyang itu.
Tiadalah
ada sesuatu uzur dengan sebab sibuk mengerjakan perkara hal dunia, dan
lain-lain perkara, lalu ia lalai dari waktu sembahyang dan dari sembahyang,
sehingga luput sembahyang itu.
Hendaklah
diketahui tiada ada sesuatu uzur pada meninggalkan sembahyang melainkan uzurnya
sebab tidur dan sebab lupa akan waktu sembahyang dan sembahyang itu. Itulah dua uzur
pada meluputkan sembahyang.
Wajib diatas pegawai-pegawai kerajaan yakni
pegawai-pegawai daerah dan penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong,
ketua-ketua asrama, ketua-ketua pejabat mengarahkan orang awam dan orang
dibawah kuasa mereka pada mendirikan sembahyang fardhu yang lima, dan wajib
diatas pemerintah menghukum orang yang meninggalkan sembahyang itu dengan cara
malas itu dengan hukum bunuh, setelah diminta daripada yang meninggalkan
sembahyang itu bertaubat dan kembali pada mengerjakan sembahyang dan dia degil
tiada mahu bertaubat dan sembahyang.
Pegawai-pegawai
kerajaan dan ketua-ketua pejabat dan penghulu‑penghulu dan ketua-ketua kampong
menanggung dosa, apabila meraka diam diri padahal ia tahu ada orang mencuaikan
sembahyang, dan mereka cuai pada menyuruh itu dan tiada sesuatu kebenaran dan
kelonggaran pada diam diri dan tiada menyuruh sembahyang itu, dan juga pada
lain-lain perkara ugama. Al-Hamdulillah tamat kata al-Habib ‘Abdullah al-Hadad
yang panjang dan tepat dan cermat dan berhati-hati pada nasihatnya itu والله أعلم وهو ولى التوفيق . al-Habib ‘Abdullah al-Hadad itu telah mati
pada tahun 1132H di Negeri tarim Hadhar Maut Selatan Tanah Arab Rahimahullahu
Ta‘ala.
3. Sunat bertutur dengan niat sembahyang
seperti ia kata أصلى فرض الظهر مأموما ertinya sahaja
aku sembahyang Fardhu Zuhur Makmuman kerana bertutur dengan niat itu sebelum
mengucap Takbiratul Ihram iaitu Allahu Akbar, supaya lidah itu menolong hati
pada niat, dan kerana berbuat begitu menjauhkan was-was hati yang digoda oleh
Syaitan bahawa katanya niat sembahyang kamu itu belum sah. Dan kiaskan kata أصلى فرض العصر dan al-Maghrib dan al-Isya’ dengan kata أصلى فرض الظهر مأموما dan pada Jumaat أصلى فرض الجمعة إماما Imam (bagi Imam) dan مأموما
(bagi Makmum).
Wajib
disertakan niat hati iaitu sahaja aku sembahyang fardu zuhur makmum dengan
Takbiratul Ihram “Allahhu Akbar”. Iaitu orang sembahyang itu menghadirkan dalam
ingatannya akan niat yang tersebut dari mula ia Takbir Allahhu Akbar dan jangan
ia lalai sehingga selesai Takbir Allahhu Akbar itu.
Kata al-Imam an-Nawawi dan Ibnu Ref‘ah dan
as-Subki mengikut pendapat al-Imam al-Ghazali dan Imam al-Haramain memadalah
serta niat dengan takbir itu dengan serta عرفي
atau مقارنة عرفية
bagi orang awam seperti kebanyakkan orang Islam sekira-kira dikatakan dia telah
menghadirkan qashadkan sembahyang Fardhu Zhuhur atau ‘Ashar atau lain Imam atau
makmum dalam hati berserta dengan Takbir Allahu Akbar itu.
Berkata Al-Imam Al-Qalyubi مقارنة عرفية
itu iaitu ia tiada lalai dengan mengingatkan niat ketika menyebut Allahu Akbar
itu serta ia bersungguh-sungguh pada ingatkan niat itu.
Kalau imam dalam soal ini memakai مقارنة عرفية maka dia tiada akan berulang-ulang kali mengucap Takbiratul Ihram
ketika ia hendak mulakan sembahyang fardhu yang dihadapannya itu dan merisaukan
ma’mun yang ada berdiri dibelakangnya itu.
Dan
sembahyang di belakang imam itu adalah shah dan dapat pahala jemaah kiranya ada
cukup syarath rukun dan ikhlas dan khusyu‘ dalam sembahyang makmum yang
mengikut imam itu dan dapat pahala di atas sabarnya pada sembahyang berjema‘ah
dengan imam itu.
والله
أعلم
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI
ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara
Brunei Darussalam
|
Pejabat Mufti, Brunei
|
Mufti Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment