بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام
على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan
nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sembahyang secara berjama‘ah
berbanding sembahyang bersendirian atau seorang diri, sama ada bagi lelaki
mahupun perempuan, mempunyai kelebihannya serta menjanjikan fadhilat yang sangat
menguntungkan. Antaranya ganjaran pahala sebanyak 27 (dua puluh tujuh) darjat.
Perkara ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu
‘anhuma, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
صَلَاةُ الْـجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ
بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Sembahyang
berjama‘ah lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh
darjat.”
(Hadits riwayat Muslim)
Menurut pendapat yang al-azhhar (lebih kuat), yang dimaksudkan
dengan darjat itu ialah sembahyang. Manakala dalam sesetengah riwayat menyebutkan
maksud darjat itu sebagai gandaan.
Jama‘ah Yang Ramai Lebih Afdhal Berbanding Yang Sedikit
Dalam keadaan tertentu,
sembahyang secara berjama‘ah dengan bilangan yang banyak adalah lebih afdhal
daripada sembahyang secara berjama‘ah dengan bilangan yang sedikit. Telah
diriwayatkan daripada Ubay bin Ka‘b Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
وَإِنَّ صَلَاةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ
أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ ، وَصَلَاتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ ، وَمَا كَثُرَ
فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Dan
sesungguhnya sembahyang seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih
baik daripada sembahyangnya (yang dikerjakan) seorang diri. Dan sembahyangnya
(yang dikerjakan) bersama dua orang lelaki (lain) adalah lebih baik daripada
sembahyangnya (yang dikerjakan) bersama (hanya) seorang lelaki. Dan mana-mana yang
lebih banyak, maka itu adalah lebih disukai di sisi Allah Ta‘ala.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Dalam hadits di atas, maksud ‘sembahyang
seorang lelaki bersama seorang lelaki (lain) adalah lebih baik’ ialah kerana mendapat
pahala yang lebih. Manakala maksud ‘mana-mana yang lebih banyak’ ialah
sembahyang yang banyak bilangan jama‘ah di dalamnya adalah lebih disukai di
sisi Allah Ta‘ala berbanding jama‘ah yang sedikit bilangannya.
Telah disebutkan dalam kitab
al-Majmu‘ dalam Bab hai’at al-jumu‘ah bahawa sesiapa yang sembahyang
bersama-sama 10 ribu orang jama‘ah, maka baginya ganjaran 27 darjat dan sesiapa
yang sembahyang bersama-sama dua orang jama‘ah dia juga mendapat ganjaran 27
darjat. Bagaimanapun darjat-darjat orang yang sembahyang dalam keadaan pertama
(yang lebih banyak bilangannya) adalah lebih akmal atau sempurna.
Perkara ini telah dibayangkan dalam
bab yang sama mengenai ganjaran bagi mereka yang datang ke masjid pada hari
Jumaat pada awal waktu berbanding mereka yang datang pada akhir waktu.
Kedua-dua kumpulan ini sama-sama berhasil mendapat ganjaran yang asal, iaitu seekor unta ataupun
lembu atau selain keduanya, akan tetapi unta yang diperolehi oleh mereka yang
datang pada awal waktu itu lebih sempurna berbanding unta bagi mereka yang
datang pada akhir waktu. Demikian pula, bagi mereka yang datang pada waktu
pertengahan, maka mereka mendapat unta yang sederhana atau pertengahan.
Memperoleh Fadhilat Berjama‘ah
Menurut para ulama, fadhilat berjama‘ah
itu diperolehi dengan memperolehi sembahyang berjama‘ah bersama imam. Antara
caranya ialah seorang yang mengikut imam dengan mengikuti atau menyertai imam sejurus
imam mengangkat takbiratul ihram, maka dia akan memperolehi sembahyang berjama‘ah
dan fadhilat berjama‘ah. Selain itu, dia juga memperolehi fadhilat berjama‘ah
sekiranya dia sempat menyertai atau mengikut imam pada mana-mana bahagian dan
rakaat dalam sembahyang imam. Sama ada pada permulaan sembahyang atau
pertengahan, malahan sepanjang masa sembahyang dilaksanakan sekalipun sebentar
sahaja, selama mana imam belum selesai memberi salam (yang pertama) dalam
sembahyang, kecuali dalam sembahyang fardhu Jumaat sebagaimana yang akan
dijelaskan kemudian.
Maksud imam belum selesai
mengucapkan salam ialah imam belum sampai kepada huruf ‘mim’ pada lafaz ‘alaikum’
(السلام عليكم). Oleh yang demikian, sekiranya makmum tersebut mengangkat
takbiratul ihram serentak dengan permulaan imam memberi salam dan sebelum imam
sampai ke huruf ‘mim’ seperti yang dijelaskan di atas, maka dalam situasi ini
dia memperolehi jama‘ah bersama imam.
Para ulama juga memberikan
gambaran bahawa seseorang memperolehi fadhilat berjama‘ah selama mana imam
belum selesai memberi salam, sekalipun dia tidak sempat duduk bersama-sama imam.
Sebagai contoh, sebaik-baik sahaja dia sempurna mengangkat takbiratul ihram,
imam pun memberi salam.
Di sini dapat difahami bahawa sesiapa
yang menyertai imam, sama ada daripada awal sembahyang imam, pertengahan
ataupun penghujungnya, kesemua mereka (makmum) memperolehi fadhilat berjama‘ah
dan ganjaran pahala yang dijanjikan. Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa mereka
yang telah mengikuti imam dari awal sembahyang imam tersebut akan mendapat kelebihan
atau kebaikan yang lebih banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding
mereka yang terkemudian mengikut imam atau mengikut imam cuma pada sebahagian
sembahyang imam sahaja.
Perkara ini adalah berdasarkan
sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu bahawa sesiapa yang sembahyang
bersama-sama sepuluh ribu orang jama‘ah ataupun bersama-sama dua orang jama‘ah,
masing-masing memperolehi ganjaran 27 darjat. Bagaimanapun, darjat-darjat orang
yang sembahyang dalam bilangan jama‘ah yang banyak adalah lebih akmal atau
sempurna berbanding bilangan jama‘ah yang sedikit.
Memperoleh Fadhilat Berjama‘ah Dalam Sembahyang Jumaat
Bagi seseorang memperolehi
sembahyang berjama‘ah bersama imam pada sembahyang fardhu Jumaat, maka
kedudukannya adalah berbeza daripada sembahyang fardhu lima waktu. Secara
ringkas, mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat secara berjama‘ah merupakan
fardhu ‘ain. Sembahyang fardhu Jumaat disyaratkan dikerjakan secara berjama‘ah
dengan mencukupkan bilangan 40 orang jama‘ah yang sah Jumaatnya (mukallaf,
lelaki, merdeka dan bermastautin), dan bilangan ini termasuklah imam Jumaat itu
sendiri.
Untuk membolehkan seorang makmum
yang masbuk mendapati sembahyang fardhu Jumaat, maka hendaklah dia mengikut
imam sembahyang fardhu Jumaat paling kurang satu rakaat. Inilah antara
perbezaan sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang fardhu Jumaat.
Oleh yang demikian, dalam
sembahyang fardhu Jumaat, sekiranya seorang makmum sempat mengikut imam yang
akan ruku‘ pada rakaat yang kedua atau imam yang sedang ruku‘ pada rakaat yang kedua
beserta thuma’ninah, maka dia memperolehi sembahyang fardhu Jumaat,
iaitu memperolehi satu rakaat. Setelah imam selesai memberi salam, maka makmum
yang masbuk itu hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu rakaat lagi dan
kemudian memberi salam.
Sekiranya seorang makmum hanya
sempat mengikut imam setelah imam selesai ruku‘ pada rakaat kedua ataupun ketika
imam sujud pada rakaat kedua dalam sembahyang fardhu Jumaat, maka dalam keadaan
ini dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Bagaimanapun sah dia
mengikut imam tersebut, malahan dia memperolehi fadhilat berjama‘ah, sekalipun
dia tidak memperolehi sembahyang fardhu Jumaat. Oleh yang demikian, makmum tersebut
meneruskan sembahyang fardhu Jumaat yang dikerjakannya dan setelah imam sembahyang
fardhu Jumaat memberi salam, hendaklah dia menyempurnakannya menjadi empat
rakaat sembahyang fardhu Zohor, kemudian diakhiri pada rakaat ke empat dengan
salam.
Berimamkan Seorang Makmum
Melihat kepada ganjaran dan kelebihan sembahyang berjama‘ah sebagaimana
yang disebutkan dalam hadits di atas dan pandangan para ulama yang telah
disebutkan terdahulu, maka tidak hairanlah kenapa sesetengah orang melazimkan
sembahyang secara berjama‘ah serta tidak mahu melepaskan peluang untuk merebut
ganjaran tersebut.
Mengenai sembahyang berjama‘ah dan mengikut imam ini, timbul pula satu
persoalan, iaitu apakah hukumnya jika seseorang yang hendak menunaikan
sembahyang secara berjama‘ah dengan menjadikan atau mengikut seorang makmum
yang masbuk sebagai imam? Penjelasan ringkas mengenainya seperti berikut.
Untuk melakukan sembahyang secara
berjama‘ah, perlu ada seorang imam dan jama‘ah. Sembahyang berjama‘ah itu
terhasil dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun
lebih. Antara syarat sah mengikut seorang imam atau menjadikannya imam ialah
imam tersebut hendaklah bukan terdiri daripada seorang makmum dan tidak pula
ada syak atau keraguan sama ada dia seorang imam ataupun makmum.
Persoalannya bagaimanakah yang
dimaksudkan berimamkan seorang makmum itu? Sebagai contoh, Ahmad mendapati
sekumpulan orang sedang sembahyang berjama‘ah mengikut seorang imam, lalu dia menjadikan
salah seorang daripada makmum itu sebagai imam, sedangkan makmum tersebut masih
atau sedang menjadi makmum kepada imam yang sedia ada. Dalam keadaan ini, ulama
sepakat (ijma‘) mengatakan bahawa kedudukan sembahyang Ahmad dengan
berimamkan seorang makmum tersebut adalah tidak sah. Ini kerana seseorang itu tidak
boleh menjadi imam dan juga makmum dalam satu masa yang sama. Dengan kata lain,
orang yang hendak diikuti itu tidak boleh mengikut orang lain ataupun sedang
berimamkan orang lain.
Bagaimanapun maksud
‘tidak sah mengikut seorang makmum’ itu tidaklah termasuk jika makmum itu sudah
terputus daripada mengikut imam.
Sebagai contoh, Ahmad mendapati
sekumpulan orang sedang mengikut seorang imam sembahyang berjama‘ah, bukan
dalam sembahyang Jumaat. Apabila imam selesai memberi salam, salah seorang makmum
yang masbuk pun seterusnya berdiri untuk menambah dan menyempurnakan bilangan
rakaatnya. Pada ketika ini, jika Ahmad menjadikan makmum yang masbuk itu
sebagai imam, maka hukum sembahyang Ahmad adalah sah.
Inilah pendapat Imam Ibn Hajar Rahimahullah
bahawa hukum sembahyang seseorang dengan cara yang disebutkan di atas adalah
sah dan tidak dihukumkan makruh.
Berniat Menjadi Imam Pada Pertengahan Sembahyang Dan Caranya
Pada dasarnya, niat imamah atau niat menjadi imam, melainkan
dalam sembahyang fardhu Juma‘at, bukanlah suatu syarat yang menentukan sahnya
sembahyang berjama‘ah atau sebaliknya. Bagaimanapun berniat menjadi imam dalam
sembahyang adalah sunat. Perkara ini disunatkan agar dia (yang menjadi imam)
juga mendapat fadhilat berjama‘ah. Oleh yang demikian, walaupun dia (yang menjadi
imam) tidak berniat menjadi imam, sembahyang berjama‘ah itu tetap sah melainkan
dalam sembahyang Jumaat.
Oleh kerana itu, seorang yang sedang mengerjakan sembahyang secara
bersendirian, apabila datang orang lain menyertainya sebagai makmum untuk
mengerjakan sembahyang secara berjama’ah, maka sunat bagi orang yang
mengerjakan sembahyang secara bersendirian itu berniat menjadi imam.
Pada pendapat al-Qadhi Husain Rahimahullah, apabila seorang yang
sedang mengerjakan sembahyang secara bersendirian, lalu datang orang lain
menyertainya sebagai makmum, sedangkan dia (orang yang dijadikan imam) tidak
mengetahui akan perkara ini (berjama‘ah), maka dia mendapat fadhilat berjama‘ah
kerana mereka (para makmum) memperolehi fadhilat jama‘ah tersebut disebabkan
olehnya (orang yang dijadikan imam). Sekiranya dia (orang yang dijadikan imam) mengetahui
bahawa niat mereka yang menyertainya adalah untuk berjama‘ah dengannya, akan
tetapi dia tidak berniat (memasang niat) sebagai imam, maka dalam situasi ini
dia tidak memperolehi fadhilat berjama‘ah tersebut.
Selain itu, perlu juga diketahui bahawa imam sembahyang berjama‘ah akan
mendapat pahala sembahyang secara berjama‘ah bermula daripada ketika dia
berniat menjadi imam. Adapun mengenai cara memasang niat untuk menjadi imam
pada pertengahan sembahyang, maka memadailah seseorang itu berniat di dalam
hatinya untuk menjadi imam.
Walau bagaimanapun hukum niat berjama‘ah atau mengikut imam bagi makmum
adalah berbeza. Antara syarat sah sembahyang seseorang yang mengikut imam ialah
niat mengikut imam, atau niat berjama‘ah atau niat menjadi makmum. Bagi makmum,
niat mengikut imam itu dilakukan pada ketika mengangkat takbiratul ihram.
Sebagai
kesimpulan, peluang untuk melaksanakan sembahyang secara berjama‘ah itu
janganlah dilepaskan dan disia-siakan begitu sahaja melihat kepada fadhilat
yang menguntungkan yang bakal diraih. Di samping itu, dianjurkan melaksanakan
sembahyang berjama‘ah itu dalam bilangan yang lebih banyak kerana ia lebih
disukai di sisi Allah Ta‘ala dan adalah lebih afdhal dengan mendapat pahala
yang berganda.
Demikian juga, sesesorang yang mengikut imam (berjama‘ah) dari awal sembahyang imam akan mendapat kelebihan yang banyak dan ganjaran pahala yang lebih sempurna berbanding seseorang yang mengikut imam cuma dalam sebahagian sembahyang sahaja.
Sembahyang berjama‘ah itu
terhasil dengan hanya dua orang ataupun lebih. Antara syarat sah sembahyang
berjama‘ah hendaklah orang yang dijadikan imam itu bukan seorang makmum.
Bagaimanapun jika makmum itu sudah terputus daripada mengikut imamnya,
umpamanya imam selesai memberi salam dalam sembahyang dan makmum tersebut bangkit
lagi untuk menambah dan menyempurnakan rakaatnya, maka hukum berimamkan makmum
(yang masbuk) dalam keadaan sedemikian adalah sah.
No comments:
Post a Comment