Wednesday, May 6, 2015

MAKRUH DALAM SEMBAHYANG

ELAKKAN PERKARA MAKRUH DALAM SEMBAHYANG

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ibadat sembahyang terdiri daripada syarat-syarat, rukun-rukun, perkara-perkara sunat dalam sembahyang dan lain-lain lagi yang wajib dipelajari dengan mendalam oleh setiap muslim agar tidak akan berlaku kesilapan ketika melaksanakannya. Kesilapan yang dilakukan dalam sembahyang akan mendatangkan kerugian kerana ianya merosakkan kesempurnaan pahala sembahyang.

Salah satu jalan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala sembahyang adalah dengan mengelakkan diri dari melakukan perkara makruh dalam sembahyang.

Makruh ialah meninggalkan sesuatu perkara yang dibenci dan akan diberi ganjaran pahala bagi orang yang meninggalkannya, sementara itu tidak pula berdosa bagi yang melakukannya. Walaubagaimanapun, melakukannya akan mendatangkan kerugian kerana kehilangan pahala.  

Perkara Makruh Dalam Sembahyang

Melakukan perkara makruh dalam sembahyang boleh mendatangkan kesan kepada kesempurnaan pahala sembahyang. Oleh yang demikian, dengan mempelajari secara mendalam tentang setiap perkara yang berkaitan dengan sembahyang akan dapat mengelakkan seseorang dari melakukan perkara makruh dalam sembahyang itu.

Antara perkara makruh dalam sembahyang:

1. Meninggalkan perkara sunat dalam sembahyang

2. Menoleh

Makruh menoleh ke kanan atau ke kiri ketika dalam sembahyang jika tidak ada hajat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الالْتِفَاتِ فِي الصَّلاَةِ، فَقَالَ: هُوَ اخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ الْعَبْدِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Saya bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang menoleh dalam sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Ianya adalah satu curian, iaitu syaitan mencuri (kekhusyu‘an) dari sembahyang seorang hamba dengan (perbuatan) menoleh itu”.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Berkata Adzra‘ie Rahimahullah: “Jika dia senghaja melakukannya, sedangkan dia tahu perbuatan menoleh itu adalah makruh, maka hukumnya haram, bahkan menjadi batal jika dia melakukannya secara olok-olok (main-main).”
Jika seseorang menolehkan mukanya dan berpaling dadanya dari kiblat, maka batal sembahyangnya.

Melirik-lirikkan mata atau mengerlingkan mata tanpa menolehkan muka adalah harus.

3. Mendongakkan muka ke langit

Makruh mendongakkan muka atau pandangan ke langit ketika di dalam sembahyang, walaupun bagi orang buta.

Anas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا بَالَ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلاَتِهِمْ
فَاشْتَدَّ قَوْلُهُ فِي ذَلِكَ حَتىَّ قَالَ لََيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارَهُمْ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bagaimanakah keadaan kaum yang mendongak pandangan mereka ke langit di dalam sembahyang mereka?” Baginda mengeraskan percakapannya tentang perkara itu sehingga Baginda bersabda: “Demi sesungguhnya mereka hendaklah menghentikannya (mendongak ke langit ketika sembahyang), atau demi sesungguhnya akan disambar pandangan mereka itu.”
 (Hadis riwayat al-Bukhari)

Begitu juga makruh melihat atau merenung benda-benda yang boleh mengalihkan perhatian dari sembahyang seperti melihat atau merenung tanda-tanda pada baju atau sebagainya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya:

أََّن النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِي خَمِيْصَةٍ لَهَا أعْلاَمٌ، فَنَظَرَ إِلَى أعْلاَمِهَا نَظْرَةً، فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: اذْهَبُوا بِخَمِيصَتِي هَذِهِ إِلَى أَبِي جَهْمٍ وَأَتُونِي بِأنْبِجَانِيَّةِ أَبِي جَهْمٍ، فَإِنَّهَا الْهَتْنِي انِفًا عَنْ صَلاَتِي
(رواه البخاري)

Maksudnya:  “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang pada kain segi empat yang ada padanya tanda-tanda. Baginda memandang kepadanya dengan sekali pandangan. Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda bersabda: “Pergilah dengan kain segi empat yang ada tanda-tanda ini kepada Abu Jaham, dan bawalah kepadaku kain tebal (yang tidak ada tanda) milik Abu Jaham. Sesungguhnya kain segi empat yang bertanda itu membuatkan aku lengah (lalai) dari sembahyangku.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghantar kain segi empat yang ada tanda-tanda tersebut kepada Abu Jaham Radhiallahu ‘anhu kerana beliau yang menghadiahkannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik Rahimahullah dalam kitab Muwattha’.

4. Melipat rambut atau melipat baju

Makruh melipat rambut seperti menyanggulnya atau memasuk-masukkannya ke bawah serban ketika di dalam sembahyang. Begitu juga makruh melipat baju seperti melipat lengan bajunya dan lain-lain lagi.

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 أُمِرَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ وَلاَيَكُفَّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْباً ،اَلْجِبْهَةِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan (oleh Allah) untuk bersujud pada tujuh anggota tubuh dan tidak melipat rambut atau pakaian (pada waktu sembahyang). Anggota-anggota itu adalah dahi, kedua tangan, kedua lutut dan kedua kaki.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Meletakkan tangan di mulut

Makruh meletakkan tangan di mulut tanpa ada hajat atau tujuan. Begitu juga dengan perbuatan mematah-matahkan jari atau mencelah-celahi jari, meletakkan tangan di hidung atau di mulut. Ini kerana, perbuatan seumpama ini boleh menjejaskan khusyu‘ dalam sembahyang.

Makruh menguap dalam sembahyang pada keadaan dirinya mampu untuk menahan dari menguap. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

أَمَّا التَّثَاؤُبُ فَإِنَّمَا هُوَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ، فَإِذَا قَالَ: هَا، ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Adapun menguap itu, maka sesungguhnya ianya adalah daripada (gangguan) syaitan, maka tegahlah ia (tegah diri dari menguap) selagi mampu. Maka apabila seseorang berkata: “haa”, ketawalah (kerananya) syaitan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, sunat meletakkan tangan di mulut ketika menguap di dalam sembahyang. Terdapat beberapa pendapat mengenai tangan yang digunakan untuk menutup mulut ketika menguap:

·       Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah: boleh menggunakan antara tangan kanan atau kiri bagi tujuan tersebut.

·       Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah: sunat digunakan tangan kiri.

·       Menurut Imam Syabramallisi dan Imam al-Qalyubi Rahimahumallah: Adalah lebih utama menggunakan belakang telapak tangan sebelah kiri.

6. Menutup mata

Makruh menutup kedua kelopak mata ketika sembahyang tanpa ada hajat atau keperluan. Tidak makruh jika menutup keduanya kerana ada hajat, bahkan dihukumkan wajib pada sesetengah keadaan, umpamanya menutup mata agar menegah dari memandang perkara-perkara yang haram.

Berkata sebahagian ulama: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang dalam sembahyang perbuatan menyapu batu-batu kecil dan menyapu dahi dari kesan tanah (ketika sujud), meniup-niup, mematah-matahkan jari, menyelat-nyelati jari, menutup mulut dan telinga, menutup mata dan mengeliat.

7. Berdiri dengan sebelah kaki

Makruh berdiri dengan sebelah kaki iaitu dengan mengangkat sebelah kaki tanpa ada sebab, kerana ianya membebankan serta menghilangkan kekhusyu‘an dalam sembahyang. Namun jika ada sebab atau keuzuran seperti sakit sebelah kakinya atau patah, maka tiadalah dihukumkan makruh.

Begitu juga makruh hukumnya mendahulukan (mendepankan) sebelah kakinya ketika berdiri sembahyang.

8. Sembahyang dalam keadaan menahan diri dari membuang air kecil atau air besar

Makruh mendirikan sembahyang dengan keadaan menahan diri dari membuang air kecil atau air besar atau membuang angin (menahan dari kentut). Bahkan menjadi haram jika menahan itu akan memberi mudharat kepada dirinya.

Sunat membuang air kecil, air besar atau berkentut sebelum menunaikan sembahyang walaupun terpaksa meninggalkan sembahyang jemaah, asalkan tidak keluar dari waktu sembahyang atau masih luas waktunya.

9. Sembahyang dalam keadaan ingin makan atau minum

Makruh menunaikan sembahyang dengan adanya keinginan untuk memakan makanan atau meminum minuman yang sudah terhidang.          

Diriwayatkan dari Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ هُوَ يُدَافِعُهُ اْلأَخْبَثَانِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Jangan (dahulukan) sembahyang dengan adanya makanan yang terhidang, dan juga jangan (dahulukan) sembahyang ketika dia sedang menahan daripada membuang air kecil dan air besar.”
(Hadis riwayat Muslim)

10. Meludah

Makruh meludah ke hadapan atau meludah di sebelah kanan samada ketika sembahyang mahupun di luar sembahyang.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِذَا تَنَخَّمَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَخَّمْ قِبَلَ وَجْهِهِ وَلاَ عَنْ يَمِيْنِهِ وَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمِهِ الْيُسْرَى

(رواه البخاري والمسلم)

Maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kamu berludah kahak, maka janganlah berludah kahak di hadapannya, dan janganlah juga di sebelah kanannya. Hendaklah dia berludah di sebelah kirinya atau ke bawah kaki kirinya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

11. Meletakkan tangan di atas pinggang (khashirah)

Makruh meletakkan tangan di atas pinggang (khashirah) tanpa ada hajat atau keuzuran. Perlakuan seumpama itu adalah sama seperti perbuatan orang kafir dan orang-orang yang menyombongkan diri, begitu juga iblis disingkirkan dari syurga dengan keadaan sedemikian.

12. Berlebihan tunduk ketika ruku‘

Makruh merendahkan kepala atau meninggikannya daripada paras belakang ketika ruku’.

Diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya:

وَكَانَ إِذَا رَكَعَ لَمْ يُشْخِصْ رَأْسَهُ وَلَمْ يُصَوِّبْهُ وَلَكِنْ بَيْنَ ذَلِكَ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Dan Rasulullah apabila ruku‘ tidak menaikkan kepalanya dan tidak merendahkannya, akan tetapi antara keduanya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Makruh meletakkan dua lengan di atas tanah atau tempat sembahyang ketika sujud.

13. Bersandar

Makruh bersandar pada sesuatu sekira-kira jika jatuh tempat bersandar itu, maka dia pun jatuh sama, seperti bersandar pada tiang. Dihukumkan makruh jika dia berdiri dengan kedua kakinya walaupun bersandar. Tetapi jika sandaran itu membolehkan dia mengangkat kedua belah kakinya, maka batal sembahyangnya kerana dia dalam keadaan bergantung pada sesuatu dan bukannya berdiri.

14. Sembahyang di tempat-tempat sebagaimana tersebut di bawah:

·       Makruh sembahyang dalam bilik mandi yang berdinding dan beratap.

·       Makruh sembahyang di atas kubur.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اَلأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَامَ
(رواه ابن ماجه)
Maksudnya: “Bumi ini keseluruhannya masjid (tempat bersembahyang) kecuali perkuburan dan bilik mandi.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

·       Makruh sembahyang di tempat maksiat seperti di tempat-tempat hiburan atau tempat yang didatangkan azab ke atasnya, contohnya kota kaum Tsamud dan seumpamanya.

·       Makruh sembahyang di jalan-jalan tempat laluan orang ramai, begitu juga di pasar-pasar dan kawasan lapang tempat orang ramai bermain-main.

·       Makruh sembahyang di tempat-tempat pembuangan sampah, begitu juga di tempat-tempat penyembelihan binatang dan di tempat-tempat seumpamanya yang diyakini adanya najis.

·       Makruh sembahyang dalam kandang unta yang dikelilingi air walaupun bersih.

Daripada Abdullah bin Mughaffal al-Muzaniy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ تُصَلُّوا فِي أَعْطَانِ اْلإِبِل فَإِنَّهَا خُلِقَتْ مِنَ الشَّيَاطِينِ ِ
(رواه ابن ماجه)

Maksudnya: “Jangan kamu sembahyang di kandang-kandang unta. Sesungguhnya ia (unta) ada daripada (sifat-sifat) syaitan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun larangan dalam hadis di atas menunjukkan hukum makruh sembahyang dalam kandang unta, kerana unta suka berlari-lari dan tidak aman bagi seseorang mendirikan sembahyang di dalamnya. Sifat suka berlari dengan tergesa-gesa dan sifat membahayakan yang ada padanya adalah serupa dengan sifat syaitan sebagaimana disebut  pada hadis di atas.

·       Makruh sembahyang dalam gereja samada ia tempat beribadat orang Yahudi mahupun Nasrani, begitu juga tempat yang di dalamnya mempunyai gambar-gambar yang diagungkan atau berhala-berhala yang disembah oleh mereka.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيْهِمُ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنُواْ عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Mereka itu (orang-orang Yahudi dan Nasrani), apabila ada lelaki saleh yang mati di kalangan mereka, mereka bina di atas kuburnya masjid, dan mereka melukiskan padanya gambar-gambar. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

16. Mempercepatkan sembahyang

Makruh melakukan sembahyang dengan cepat tanpa berhati-hati atau teliti pada setiap perbuatan dan bacaan di dalam sembahyang, sekalipun tidak meninggalkan perkara-perkara yang dituntut dalam sembahyang.

Jika meninggalkan perkara-perkara yang dituntut di dalam sembahyang, umpamanya meninggalkan rukun sembahyang seperti meninggalkan bacaan al-Fatihah, maka batal sembahyangnya.


Perkara-perkara makruh dalam sembahyang sebagaimana di atas seeloknya dielakkan dari melakukannya, agar sembahyang yang dilakukan memperolehi ganjaran kesempurnaan sembahyang dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

No comments:

Post a Comment