Wednesday, May 6, 2015

RUKU' DAN I'TIDAL



PERSOALAN RUKU‘ DAN I‘TIDAL SERTA ZIKIR-ZIKIRNYA


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ruku‘ dan i‘tidal merupakan rukun fi‘li (rukun dalam bentuk perbuatan) dalam sembahyang, sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membetulkan sembahyang seorang lelaki, Baginda bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Jika engkau mendirikan sembahyang maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu (surah al-Fatihah). Kemudian ruku‘lah sehingga ruku‘ dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga berdiri dengan i‘tidal. Kemudian sujudlah sehingga sujud dengan thuma‘ninah. Kemudian bangkitlah sehingga duduk dengan thuma‘ninah. Kemudian lakukanlah yang demikian itu kesemuanya dalam sembahyangmu.”
(Hadits riwayat Muslim)

Ruku‘ adalah rukun fi‘li yang panjang sementara i‘tidal pula adalah rukun fi‘li yang pendek. Jika ruku‘ dan i‘tidal ini ditinggalkan dan tidak diulangi semula nescaya sembahyang itu menjadi tidak sah.

Cara melakukan ruku‘

Cara melakukan ruku‘ bagi orang yang sembahyang berdiri ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekadar mencapai telapak tangan ke lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sehingga belakang dan tengkuk sejajar seumpama sekeping papan serta meluruskan betis dan peha. Sementara telapak tangan memegang lutut dan merenggangkan jemari dengan renggangan yang sederhana serta menghadapkannya ke kiblat iaitu tidak meletakkan jemari ke kiri atau ke kanan.

Adapun cara melakukan ruku‘ bagi orang yang sembahyang duduk ialah sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

Jika seseorang itu tidak mampu membongkokkan badannya sepertimana yang dituntut kerana sakit umpamanya maka bongkokkanlah sekadar yang termampu olehnya ataupun jika dia langsung tidak dapat membongkokkannya maka berilah isyarat dengan kepala. Jika dia tidak mampu memberi isyarat dengan kepala maka berilah isyarat dengan mata.

Cara melakukan i‘tidal

Cara melakukan i‘tidal pula ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku‘ iaitu berdiri dengan betul jika sebelumnya orang itu sembahyang berdiri dan dia mampu untuk kembali dengan berdiri betul. Adapun jika sebelumnya orang itu sembahyang dengan cara duduk, maka dia kembali dengan duduk betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan berdiri betul atau duduk betul, maka kembalilah sekadar yang termampu olehnya.

Jika seseorang sembahyang sunat dengan cara berbaring atas rusuknya kemudian dia duduk ketika hendak melakukan ruku‘, maka menurut Imam asy-Syibramallisi Rahimahullah dia bangkit melakukan i‘tidal dengan kembali kepada perbuatan sebelum ruku‘ iaitu duduk, kerana ia lebih sempurna daripada berbaring atas rusuk. Adapun menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah, orang tersebut tidak dilarang untuk melakukan i‘tidal dengan kembali kepada berbaring atas rusuknya kerana perbuatan tersebut harus dalam sembahyang sunat walaupun dia mampu untuk berdiri atau duduk. Demikian juga orang tersebut tidak dilarang untuk melakukan i‘tidal dengan kembali kepada duduk malah tidak dilarang dia kembali kepada berdiri betul kerana ia lebih sempurna daripada duduk.

Berbeza halnya jika seseorang melakukan sembahyang fardhu dengan cara berbaring atas rusuknya kerana sakit kemudian dia mampu duduk ketika hendak melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit melakukan i‘tidal dengan kembali kepada duduk dan tidak memadai i‘tidalnya jika dia kembali kepada berbaring atas rusuknya.

Thuma’ninah dalam ruku‘ dan i‘tdal

Thuma’ninah ketika ruku‘ sekurang-kurangnya ialah tetap sekalian anggotanya semasa melakukan ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara bangkit daripada ruku‘ dengan melakukan ruku‘ iaitu dengan kadar bacaan zikir: “ سبحان الله.

Demikian juga thuma’ninah ketika i‘tidal iaitu tetap sekalian anggotanya seperti keadaannya sebelum ruku‘ sekira-kira ada masa yang memisahkan di antara bangkit daripada ruku‘ dengan berdiri melakukan i‘tidal.

Jika seseorang itu tidak melakukan thuma’ninah ketika ruku‘ atau i‘tidal maka wajib dia kembali semula melakukannya. Sebagai contoh, seseorang mendirikan sembahyang dengan cara berdiri, lalu dia melakukan ruku‘ akan tetapi ketika ruku‘ dia terjatuh sebelum dia sempat melakukan thuma’ninah, kemudian dia terus bangkit melakukan i‘tidal. Dalam hal ini, hendaklah dia kembali semula melakukan ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian baharulah dia bangkit melakukan i‘tidal.

Jangan bermaksud melakukan selain daripada ruku‘ dan i‘tidal

Ketika seseorang itu membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘, janganlah dia bermaksud untuk melakukan selain daripada ruku‘. Jika dia bermaksud untuk melakukan selain daripada ruku‘ maka perbuatan ruku‘nya itu tidak dikira dan hendaklah dia bangkit semula untuk berdiri tegak kemudian melakukan ruku‘.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu bermaksud hendak melakukan sujud tilawah lalu dia bergerak turun untuk melakukan perbuatan tersebut, sebaik sahaja dia sampai ke had ruku‘ ataupun sekurang-kurang ruku‘ dia menukar maksudnya itu daripada melakukan sujud tilawah kepada melakukan ruku‘ maka dalam hal ini tidak dikira ruku‘nya itu.

Demikian juga ketika bangkit melakukan i‘tidal, janganlah dia bermaksud untuk melakukan selain daripada i‘tidal. Jika dia bermaksud untuk melakukan selain daripada i‘tidal maka perbuatan i‘tidalnya itu tidak dikira dan hendaklah dia ruku‘ semula kemudian bangkit melakukan i‘tidal.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu bangkit daripada ruku‘ disebabkan takut pada serangga umpamanya maka perbuatan bangkitnya itu tidak dikira sebagai i‘tidal. Oleh itu hendaklah dia ruku‘ semula kemudian bangkit melakukan i‘tidal.

Mengangkat kedua tangan ketika hendak melakukan ruku‘ dan i‘tidal

Sunat mengangkat kedua tangan apabila hendak melakukan ruku‘ sebagaimana melakukan takbiratulihram. Bermula mengangkat kedua tangan itu sebelum membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘ iaitu ketika dalam berdiri sambil melafazkan takbir ( اَللهُ أَكْبَرُ ). Kemudian setelah sempurna mengangkat kedua tangan iaitu kedua tangan hingga pergelangan tangan sejajar dengan bahu, lalu membongkokkan badan untuk melakukan ruku‘ dan kedua tangan diturunkan sedang ucapan takbir masih dipanjangkan sehingga sampai pada perbuatan ruku‘ agar tidak sunyi daripada bahagian sembahyang itu akan zikir. Bacaan yang dipanjangkan itu ialah mad yang terletak dalam kalimah ( اَللهُ ) iaitu alif yang berada di antara huruf lam dan ha dengan tidak melebihi tujuh harakat.

Demikian juga sunat mengangkat kedua tangan apabila hendak melakukan i‘tidal. Bermula mengangkat kedua tangan itu ketika mengangkat kepala untuk bangkit daripada ruku‘ sambil melafazkan tasmi‘ ( سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ).

Zikir ketika hendak melakukan ruku‘ dan i‘tidal dibaca secara israr atau jahr?

Israr ialah suara perlahan yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang baik tanpa didengar oleh orang lain. Sementara jahr pula ialah suara yang nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain.

Dalam hal melafazkan zikir ketika hendak melakukan ruku‘ dan i‘tidal dengan israr atau jahr ini adalah seperti berikut:

1.    Imam

Sunat bagi imam melafazkan takbir ketika hendak melakukan ruku‘ dan tasmi‘ ketika bangkit melakukan i‘tidal dengan suara yang jahr.

2.    Makmum dan munfarid

Adapun bagi makmum dan munfarid (orang yang sembahyang seorang diri) hendaklah melafazkan takbir dan tasmi‘ tersebut dengan suara yang israr. Jika dilafazkannya dengan suara yang jahr maka makruh hukumnya.

3.    Muballigh

Muballigh ialah orang yang menyampaikan seruan imam kepada makmum yang tidak terdengar suara imam.

Sunat bagi muballigh melafazkan takbir dan tasmi‘ dengan suara yang jahr. Muballigh yang disunatkan untuk menjahrkan suara itu ialah apabila dia diperlukan disebabkan makmum tidak terdengar suara imam. Hendaklah muballigh itu berniat zikir semasa melafazkan takbir dan tasmi‘ atau berniat zikir berserta niat memperdengarkan takbir dan tasmi‘ tersebut kepada makmum. Jika muballigh itu tidak berniat zikir atau hanya berniat untuk memperdengarkan takbir dan tasmi‘ kepada makmum sahaja, maka batal sembahyang muballigh itu. Adapun muballigh yang tidak diperlukan adalah makruh baginya menjahrkan suara.

Zikir ketika ruku‘

Zikir yang sunat dibaca apabila sampai pada perbuatan ruku‘, ialah tasbih sebanyak tiga kali ( سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ )   atau ( سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي )  ataupun (  سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ رَبُّ الْمَلآئِكَةِ وَالرُّوحِ ).

Bacaan sebanyak tiga kali itu adalah sekurang-kurang sempurna. Kemudian diikuti dengan lima kali, kemudian tujuh kali, kemudian sembilan kali dan paling sempurna ialah sebanyak sebelas kali. Sekurang-kurang mendapat pahala sunat bertasbih itu ialah dibaca sebanyak sekali sahaja.

Adapun bagi imam makruh membaca tasbih tersebut melebihi daripada tiga kali melainkan makmum redha dengan berbuat demikian.

Munfarid dan imam yang makmumnya redha dengan bacaan yang panjang, sunat menambah tasbih itu dengan zikir berikut:

اَللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، خَشَعَ لَكَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَمُخِّي وَعَظَمِي وَعَصَبِي وَشَعْرِي وَبَشَرِي، وَمَا اسْتَقَلَّتْ بِهِ قَدَمِي للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

Ertinya: “Ya Allah ya Tuhanku, kepadaMu aku ruku‘, dan denganMu aku beriman, dan kepadaMu aku menyerah. KepadaMu khusyuk pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, urat sarafku, rambutku dan kulitku, dan apa yang dibawa oleh kakiku (seluruh jasadku) adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam.”

Begitu juga makmum yang mengikut imam yang panjang bacaannya, sunat dia menambah tasbih ruku‘ itu dengan zikir tersebut.

Adapun imam yang makmumnya tidak redha dengan bacaan yang panjang, makruh dia menambah tasbih ruku‘ itu dengan zikir tersebut.


Zikir ketika i‘tidal

Zikir yang sunat dibaca oleh makmum, munfarid dan imam (sama ada makmumnya redha atau tidak dengan bacaan panjang) ketika i‘tidal iaitu setelah berdiri tegak dan kedua tangan lurus di bawah, ialah membaca tahmid seperti berikut:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ اْلأَرْضِ وَمِلْءَ مَا بَيْنَهُمَا وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ.

Ertinya: “Ya Allah ya Tuhan kami, bagiMu segala pujian, sepenuh langit-langit, dan sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang di antara keduanya (langit-langit dan bumi), dan sepenuh apa yang Engkau mahukan daripada sesuatu selepas (langit-langit dan bumi) itu.”

Munfarid, makmum yang bacaan imamnya panjang dan imam yang makmumnya redha dengan bacaan yang panjang, sunat menambah lagi tahmid tersebut dengan zikir seperti berikut:

أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنكَ الْجَدِّ.

Ertinya: “Wahai Pemilik Pujian dan Keagungan, yang paling berhak diucapkan oleh seorang hamba, dan kami semua adalah hambaMu. Ya Allah, tidak ada penghalang yang dapat menghalangi apa yang Engkau beri, dan tidak ada pemberi yang dapat memberikan apa yang Engkau halangi, dan tidak bermanfaat orang kaya, berketurunan atau orang senang di sisiMu melainkan yang Engkau redhai darinya.”

Adapun imam yang makmumnya tidak redha dengan bacaan yang panjang, makruh baginya menambah tahmid itu dengan zikir tersebut.

Zikir ketika ruku‘ dan i‘tidal dibaca secara israr atau jahr?

Sunat bagi imam, makmum dan munfarid mengisrarkan suara ketika membaca tasbih dalam ruku‘ iaitu  ( سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ )  dan   tahmid dalam   i‘tidal    iaitu           
) رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ اْلأَرْضِ وَمِلْءَ مَا بَيْنَهُمَا وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ  .(

Demikian juga, sunat dibaca dengan israr zikir-zikir yang ditambah selepas tasbih dalam ruku‘ dan tahmid dalam i‘tidal.


Demikianlah beberapa penjelasan mengenai hukum dan cara-cara melakukan ruku‘ dalam sembahyang yang perlu kita ketahui agar mencapai kesempurnaan melakukan ruku‘ bahkan kesempurnaan sembahyang keseluruhannya.

1 comment: