Wednesday, May 6, 2015

ISU-ISU LUPA DALAM SEMBAHYANG



 ISU-ISU LUPA DALAM SEMBAHYANG



بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

Memang tidak dinafikan bahawa lupa itu sering terjadi pada manusia. Dalam pandangan Islam orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan. Sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh  Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

إِنَّ اللهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
(رواه ابن ماجه)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku  kerana tersilap, lupa dan yang dipaksa ke atasnya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Lupa itu berlaku dalam semua perkara termasuk lupa  dalam sembahyang. Umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat sembahyang. Untuk lebih jelasnya, dihuraikan beberapa contoh-contoh lupa dalam sembahyang dan cara penyelesaiannya.


Contoh-Contoh Lupa Syarat Sembahyang

Syarat sembahyang adalah perkara yang mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang dan ia berterusan sehingga selesai sembahyang. Sembahyang tidak akan sah jika syarat-syarat sembahyang itu tidak ditunaikan terlebih dahulu. Syarat sembahyang itu ada lima, iaitu mengetahui waktu sembahyang, menghadap kiblat, menutup aurat, suci daripada hadas dan suci daripada najis.

Antara contoh-contoh lupa melakukan syarat sembahyang itu seperti seseorang yang terlupa untuk bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar. Jika teringat dan yakin yang dia tidak berwudhu atau tidak mandi wajib, maka sembahyang yang dikerjakan dalam keadaannya yang tidak suci itu adalah tidak sah. Walau bagaimanapun dia mendapat pahala atas qashadnya (niatnya) tetapi bukan mendapat pahala atas perbuatan sembahyangnya.

Demikian juga jika dia memakai pakaian yang bernajis disebabkan lupa, sedang dia telah mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Apabila teringat dan yakin yang dia memakai pakaian yang bernajis, maka tidak sah sembahyang tersebut. Oleh yang demikian hendaklah dia mengerjakan sembahyang itu semula dengan memakai pakaian yang suci daripada najis.

Apabila seseorang tidak mengetahui sehingga dia meninggal dunia bahawa pakaian yang dipakainya ketika mengerjakan sembahyang itu ada najis, maka menurut fatwa al-Baghawi, diharapkan daripada kemurahan Allah agar tidak diambil kira. Ini kerana Allah menggugurkan dosa bagi orang yang tersilap, terlupa atau dipaksa.

Jika terjadi syak pada diri seseorang itu sama ada dia telah berwudhu ataupun tidak, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia syak pada asal bersuci sedang asalnya dia tidak bersuci. Adapun jika dia syak sama ada wudhunya batal ataupun tidak, maka sembahyangnya itu sah kerana dia syak pada batalnya wudhu sedangkan pada asalnya wudhunya itu masih ada.

Contoh-Contoh Lupa Rukun Sembahyang

Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:

i.       Rukun qalbi: Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaiu niat.
ii.      Rukun qauli: Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah.
iii.     Rukun fi‘li: Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, rukuk dan sujud.

Perkara yang sering terjadi dalam sembahyang ialah lupa melakukan tertib sembahyang, sama ada tertib di antara rukun atau tertib di antara sunat-sunat sembahyang. Tertib di antara sunat sembahyang tidak termasuk dalam rukun sembahyang, akan tetapi hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang. Seperti mendahulukan membaca at-ta‘auuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) sebelum membaca iftitah, maka dalam hal ini at-ta‘auuz itu diulang semula selepas membaca iftitah, kerana at-ta‘auuz sebelum itu tidak dikira sebagai sunat, disebabkan ia dibaca bukan pada tempatnya. Demikian juga halnya tertib di antara sunat sembahyang dan rukun sembahyang, seperti mendahulukan membaca surah al-Qur’an sebelum membaca surah al-Fatihah.

Sementara tertib di antara rukun sembahyang pula adalah termasuk rukun sembahyang. Jika tidak dilakukan tertib itu dengan senghaja umpamanya didahulukan rukun fi‘li seperti sujud sebelum rukuk atau rukuk sebelum membaca surah al-Fatihah atau mendahulukan rukun qauli iaitu memberi salam sebelum sujud, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya.

Adapun jika didahulukan rukun qauli dengan senghaja (selain memberi salam) sebelum rukun fi‘li seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud ataupun didahulukan rukun qauli sebelum rukun qauli yang lain seperti mendahulukan shalawat sebelum membaca tasyahhud, maka tidaklah batal sembahyang itu akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (shalawat) kerana ia dibaca bukan pada tempatnya dan tanpa diulang semula yang kena dahului itu (tasyahhud).

Bagaimana pula keadaannya jika terlupa melakukan rukun sembahyang kemudian teringat rukun yang tertinggal itu ketika dalam sembahyang ataupun sesudah selesai sembahyang. Oleh itu, eloklah disebutkan beberapa contoh-contoh lupa melakukan tertib di antara rukun sembahyang seperti berikut:

1.      Ingat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya

Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak sebelum sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya, maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu adalah tidak dikira. Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.

Sebagai contoh hal di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) yang lupa membaca surah al-Fatihah, kemudian teringat ketika sedang rukuk. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al-Fatihah dan rukuknya sebelum itu tidak dikira. Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.

Imam atau munfarid yang lupa melakukan rukuk, kemudian teringat ketika sedang sujud. Maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan rukuk. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.

Demikian juga halnya jika timbul syak ketika rukuk sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak, maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fatihah. Jika dia menunggu walau seketika untuk mengingati perkara yang disyakinya itu, maka batallah sembahyangnya. Berbeza halnya jika terjadi syak ketika sedang qiyam (berdiri), syak sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak. Maka dalam hal ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.

2.      Ingat Rukun Yang Tertinggal Setelah Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya

Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak setelah sampai pada rukun sepertinya (seperti yang tertinggal atau yang disyaki itu), maka memadailah rukun sepertinya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Kemudian hendaklah dilakukan baki sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaatnya, kerana perbuatan di antara rukun yang tertinggal dan rukun sepertinya itu tidak dikira. Sebelum memberi salam disunatkan sujud sahwi.

Untuk jelasnya, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) tertinggal rukuk di rakaat pertama kemudian ingat ataupun terjadi syak ketika rukuk di rakaat kedua, maka memadailah rukuk rakaat kedua itu sebagai ganti rukuk rakaat pertama yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukan antara rukuk rakaat pertama dan rukuk rakaat kedua adalah tidak dikira. Kemudian lakukanlah baki sembahyang sehingga sempurna segala rukun dan rakaat sembahyang itu.

3.      Ingat Rukun Yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam

Ingat rukun yang tertinggal sesudah memberi salam, maka dalam hal ini hendaklah dilihat kadar panjang atau pendeknya masa di antara sesudah memberi salam dan waktu ingat. Hendaklah dilihat juga jenis rukun yang tertinggal itu, sama ada ia niat dan takbiratulihram atau rukun selain keduanya. Jika yang tertinggal itu niat dan takbiratulihram, maka hendaklah diulang semula daripada awal sembahyang itu.

Adapun jika rukun yang tertinggal itu selain daripada niat dan takbiratulihram serta jangka masa di antara salam dan ingat itu pendek, dan dia tidak terkena najis serta tidak banyak berkata-kata, maka lakukanlah baki rukun yang tertinggal itu tanpa mengulang semula sembahyang. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ أَوْ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ: الصَّلاةُ يَا رَسُولَ اللهِ أَنَقَصَتْ

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لأَصْحَابِهِ: أَحَقٌّ مَا يَقُولُ؟

قَالُوا: نَعَمْ. فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami sama ada sembahyang zohor atau asar. (Pada rakaat kedua) Baginda memberi salam. Berkata Zulyadain kepada Baginda: “Apakah sembahyang dikurangkan wahai Rasulullah?”

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada sahabat-sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakannya itu?”

Mereka berkata: “Ya!” Maka Baginda menyambung sembahyang dua rakaat yang lain kemudian sujud dua kali (sujud sahwi).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Kadar jangka masa panjang dan pendek itu adalah mengikut ‘uruf. Diiktibarkan kadar masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada khabar Zulyadain. Dalam khabar Zulyadain itu menggambarkan Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zulyadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara  kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zulyadain tersebut.

Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa serakaat. Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.

4.      Makmum Terlupa Rukun Sembahyang

Apabila makmum teringat atau syak meninggalkan surah al-Fatihah sebelum dia melakukan rukuk dan selepas imam telah rukuk, maka hendaklah makmum membaca surah al-Fatihah itu dahulu kemudian bersegera mengikuti imamnya. Dalam hal ini makmum itu dimaafkan terkebelakang daripada imamnya sebanyak tiga rukun yang panjang.

Sementara jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan surah al-Fatihah selepas dia dan imam melakukan rukuk, maka janganlah makmum kembali berdiri untuk membaca surah al-Fatihah. Akan tetapi hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.

Adapun jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan rukun sembahyang selain surah al-Fatihah, maka janganlah dilakukan yang tertinggal itu, bahkan hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.

Jika makmum itu teringat meninggalkan niat dan takbiratulihram, maka batal sembahyangnya. Demikian juga jika terjadi syak meninggalkan niat dan takbiratulihram dan berpanjangan syaknya sehingga berlalu satu rukun, maka batal sembahyangnya.

Dalam hal hukum sunat melakukan sujud sahwi pula, tidak disunatkan sujud sahwi jika makmum terlupa sesuatu rukun yang ditinggalkannya ketika mengikuti imam. Ini kerana imam yang suci daripada hadas menanggung kekurangan makmum. Lain pula halnya jika makmum itu terlupa sesuatu rukun selepas salam imam, maka pada ketika itu imam tidak lagi menanggung makmumnya kerana sudah terputus qudwah (ikutan) itu.

Berlainan halnya apabila terjadi pada makmum syak dan berterusan syaknya itu sehingga selesai mengikuti imam, maka disunatkan bagi makmum itu melakukan sujud sahwi selepas disempurnakannya rukun yang disyakinya itu. Ini kerana imam tidak lagi menanggung syaknya itu bahkan dia sendiri yang menanggungnya.

5.      Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Rukun Sembahyang

Apabila imam terlupa melakukan perbuatan rukun sembahyang, maka sunat bagi makmum lelaki mengingati imam dengan bertasbih seperti katanya: “سبحان الله” atau seumpamanya dengan suara yang jahr (nyaring). Bagi makmum perempuan pula sunat menepuk tangannya iaitu menepuk zahir tapak tangan kanan dengan batin tapak tangan kiri atau sebaliknya. Menurut ulama Syafi‘eyah, jangan menepuk tangan dengan kedua-dua batin tapak tangan (bertepuk tangan), jika dilakukan demikian itu dengan niat bermain-main maka batal sembahyangnya.

Jika imam itu teringat rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya, maka hendaklah imam itu melakukan rukun tersebut. Akan tetapi jika imam itu yakin pada dirinya tidak menambah atau mengurangi rukun sembahyang, maka hendaklah dia beramal dengan keyakinan dirinya tanpa mengikut teguran makmumnya walaupun bilangan makmum itu ramai.

Dalam keadaan ini, apabila imam meninggalkan dengan senghaja atau lupa untuk melakukan perbuatan rukun sembahyang seperti imam lupa sujud kemudian dia terus berdiri dan tidak kembali kepada yang terlupa itu (sujud), maka tidak boleh makmum itu mengikuti imamnya akan tetapi hendaklah dia berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam) dan makmum menyempurnakan sembahyangnya itu dengan sembahyang seorang diri.

6.           Lupa Atau Syak Bilangan Rakaat

Seseorang yang syak bilangan rakaat ketika dalam sembahyang, umpamanya adakah dia telah melakukan tiga atau empat rakaat? Maka dalam keadaan ini hendaklah dia mengambil bilangan rakaat yang sedikit. Kemudian melakukan baki sembahyang lalu sujud sahwi sebelum salam.

Jika teringat pada rakaat yang disyakinya itu sebelum masuk pada rakaat yang lain, maka tidak disunatkan sujud sahwi. Umpamanya di rakaat ketiga terjadi syak pada dirinya sama ada dia telah melakukan tiga atau empat rakaat. Kemudian ia teringat dalam rakaat ketiga itu bahawa dia telah melakukan tiga rakaat. Maka dalam keadaan ini tidaklah disunatkan sujud sahwi. Akan tetapi jika dia teringat sesudah sampai melakukan rakaat keempat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum salam.

Adapun jika terjadi syak selepas memberi salam, sama ada syak pada bilangan rakaat sembahyang ataupun rukun yang lainnya maka tidaklah syak itu memberi kesan apa-apa terhadapnya.

Contoh-Contoh Lupa Sunat Sembahyang

Sunat-sunat sembahyang itu terbahagi kepada dua:

1.           Sunat ab‘ad. Iaitu perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
2.           Sunat hai’at. Iaitu perkara sunat yang tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.

Sunat-sunat ab‘ad itu terdiri daripada:

1.           Tasyahhud awal dan duduknya.
2.           Qunut subuh dan qunut witir, dan berdirinya.
3.           Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal.
4.           Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
5.           Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam  ketika tasyahhud akhir.
6.           Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam  ketika qunut.

Sunat-sunat hai’at pula ialah selain perkara sunat yang disebutkan di atas, antaranya seperti berikut:

1.           Mengangkat kedua belah tangan ketika takbiratulihram, ketika hendak rukuk, ketika bangkit daripada rukuk dan ketika bangkit daripada tasyahhud awal.
2.           Membaca doa iftitah.
3.           Membaca at-ta‘auuz sebelum surah al-Fatihah.
4.           Membaca ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas al-Fatihah pada dua rakaat permulaan.
5.           Melafazkan takbir ketika takbir intiqalat (takbir perpindahan daripada satu rukun ke satu rukun yang lain.
6.           Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.

Berbalik pada permasalahan apabila seseorang terlupa untuk melakukan sunat-sunat sembahyang, apakah yang perlu dilakukan jika menghadapi keadaan ini? Berikut adalah beberapa contoh lupa sunat sembahyang dan cara penyelesaiannya.

1.   Lupa Melakukan Sunat Hai’at

Jika perkara-perkara sunat hai’at ditinggalkan dengan senghaja atau tertinggal dengan sebab lupa, maka sembahyang itu tidak batal, malah tidak disunatkan sujud sahwi. Jika dilakukan juga sujud sahwi itu, sedang dia tahu perbuatan itu salah serta melakukannya dengan senghaja, maka batal sembahyangnya. Lain pula halnya, jika dia tidak mengetahui perkara itu salah atau dilakukannya kerana terlupa, maka tidak batal sembahyang tersebut.

2.   Lupa Melakukan Sunat Ab‘ad

Apabila terlupa atau senghaja meninggalkan sunat ab‘ad walau tertinggal lebih daripada satu,  maka sunat dilakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Umpamanya tertinggal tasyahhud awal, walaupun hanya sebahagian daripada tasyahhud awal itu seperti tertinggal huruf “و” dalam ayat “وأن محمدا رسول الله”, maka disunatkan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Demikian juga qunut subuh atau qunut witir (tidak termasuk qunut nazilah). Jika tertinggal walau hanya satu huruf seperti tertinggal huruf “ف” dalam ayat “فإنك تقضى ولا يقضى عليك”, maka disunatkan sujud sahwi.

3.   Ingat Sebelum Sampai Pada Rukun Sembahyang

Adapun jika teringat sunat ab‘ad yang tertinggal itu sebelum intishab (had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah) atau sebelum sempurna sujud (iaitu sebelum meletakkan kesemua tujuh anggota sujud), maka sunat kembali untuk melakukan sunat ab‘ad yang tertinggal itu.

Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian dia bangkit untuk berdiri, lalu teringat sebelum intishab, maka sunat baginya kembali untuk melakukan tasyahhud awal. Jika bangkitnya itu lebih hampir kepada berdiri berbanding dengan duduk, maka sunat dilakukan sujud sahwi kerana dia melakukan perbuatan yang bukan dalam susunan sembahyang. Adapun jika bangkitnya itu lebih hampir kepada duduk berbanding dengan berdiri ataupun sama kedudukannya, maka tidak disunatkan sujud sahwi.

Demikian juga halnya jika seseorang teringgal qunut kemudian dia menuju untuk melakukan sujud, lalu teringat sebelum sampai melakukan sujud dengan sempurna, maka sunat kembali untuk melakukan qunut yang tertinggal. Jika perbuatannya menuju kepada sujud itu sampai kepada sekurang-kurang had rukuk (bongkok badan sehingga kedua tapak tangan sampai kepada lutut), maka sunat baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah menambah satu rukuk.

4.   Ingat Setelah Sampai Pada Rukun Sembahyang

Apabila teringat sunat ab‘ad yang tertinggal itu setelah intishab atau sujud, maka tidak boleh kembali pada melakukan sunat ab‘ad tersebut. Jika dia kembali pada melakukannya sedangkan dia tahu perbuatan itu salah ataupun senghaja melakukannya, maka batal sembahyangnya itu. Di akhir rakaat pula, sunat sujud sahwi sebelum memberi salam.

Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian teringat setelah dia sampai intishab (berdiri tegak), maka tidak boleh lagi dia kembali pada melakukan tasyahhud awal. Jika dia kembali pada melakukan tasyahhud itu, maka batal sembahyangnya. Lain halnya jika dia kembali pada tasyahhud tersebut dengan sebab lupa atau tidak mengetahui akan kesalahan perbuatan itu, maka tidak batal sembahyangnya.

Demikian juga dalam keadaan terlupa membaca qunut. Apabila teringat selepas sempurna sujud, maka tidak boleh lagi kembali pada melakukan qunut tersebut.

5.   Syak Pada Meninggalkan Sunat Ab‘ad

Jika seseorang syak pada meninggalkan sunat ab‘ad, maka sunat sujud sahwi sebelum memberi salam, kerana pada asalnya dia tidak melakukan sunat ab‘ad.

Umpamanya terjadi syak pada seseorang, adakah dia telah membaca qunut ataupun tidak, atau adakah dia telah melakukan tasyahhud awal ataupun tidak, maka sunat baginya sujud sahwi.[i]

6.   Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Sunat Ab‘ad

Apabila imam tertinggal sunat ab‘ad kemudian teringat sebelum intishab atau sujud, lalu imam kembali melakukan yang tertinggal itu, maka wajib makmum mengikutinya walaupun makmum itu sudah intishab atau sujud. Jika makmum tidak kembali untuk mengikuti imamnya, maka batal sembahyangnya jika dia tidak berniat mufaraqah.

Umpamanya imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat sebelum imam intishab (berdiri tegak), lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud tersebut, maka makmum wajib mengikuti imamnya itu walaupun makmum tersebut sudah sampai pada intishab.

Adapun jika imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat setelah imam intishab, lalu imam kembali pada melakukuan tasyahhud tersebut, maka makmum tidak boleh mengikuti imamnya itu. Ini kerana jika imam itu salah ataupun senghaja kembali pada melakukan tasyahhud awal, maka sembahyang imam itu batal dan makmum tidak boleh mengikuti imam yang batal sembahyangnya. Maka dalam hal ini ada dua cara yang boleh dilakukan oleh makmum. Pertama, hendaklah makmum itu mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam). Ataupun yang kedua, makmum menunggu imamnya dengan sangkaan imam itu kembali kepada tasyahhud awal disebabkan terlupa.

Jika dalam hal imam kembali pada tasyahhud awal setelah imam intishab, lalu makmum pun mengikuti imamnya kembali pada tasyahhud tersebut, maka batal sembahyang makmum itu. Lain halnya jika makmum itu terlupa ataupun tidak tahu perbuatan itu salah, maka tidak batal sembahyangnya.

Jika makmum yang terlupa melakukan tasyahhud awal lalu makmum itu berdiri intishab sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal, maka makmum wajib kembali untuk mengikuti imamnya.

Cara Mengerjakan Sujud Sahwi

Sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila meninggalkan perkara yang disuruh dalam sembahyang ataupun membuat perkara yang dilarang sama ada ketika sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan ketika sembahyang jenazah.

Cara melakukan sujud sahwi itu ialah dengan dua kali sujud dan sekali duduk antara dua sujud tersebut. Sujud sahwi itu dilakukan sebelum memberi salam. Segala yang diwajibkan dan disunatkan dalam sujud sahwi itu serupa dengan sujud dan duduk antara dua sujud di dalam sembahyang. Hanya ada pendapat mengatakan zikir yang dibaca dalam kedua-dua sujud sahwi itu ialah “سُبْحَانَ مَن لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو”. Ini kerana zikir tersebut lebih sesuai dengan keadaannya iaitu lupa.

Wajib berniat sujud sahwi, iaitu mengqasadkan dalam hati sujud sahwi beriringan ketika hendak melakukan sujud tanpa melafazkan niat tersebut. Jika dilafazkan niat itu maka batal sembahyang.

Dengan penjelasan-penjelasan mengenai keadaan-keadaan lupa dalam sembahyang dan cara menyelesaikannya, mudah-mudahan akan menambahkan maklumat kita tentang sembahyang dan seterusnya sembahyang kita akan dilakukan dengan lebih sempurna.


































No comments:

Post a Comment