Wednesday, May 6, 2015

SURAH AL-FATIHAH



SURAH AL-FATIHAH :
Persoalan Hukum Membacanya



 (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kesempurnaan membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang sangatlah dituntut kerana ianya adalah salah satu daripada rukun yang wajib dalam sembahyang.

Surah ini sangat mulia sehingga dikatakan bahawa seluruh ilmu-ilmu al-Qur’an, iaitu tauhid, ibadah, nasihat serta peringatan terkandung dalam surah yang pendek ini. Antara kemuliaannya lagi ialah Allah Subhanahu wa Taala membahagikan surah ini kepada dua bahagian; satu bahagian untukNya dan satu bahagian lagi untuk hambaNya, begitu juga ibadah sembahyang tidak akan diterima tanpanya.

Memandangkan surah al-Fatihah ini mudah dihafal dan dibaca, adakalanya faktor inilah yang mengakibatkan sebilangan orang memandang ringan akan kesempurnaannya lalu membacanya tanpa berguru atau didengarkan kepada orang yang dapat memimpinnya sebagai bacaan yang betul.

Kerana pentingnya perkara ini, kita akan cuba mengupas mengenai pembacaan surah al-Fatihah dalam sembahyang sebagai panduan untuk kita semua. 

Hukum Membaca Surah Al-Fatihah Dalam Sembahyang

Ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat bahawa membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat hukumnya adalah wajib ke atas orang yang bersembahyang sama ada imam, munfarid (orang yang sembahyang sendiri) mahupun makmum menurut pendapat yang paling shahih, sama ada dalam sembahyang sirriyah (sembahyang yang bacaannya dibaca secara perlahan) mahupun sembahyang jahriyyah (sembahyang yang bacaannya dibaca secara nyaring).

Adapun bagi orang yang masbuk pula, hukumnya tetap wajib baginya membaca al-Fatihah sekadar apa yang sempat dibacanya sebelum imam rukuk. Akan tetapi jika imam sudah rukuk, maka tidaklah perlu baginya untuk membaca surah al-Fatihah lagi, kerana bacaan surah al-Fatihah tersebut ditanggung oleh imam dan dikira baginya rakaat tersebut sebagai satu rakaat, dengan syarat makmum yang masbuk itu mestilah sempat thuma’ninah bersama imam ketika rukuk.

Bacaan surah al-Fatihah bagi makmum juga ditanggung oleh imam jika sekiranya makmum itu tidak mempunyai kesempatan membacanya ataupun tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskannya semasa qiyam imam (sebelum imam rukuk), sama ada kerana bacaan atau pergerakannya yang lambat, misalnya ketika bangun dari sujud, imam sudahpun rukuk kembali kerana pergerakan makmum yang lambat, ataupun terlupa bahawa dia sedang bersembahyang atau ragu-ragu adakah dia sudah membacanya ataupun belum sedangkan imam sudahpun rukuk. Maka dalam keuzuran-keuzuran seperti ini, bacaan surah al-Fatihah tersebut ditanggung oleh imam walaupun ianya berlaku pada setiap rakaat dalam sembahyang.

Tuntutan wajib membaca surah al-Fatihah itu dilaksanakan sama ada dengan cara hafalan ataupun ditalkinkan kepadanya (dibacakan kepadanya ketika dia bersembahyang, kemudian dia ikut membacanya) ataupun membacanya dengan cara melihat mushaf, jika dia pandai membaca. Dalam hal ini, mengadakan mushaf itu pula hukumnya adalah wajib, sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula mengadakan lampu, jika tempat dia bersembahyang itu gelap. Tujuannya ialah untuk membolehkannya membaca mushaf tersebut. Jika dia enggan melaksanakan perkara-perkara ini, sedangkan dia sebenarnya mampu, maka wajib ke atasnya mengulang semula semua sembahyang yang dikerjakannya sepanjang keengganannya melakukan perkara-perkara di atas.

Tegasnya, surah al-Fatihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, sedaya upaya yang termampu. Begitu juga usaha-usaha yang membolehkan ianya dilaksanakan, seperti mempelajarinya, mendapatkan mushaf mahupun menyediakan lampu adalah wajib jika ada kemampuan untuk melakukannya.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari ‘Ubadah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لمَ ْيَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ.
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).
(Hadits riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Bacaan Surah Al-Fatihah Yang Sempurna

Secara umumnya, bacaan surah al-Fatihah yang sempurna itu ialah dengan membacanya mengikut bacaan yang disepakati oleh ahli-ahli al-Qur’an, seperti wajib mad, idgham dan hukum-hukum tajwid yang lain.

Imam al-Baijuri ada menyebutkan secara ringkas sebelas syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang, iaitu:

1. Bacaan  yang  dapat didengar  dengan jelas oleh telinganya sendiri (bagi yang sihat pendengaran).
2.  Membaca  dengan  tertib  (tersusun   mengikut  susunan ayat-ayatnya).
3.  Membaca secara berterusan (muwalah), iaitu bacaan yang tidak terputus-putus kecuali pada kadar untuk bernafas.
4. Menjaga  segala hurufnya, termasuk sabdunya  yang empat  belas. Tiga daripadanya  terdapat pada Basmalah(بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ).
5. Tidak melakukan kesilapan dalam bacaan yang boleh menukar makna.
6. Tidak membacanya dengan bacaan yang ganjil (syadz) yang merubah makna.
7. Tidak menukar perkataan-perkataannya.
8. Membaca  setiap ayatnya termasuk  Basmalahnya, kerana ianya adalah sebahagian daripada surah al-Fatihah.
9. Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan akan hilanglah mukjizat al-Qur‘an itu.
10. Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah al-Fatihah, hendaklah membaca penggantinya dari surah-surah lain juga dalam bahasa Arab. Lainlah halnya jika gantiannya itu terdiri daripada zikir ataupun doa, kerana ianya boleh diterjemahkan jika tidak mampu membacanya dalam bahasa Arab.
11. Membacanya dalam  keadaan qiyam (berdiri). Jika  tidak mampu berdiri, maka hendaklah dibaca dalam keadaan duduk, berbaring dan sebagainya.

Kaedah Bacaan Yang Disunatkan (Afdhal)

Ada beberapa kaedah bacaan yang disunatkan menurut ulama, iaitu:-

1. Sunat waqaf pada setiap ayat, termasuk juga dalam hal ini pada ayat Basmalah sebagaimana menurut pendapat muktamad dalam kitab Fath al-Mu‘in.

Imam al-Bujairimi berkata: Pendapat yang muktamad ialah sunat waqaf pada Basmalah kerana ianya adalah satu ayat yang sempurna, dan setiap ayat yang sempurna itu disunatkan waqaf padanya.

Ini berdasarkan hadits shahih, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan cara waqaf seayat demi seayat.

Ummu Salamah Radhiallahu ’anha meriwayatkan ketika menjelaskan cara bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau berkata:

كَانَ يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةًً.
(رواه الإمام أحمد)

Maksudnya: Sesungguhnya Baginda Shallallahu ‘alaihi  wasallam memutus-mutuskan (mewaqaf) bacaannya (surah al-Fatihah) seayat demi seayat.
(Hadits riwayat Imam Ahmad)

2. Tidak waqaf pada ayat أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ)). Syeikh Ramli berkata dalam Kitab an-Nihayah: Adalah sunat untuk menyambungnya dengan ayat selepasnya kerana ayat tersebut bukanlah tempat waqaf dan bukan pula penghujung ayat.

Bagaimanapun, tidaklah merosakkan sembahyang jika waqaf dilakukan menurut Imam asy-Syabramallisi. Jika waqaf juga pada ayat أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ)), maka adalah lebih baik menyambungnya sahaja dengan ayat selepasnya.

3. Membaca secara tartil dan tidak terburu-buru sehingga merosakkan bacaan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Janganlah engkau (wahai Muhammad) – kerana hendakkan cepat menghafaz al-Qur‘an yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu oleh Jibril ‘alaihissalam).
Surah al-Qiamaah : Ayat : 16))

Sebab turunnya ayat ini, menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, ialah kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Baginda, Baginda membacanya dengan cepat sehingga memberatkan dirinya sendiri.

Firman Allah Subhanahu wa Taala lagi:

Tafsirnya: Dan al-Qur’an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat  tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.
    (Surah al-Israa’: Ayat:106)

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Syibl al-Anshari Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

اِقْرَؤُواْ الْقُرْاَنَ وَلاَ تَغْلُواْ فِيهِ.
(رواه أحمد)

Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, dan janganlah berlebih-lebih padanya (membaca pantas).
(Hadits riwayat Imam Ahmad)

Membaca surah al-Fatihah dengan tergopoh-gapah dan tidak membacanya seayat demi seayat atau membacanya tanpa berhenti langsung, khususnya semasa sembahyang Tarawih di bulan Ramadhan tidak memenuhi tuntutan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Membaca dengan tenang seayat demi seayat mengikut kaedah bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini pada hakikatnya, akan lebih mendatangkan kekhusyukkan, di samping memudahkan kita untuk merenung, menghayati serta memahami maksud ayatnya satu persatu, ataupun sekurang-kurangnya, jika tidak memahami maksud ayatnya, sebagai adab dan tanda hormat kita terhadap Kalamullah. Ini tidak syak lagi akan menimbulkan rasa kemanisan ibadah terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala

Imam Ghazali berkata: Ketahuilah bahawa sesungguhnya bacaan secara tartil itu disunatkan bukanlah semata-mata untuk merenung maksud ayatnya sahaja, bahkan orang-orang bukan Arab yang tidak memahami makna ayat al-Qur’an pun disunatkan supaya membacanya secara tartil dan tenang, kerana ini lebih menunjukkan rasa sopan dan hormat terhadap al-Qur’an, dan akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam di dalam jiwa daripada membacanya secara tergopoh-gapah dan tergesa-gesa.  

4. Mengindah dan memerdukan suara.

Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Aazib Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ.
(رواه النسائي وإبن ماجه وأحمد)

Maksudnya: Hiasilah al-Qur‘an dengan (kemerduan) suara-suara  kamu.
(Hadits riwayat Imam an-Nasa’ie, Ibnu Majah dan Ahmad)

Permasalahan Tertib Dalam Bacaan Surah Al-Fatihah

1. Wajib membaca surah al-Fatihah itu secara tertib yakni tersusun mengikut susunan bacaan yang sabit dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dengan tertib dan tersusun. Maka cara Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu wajib diikut berdasarkan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

صَلُّواْ كَمَا رَأَيْتُمُونِى أُصَلِّى.
(رواه البيهقى وإبن حبان)

Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku bersembahyang.
(Hadits riwayat Imam al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)


Jika dengan senghaja membaca dengan tidak mengikut tertib seperti mendahulukan ayat yang kemudian ataupun sebaliknya, maka batallah bacaan surah al-Fatihahnya itu, kerana membaca ayat-ayatnya bukan pada tempatnya yang betul. Sembahyangnya tidak batal jika dia isti’naf (membaca semula dari awal) surah al-Fatihah tersebut.

Adapun jika ianya tidak disenghajakan, sebagai misal jika mendahulukan  membaca (مَالِكِ يَوْمِ الدِِّينِ) dari (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ), maka cukup baginya sekadar menyambung ayat tersebut  (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ)  dengan ayat selepasnya, iaitu (مَالِكِ يَوْمِ الدِِّينِ)  tanpa perlu membaca  semula  dari  awal  surah.   Sementara   ayat (مَالِكِ يَوْمِ الدِِّينِ) yang didahulukannya itu tadi tidak dikira. Bagaimanapun, jika sudah jauh jarak waktu kesalahan tersebut berlaku, maka diwajibkan isti’naf.

Adapun jika sekiranya bacaannya itu membawa kepada perubahan makna, maka batallah sembahyangnya jika dilakukannya  secara senghaja dan dia mengetahui hukum larangan  melakukannya. Jika tidak disenghajakan dan dia tidak tahu hukumnya, maka dalam hal ini bacaannya menjadi batal dan wajib isti’naf, akan tetapi tidaklah membatalkan sembahyangnya.

2. Orang yang sudah membaca separuh daripada surah al-Fatihah, lalu dia merasa syak adakah dia sudah membaca Basmalah ataupun belum? Lalu diteruskannya juga bacaannya itu tanpa mengulangi Basmalah, kemudian dia teringat setelah selesai membaca surah al-Fatihah itu bahawa dia sudahpun membaca Basmalah, maka dalam hal ini mengikut pendapat yang awjah (paling tepat) menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, wajib membaca semula  surah al-Fatihah dari mula hingga akhir, termasuklah Basmalah.

3. Jika berlaku syak kemungkinan tertinggal suatu huruf ataupun lebih  setelah habis membaca keseluruhan surah al-Fatihah dan sebelum rukuk, maka keraguan tersebut tidak dikira kerana dia dianggap sudah membacanya dengan sempurna dan ianya dimaafkan. Berlainan halnya jika dia ragu-ragu bahawa adakah dia sudah membaca surah al-Fatihah ataupun belum? Jika ini berlaku, wajib atasnya isti’naf.

4. Jika berlaku syak tertinggal sebahagian ayat dari surah al-Fatihah setelah ianya selesai dibaca, maka keraguan itu tidak dikira kerana sudah dikira telah membacanya dengan sempurna.

Adapun jika sekiranya keraguan itu berlaku sebelum selesai membaca surah al-Fatihah, wajib baginya isti’naf  jika keraguannya itu lama. Jika keraguannya itu tidak lama, maka cukuplah baginya sekadar membaca kembali ayat yang diragukannya itu tadi dan kemudian menyambung kembali bacaannya dari ayat tersebut sehingga selesai.

Bagaimanapun, jika dia ragu-ragu kemungkinan ada tertinggal suatu ayat dari surah al-Fatihah, dan dia sendiri tidak pasti ayat yang mana satu yang berkemungkinan tertinggal itu, maka wajib  ke atasnya isti’naf.

5. Apabila orang yang membaca surah al-Fatihah dalam keadaan khayal, lalai atau kurang tumpuan, misalnya membacanya sedangkan ketika itu dia sedang berangan ataupun memikirkan perkara yang  lain, kemudian   tersedar   kembali apabila  sampai pada ayat (صِرَاطَ الَّذِينَ), lalu dia tidak yakin  dalam waktu terdekat akan kesempurnaan bacaannya ketika lalai itu (keraguannya itu lama), maka wajib atasnya isti’naf. Adapun jika dia masih yakin akan kesempurnaan bacaannya (ketika lalainya itu) dalam masa terdekat, maka bolehlah dia meneruskan sahaja bacaannya.

Permasalahan Muwalah (Berturut-Turut) Dalam Bacaan Surah Al-Fatihah

Wajib muwalah dalam bacaan kerana mengikut bacaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan sabda Baginda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِى أُصَلِّي.
(رواه البيهقى وإبن حبان)

Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku bersembahyang.
(Hadits riwayat Imam al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)

Maksud muwalah ialah membaca secara berturut-turut antara satu kalimah dengan kalimah yang lain, dan tidak memisahkan antara keduanya kecuali dalam kadar mengambil nafas.

Adapun perkara-perkara yang boleh memutuskan muwalah itu ialah:-

1. Senghaja diam dalam satu kadar masa yang lama ketika membaca surah al-Fatihah sehingga dapat dirasakan bahawa dia ingin memutuskan bacaannya, atau dapat dirasakan bahawa dia dengan rela hatinya enggan meneruskan bacaannya, maka putuslah muwalah dan batallah bacaannya, dan wajib atasnya isti’naf (mengulanginya).

Adapun jika sekiranya dia berniat untuk memutuskan bacaannya, maka putuslah muwalah walaupun dia hanya berhenti sekejap sahaja mengikut pendapat yang paling shahih dan masyhur dalam mazhab Imam asy-Syafi‘e.
Akan tetapi, jika dia berniat untuk memutuskan bacaannya sedangkan dia tidak melakukannya (tidak juga memutuskan bacaannya), maka tidak terputus muwalah tersebut.

Berlainan halnya jika orang yang diam lama kerana keuzuran, misalnya tidak tahu hukum, terlalai, gagap, banyak bersin, batuk, menguap ataupun diam kerana mengingati ayat yang terlupa; perkara-perkara seumpama ini tidak memutuskan muwalah.

2. Membaca tasbih, tahlil mahupun zikir-zikir yang lain atau membaca ayat-ayat dari surah yang lain sama ada banyak mahupun sedikit ketika membaca surah al-Fatihah. Perkara-perkara sedemikian tidak disuruh kerana boleh memutuskan muwalah.

Umpamanya juga menyahut seruan azan ketika membaca surah al-Fatihah, mengaminkan bacaan surah al-Fatihah yang dibaca oleh bukan imamnya, ataupun mengucapkan "Alhamdulillah"  ketika bersin, kerana perkara ini walaupun sunat dilakukan di luar sembahyang, ianya tidak sekali-kali diharuskan dalam sembahyang. Akan tetapi jika ianya tidak disenghajakan, misalnya kerana terlupa ataupun terlalai maka tidak terputus muwalah sebagaimana tersebut di dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Adapun perkara-perkara yang disuruh seperti mengaminkan bacaan imam, atau sujud tilawah kerana bacaan imam, atau membetulkan bacaan imam yang terhenti bacaannya kerana terlupa, sama ada surah al-Fatihah atau surah-surah yang lain, atau membaca doa memohon rahmat ketika imam membaca ayat-ayat rahmat dan membaca doa memohon perlindungan ketika dibacakan ayat-ayat azab (dalam bahasa Arab), maka menurut pendapat yang ashah (paling shahih), tidaklah memutuskan muwalah bacaan surah al-Fatihah itu. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan isti’naf  sebagai mengambil kira pendapat sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘e yang mengatakan bahawa perkara-perkara tersebut termasuk juga dalam perkara-perkara yang memutuskan muwalah. Yang demikian itu sebagai jalan keluar untuk mengelakkan dari perselisihan pendapat.

3. Membetulkan bacaan imam yang terlupa ataupun salah bacaannya sedangkan imam tersebut belum lagi berhenti membaca, yakni masih lagi mengulang-ulang bacaannya untuk mengingati ayat tersebut.

Akan tetapi, mengikut Imam asy-Syarqawi, boleh membetulkan bacaan imam yang masih lagi mengulang-ulang bacaannya jika telah sempit waktu (waktu sembahyang hampir habis).

Perlu diingat juga di sini bahawa untuk membetulkan bacaan imam, selain disyaratkan supaya memastikan imam sudah berhenti membaca, disyaratkan juga ketika membetulkan itu supaya berniat qiraah (membaca al-Qur’an) semata-mata, ataupun berniat qiraah dan membetulkan bacaan imam. Jika diniatkan untuk membetulkan bacaan imam semata-mata tanpa niat qiraah maka ianya akan menyebabkan sembahyang makmum tersebut menjadi batal sepertimana pendapat muktamad dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Permasalahan Ta’min Selepas Bacaan Surah Al-Fatihah

1. Ta’min ialah mengucapkan آمين)) setelah selesai membaca surah al-Fatihah. Hukumnya adalah sunat ke atas setiap orang yang bersembahyang setelah selesai membaca surah al-Fatihah sama ada imam, makmum, munfarid, lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang yang bersembahyang dengan cara berdiri, orang yang bersembahyang dengan cara duduk, orang yang sembahyang dengan cara berbaring, orang yang bersembahyang fardhu, orang yang bersembahyang sunat, dalam sembahyang jahriyyah mahupun dalam sembahyang sirriyyah tanpa perselisihan pendapat antara ulama mazhab asy-Syafi‘e. Ta’min juga sunat ke atas orang yang telah selesai membaca surah al-Fatihah di luar sembahyang. Bagaimanapun, menurut Imam al-Wahidi, tuntutannya dalam sembahyang adalah lebih utama.

Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

إِذَا قَالَ الإِمَامُ )غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ( فَقُولُواْ: آمِين. فَمَنْ وَافَقَ قَوْلُهُ قَوْلَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
(رواه البخاري)

Maksudnya:  Apabila  imam  membaca (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ)  
                           maka katakanlah: “Amin”. Maka sesiapa yang bertepatan ta’minnya dengan ta’min Malaikat, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.
(Hadits riwayat Imam Bukhari)

2. Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, sunat diam sekejap (dalam kadar kira-kira membaca Subhanallah) sebelum berta’min. Tujuannya supaya membezakan surah al-Fatihah dengan perkataan "Amin", kerana ianya bukanlah sebahagian daripada surah tersebut.

3. Jika sembahyang yang dikerjakan itu ialah sembahyang jahriyyah, maka bacaan ta’min pun dibaca secara jahr sebagaimana bacaan surah al-Fatihahnya dibaca secara jahr. Begitu juga sebaliknya bagi sembahyang sirriyyah, bacaan ta’min akan dibaca secara sirr, sama ada bagi imam ataupun makmum.

4. Makmum sunat menta’minkan bacaan surah al-Fatihah imam dalam sembahyang  jahriyyah sungguhpun imam itu sendiri tidak menta’minkannya, sama ada dia senghaja meninggalkannya ataupun terlupa, supaya imam itu terdengar lalu turut menta’minkannya.

5. Sunat ta’min makmum serentak dengan ta’min imam, supaya ta’min mereka itu bersamaan (satu masa yang sama) dan bertepatan dengan ta’min malaikat, kerana para malaikat ketika itu turut sama berta’min bersama imam.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam shahihnya daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُواْ، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
(رواه البخاري)

Maksudnya: Apabila imam berta’min, maka berta’minlah kamu, kerana sesungguhnya para malaikat turut sama berta’min bersama ta’min imam itu. Maka sesiapa yang bertepatan (masa) ta’minnya itu dengan ta’min para malaikat, nescaya akan diampunkan baginya  dosa-dosanya yang telah lalu.
(Hadits riwayat Imam Bukhari)

6. Jika makmum membaca surah al-Fatihah bersama-sama imam, misalnya kerana makmum tersebut tahu bahawa imam tidak akan membaca surah selepas membaca surah al-Fatihah, atau hanya akan membaca surah yang pendek dan khuatir tidak akan sempat menghabiskan surah al-Fatihah, maka jika makmum tersebut lebih dulu selesai membaca surah al-Fatihah, mengikut pendapat yang terpilih dalam mazhab asy-Syafi‘e hendaklah dia menta’minkan bacaan surah al-Fatihahnya terlebih dahulu kemudian berta’min sekali lagi setelah imam selesai  membaca surah al-Fatihah.

Imam as-Sarkhasi di dalam kitab al-Amali menyebutkan: Jika seorang makmum itu berta’min bersama imam, kemudian makmum itu membaca surah al-Fatihah, maka hendaklah makmum tersebut menta’minkan lagi bacaan surah al-Fatihahnya sendiri. Dan jika makmum itu membaca surah al-Fatihah bersama imam dan habis membaca bersama-samanya, maka adalah memadai baginya untuk berta’min sekali sahaja.

7. Sunat bagi imam supaya diam sebentar (saktah lathifah) setelah ta’min ketika sembahyang jahriyyah dalam kadar kira-kira memberi peluang kepada makmum untuk menghabiskan bacaan surah al-Fatihah mereka. Diam di sini bukanlah bermaksud diam semata-mata, akan tetapi disunatkan bagi imam pada waktu tersebut untuk membaca zikir, doa ataupun membaca ayat-ayat al-Qur’an secara sirr. Tersebut di dalam kitab Mughni al-Muhtaj dan Fath al-Mu‘in, adalah lebih awla (lebih utama) bagi imam ketika saktah lathifah itu supaya membaca ayat-ayat al-Qur’an (secara sirr).

8. Untuk menta’minkan bacaan imam dalam sembahyang jahriyyah, makmum disyaratkan supaya dapat mendengar bacaan surah al-Fatihah imam dengan bunyi suara yang jelas, iaitu sekira-kira dapat makmum itu membezakan huruf-huruf yang dibacakan oleh imam, bukannya semata-mata mengikut ta’min imam. Dan memadai bagi makmum dalam hal ini untuk mendengar imam membaca (وَلاَ الضَّالِّينَ) sahaja, tidak disyaratkan mendengar keseluruhan bacaan surah al-Fatihah imam.

9.  Ta’min  akan dikira  luput  jika dengan senghaja  diam melebihi dari kadar yang disunatkan selepas (وَلاَ الضَّالِّينَ), iaitu dalam kadar kira-kira dirasakan putus nisbah (hubungan) ta’min dengan surah al-Fatihah.

Ta’min juga luput sekiranya orang yang bersembahyang itu rukuk, atau membaca sesuatu yang lain selepas (وَلاَ الضَّالِّينَ) walaupun secara tidak senghaja sungguhpun sedikit.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengecualikan dalam hal ini jika orang itu membaca (رَبِّ اغْفِرْلِي) selepas (وَلاَ الضَّالِّينَ) sebelum ta’min, kerana pernah dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca (رَبِّ اغْفِرْلِي)  setelah (وَلاَ الضَّالِّينَ), dan sebelum ta’min.

Kesalahan-Kesalahan Pada Huruf  Dan Baris Surah al-Fatihah

Imam as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani, iaitu pengarang kitab Fath al-‘Allam ada menyebutkan permasalahan ini dalam kitabnya, beliau berkata:

·       Jika menggugurkan satu huruf dari surah al-Fatihah, misalnya membaca (إِيَّاكَ نَعْبُدُ إِيَّاكَ نَسْتَعِينَ) dengan menggugurkan huruf (و)
·       Atau menghilangkan sabdu, misalnya membaca (إِياَكَ)
·       Atau menukarkan dengan huruf yang lain, misalnya menggantikan (الَّذِينَ) dengan (الَّدِينَ)
·       Atau menggantikan (اَلَْحَمْدُ لِلَّهِ) dengan (اَلْهَمْدُ لِلَّهِ)
·       Atau membaca (الضَّالِّينَ) dengan (الظَّالِّينَ)
·       Atau membaca (أَنْعَمْتَ)   dengan (أَنْأَمْتَ)
·       Atau membaca (الْمُسْتَقِيمَ) dengan (الْمُسْتَئِيمَ) atau (الْمُسْتَقِينَ)
·       Atau membaca (نَسْتَعِينَ) dengan (نَثْتَعِينَ) – maka batallah sembahyangnya jika orang tersebut senghaja dan mengetahui akan hukumnya.

Adapun jika ianya tidak disenghajakan, maka batallah bacaannya pada kalimah tersebut, dan wajiblah ke atasnya sebelum rukuk untuk membetulkan bacaannya itu tadi, kemudian menyempurnakannnya jika belum lama waktu kesalahan itu berlaku. Jika sudah lama, maka wajib atasnya isti’naf (mengulangi semula bacaannya dari awal surah al-Fatihah).

Jika dia senghaja rukuk sedangkan dia tahu hukumnya bahawa dia wajib memperbetulkan bacaannya sebelum rukuk, maka batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak senghaja rukuk misalnya kerana terlupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.

Jika menukar baris sehingga tertukar makna kalimah tersebut, misalnya membaca (إِيَّاكِ) atau (أَنْعَمْتُ) atau (أَنْعَمْتِ), maka batallah sembahyangnya jika disenghajakan dan tahu akan hukumnya.

Adapun jika tidak disenghajakan, maka batallah bacaannya pada kalimah tersebut, maka wajib atasnya mengulangi bacaan tersebut sebelum rukuk selama mana jarak masanya masih lagi hampir. Jika jaraknya sudah jauh, maka wajib atasnya isti’naf. Jika senghaja tidak mahu memperbetulkannya sebelum rukuk sedangkan dia tahu hukum memperbetulkan bacaannya itu wajib sebelum rukuk, maka batallah sembahyangnya sepertimana permasalahan di atas.  

Dalam masalah melakukan kesalahan dalam bacaan yang membawa kepada perubahan makna ini, menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan sujud sahwi jika ianya tidak disenghajakan. Ini kerana setiap kesalahan yang jika disenghajakan boleh membatalkan sembahyang, tetapi dilakukan secara tidak senghaja, maka adalah disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Manakala jika perubahan baris itu tidak membawa kepada perubahan makna, misalnya membaca (لِلَّهُ) atau (نَعْبِدُ) maka tidaklah sekali-kali ianya membatalkan sembahyang, akan tetapi haram hukumnya jika disenghajakan dan tahu akan hukumnya.

Semua permasalahan ini adalah bagi mereka yang pada asalnya mampu membaca dengan betul.

Adapun bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk membacanya dengan betul dan tidak pula mampu mempelajarinya, maka sembahyang mereka tetap sah dan tidak menjadi haram bagi mereka membaca sedemikian rupa.

Hukum Jika Tidak Pandai Membaca Surah al-Fatihah

Telahpun disentuh  di awal-awal lagi bahawa surah al-Fatihah wajib dibaca sama ada melalui hafalan, mahupun ditalkinkan kepadanya ataupun dengan cara melihat mushaf, dan wajib mengadakan mushaf itu sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula menyediakan lampu jika tempat dia bersembahyang itu gelap bagi membolehkannya membaca mushaf tersebut.
Pendek kata surah al-Fatihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, disertai juga segala usaha yang membolehkannya membaca surah al-Fatihah itu dengan seberapa mampu yang boleh. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan perkara-perkara di atas, Islam telah memberikan kelonggaran ke atas mereka ini untuk menggantikan surah al-Fatihah itu dengan bacaan-bacaan lain.

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
(Surah al-Baqarah: Ayat: 185)

Dalam hal ini, para ulama telahpun menyebutkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengannya seperti berikut:-

1. Jika orang tersebut boleh membaca ayat-ayat al-Qur’an yang lain selain surah al-Fatihah, maka bolehlah ia dijadikan sebagai pengganti surah al-Fatihah. Dengan syarat ianya mestilah sekurang-kurangnya tujuh ayat ataupun  lebih baik lapan ayat menurut Imam asy-Syafi’e sepertimana yang telah dinukilkan daripadanya oleh Imam al-Mawardi. Dan huruf-hurufnya pula mestilah tidak kurang daripada huruf-huruf surah al-Fatihah, iaitu tidak kurang dari seratus lima puluh enam huruf.

Tidak disyaratkan setiap huruf pada ayatnya menyerupai jumlah setiap huruf pada ayat-ayat surah al-Fatihah, bahkan adalah memadai sebagai syarat bahawa ianya adalah sekurang-kurangnya tujuh ayat dan huruf-hurufnya secara keseluruhannya tidak kurang dari huruf-huruf surah al-Fatihah dengan mengambil perhatian bahawa setiap huruf yang bersabdu dalam surah al-Fatihah itu dikirakan sebagai dua huruf.

Ayat-ayat pengganti dari al-Qur’an ini, menurut Imam an-Nawawi, boleh dibaca sama ada secara tersusun dalam satu surah, ataupun dibaca bercerai-cerai dari satu ataupun beberapa buah surah yang berlainan, sama ada makna ayat-ayat tersebut ada kaitan antara satu dengan yang lain ataupun tidak, sungguhpun orang itu hafal secara tersusun dalam satu surah.

Walau bagaimanapun, Imam Ibnu Hajar al-Haitami berpendapat, jika ianya dibaca secara bercerai-cerai dengan tidak tersusun makna, orang itu mestilah berniat dengan niat qiraah (membaca al-Qur’an) ketika membaca ayat yang bercerai-cerai itu kerana bacaan yang seumpama itu tidak dinamakan al-Qur’an jika dilafazkan semata-mata tanpa niat qiraah.

2. Jika langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu menggantikannya dengan tujuh macam zikir sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fatihah berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيعُ أَنْ آخَذُ مِنَ القُرْآنِ شَيْئًا ، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنهُ ، قَالَ: قُلْ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.
(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya: Telah datang seseorang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu beliau berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesungguhnya aku  tidak mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan) apa yang memadai bagiku (selain) daripada al-Qur’an.

 Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab:   Bacalah:

(سُبْحَانَ  اللَّهِ ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ  إِلاَّ  اللَّهُ ، وَاللَّهُ  أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ  وَلاَ قُوَّةَ
إِلاَّ بِاللَّه الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ).

(Maha suci Allah, dan segala puji hanya bagi Allah, dan  tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar).
 (Hadits riwayat Imam Abu Daud dan Ahmad)

Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada orang tersebut lima macam zikir, dan ditambahkan lagi oleh ulama sebagai mencukupi syarat tujuh macam zikir itu dengan dua macam zikir lagi, iaitu:-
(مَا شَاءَ اللهُ كَانَ)1.  
Maksudnya: Segala apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku. 
 (وَمَا لَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ)2. 
Maksudnya: Dan segala apa yang tidak dikehendakiNya, tidak akan berlaku.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat yang ashah (paling shahih), tidaklah ditentukan mana-mana zikir untuk dibaca sebagai badal (ganti) surah al-Fatihah itu. Adalah memadai sebagai syarat dengan memilih mana-mana tujuh macam zikir dan mengulanginya atau menambahnya dengan zikir-zikir lain sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf surah al-Fatihah.

Selain zikir, boleh juga surah al-Fatihah tersebut digantikan dengan doa. Imam Nawawi berpendapat bahawa doa tersebut mestilah (wajib) doa-doa ukhrawi (yang berkaitan dengan urusan akhirat), misalnya memohon syurga, keampunan, keredhaan Allah Subhanahu wa Taala dan sebagainya dalam bahasa Arab sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fatihah. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, maka bolehlah diterjemahkan doa tersebut ke mana-mana bahasa yang dikuasainya.

Jika orang tersebut tidak juga pandai membaca terjemahan doa ukhrawi, maka bolehlah membaca doa-doa duniawi (yang berkaitan dengan urusan keduniaan), misalnya memohon keselamatan dan sebagainya dalam bahasa Arab. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, maka bolehlah ianya dibaca dalam mana-mana bahasa yang dikuasainya sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fatihah.
Selain dibolehkan memilih antara zikir ataupun doa ini, dibolehkan juga untuk mencampurkan keduanya sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Tuhfah al-Habib karangan Syeikh Sulaiman al-Bujairimi.

3. Sungguhpun ada keringanan untuk membaca terjemahan badal dari zikir dan doa dalam sembahyang jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab, perlu diingat di sini bahawa al-Qur’an tidak boleh sekali-kali diterjemahkan ke dalam  bahasa lain dalam sembahyang. Ini kerana turunnya al-Qur’an itu dalam bahasa Arab serta keindahan lafaz ayat serta susunannya adalah merupakan satu mukjizat. Maka menterjemahkannya ke dalam bahasa lain akan merosakkan keindahannya dan secara langsung akan mencacatkan, bahkan akan menghilangkan nilai kemukjizatannya itu.

Kerana itulah terjemahan al-Qur’an itu menurut Imam Khatib asy-Syarbini, tidak lagi dinamakan al-Qur’an berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah Yusuf: ayat:2:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab.
(Surah Yusuf : Ayat:2)

4. Tidak disyaratkan untuk berniat ketika membaca badal dari zikir mahupun doa ini, akan tetapi jika ingin berniat juga maka tidak dibolehkan berniat selain daripada meniatkan bahawa badal tersebut adalah sebagai pengganti bacaan surah al-Fatihah semata-mata.

5. Sekiranya orang tersebut mampu membaca sebahagian ayat surah al- Fatihah, maka tidak memadai baginya mengulang-ulang ayat dari surah al-Fatihah yang dia tahu itu selagi mana dia tahu membaca badal lain, sama ada dari al-Qur’an, zikir mahupun doa.

Akan tetapi, diberikan kepadanya keringanan untuk mengulangi ayat dari surah al-Fatihah yang diketahuinya itu sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar keseluruhan huruf-huruf surah al-Fatihah jika sekiranya orang tersebut langsung tidak pandai membaca mana-mana badal dari al-Qur’an, zikir dan doa.

6. Orang yang mampu membaca sebahagian surah al-Fatihah dan mampu membaca badal dari al-Qur’an, zikir ataupun doa, maka wajib baginya membaca ayat surah al-Fatihah tersebut di tempatnya, yakni wajib membacanya secara tertib mengikut tertib susunan ayatnya.

Jika ayat surah al-Fatihah yang diketahuinya itu adalah ayat keempat, maka wajib baginya membaca badal sebagai ganti separuh pertama (ayat satu hingga tiga) surah al-Fatihah dahulu, kemudian barulah membaca ayat surah al-Fatihah yang diketahuinya itu (ayat keempat) dan kemudian membaca pula badal bagi separuh terakhir surah al-Fatihah tersebut (ayat lima hingga tujuh).

Begitu juga halnya jika surah al-Fatihah yang mampu dibacanya itu bercerai-cerai. Wajib baginya membaca ayat-ayat surah al-Fatihah yang diketahuinya itu mengikut tertib susunan ayatnya, dan wajib pula membaca badalnya tepat pada ayat surah al-Fatihah yang dia tidak tahu membaca itu.

7. Jika sekiranya langsung tidak pandai membaca surah al-Fatihah, dan tidak tahu pula membaca mana-mana badal dari al-Qur’an, zikir mahupun doa, dan tidak juga pandai membaca terjemahan zikir dan doa serta tidak berkemampuan untuk belajar, maka wajib atasnya qiyam (berdiri) sahaja dalam kadar bacaan surah al-Fatihah, iaitu kira-kira kadar bacaan yang sederhana.

Ini kerana bacaan surah al-Fatihah dan berdiri ketika membacanya itu kedua-duanya wajib, maka jika tidak mampu mengerjakan satu daripada keduanya (membaca surah al-Fatihah) tidak akan menggugurkan kewajiban yang satu lagi iaitu berdiri.

Penutup

Kesungguhan dalam membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang itu adalah satu perkara yang sangat penting dan wajib dijaga kerana sebarang kesilapan yang berlaku tidak syak lagi akan menjejaskan kesempurnaan sembahyang.

Janganlah kerana surah ini lancar di mulut ianya dibaca secara tidak berperaturan dengan tidak menyebutkan setiap hurufnya daripada makhrajnya yang betul, tidak memelihara tajwidnya, bahkan ada yang menghabiskannya hanya dengan satu nafas seolah-olah tiada penghayatan dan tiada rasa hormat terhadap al-Qur’an.

Wajiblah ke atas kita memelihara kemuliaan al-Qur’an ini, dengan membacanya sepertimana Nabi junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu ’alaihi wasallam membacanya. Iaitu dengan tartil, penuh penghayatan, memelihara tajwid serta peraturan-peraturannya seperti muwalah, tertib dan sebagainya, di samping berusaha belajar dan memperbaiki bacaan jika tidak mampu membacanya dengan baik dan sempurna.

Mudahan-mudahan dengan maklumat mengenai permasalahan membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang ini akan dapat menambahkan ilmu kita mengenai  sembahyang dan sekaligus membantu kita untuk menyempurnakannya sepertimana yang dituntut oleh syara‘ dan meningkatkan lagi kualiti peribadatan kita terhadap Allah Subhanahu wa Taala.














4 comments:

  1. Assalamualaikum, bagaimana pula hukumnya jika seseorang itu berhenti pada ayat sirotollazi naana'mta'laihim, dan kemudian baca ayat seterusnya, ghairimaghdubia'laihim waladdholin, tetapi dia merasa ragu2 dengan ayat ghairil, lalu dia hanya mengulang ayat ghairil tanpa membaca dari sirotol? Apa pendapat tuan?

    ReplyDelete
  2. Asalamualaikum, jika kita mengikut imam perlukah imam habiskan fatihah dahulu barulah makmum membaca fatihah

    ReplyDelete
  3. Bolehkah berhenti dgn cara saktah yakni tidak mengambil nafas pada ayat ayat Fatihah.. Iaitu membaca ayat demi ayat tanpa bersambung tetapi tidak mengambil nafas di setiap ayat.. Mohon pencerahan

    ReplyDelete
  4. Mana satukah yang betul cara memulai membaca surah al-fatihah.
    Adakah patut kita memulai dengan BISMILLAH atau BISMILLAHHIRRAHMANNIRRAHIM mohon diberi penjelasan.

    ReplyDelete