Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG JENAZAH

MENYEGERAKAN SEMBAHYANG JENAZAH

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Islam telah menggariskan cara pengurusan dan penyempurnaan jenazah orang Islam dengan jelas dan terperinci. Secara ringkas, dalam penyempurnaan jenazah orang Islam wajib dilaksanakan empat perkara, iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Islam.

Pada kebiasaannya perkara memandikan, mengkafankan dan mengebumikan mayat itu dilakukan atau diuruskan oleh orang-orang tertentu sahaja, khususnya mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman. Akan tetapi dalam perkara menyembahyangkan jenazah, boleh dikatakan sudah banyak yang boleh melakukannya, walaupun ada juga yang tidak membuatnya.

Antara perkara yang penting yang perlu diambil perhatian dalam pengurusan jenazah orang Islam ialah dalam perkara menyegerakan pengurusan tersebut dan termasuklah menyegerakan sembahyang jenazah kecuali dalam beberapa keadaan harus diakhirkan atau dilambatkan. Perkara menyegerakan dan melambatkan pengurusan jenazah ini bukanlah sekadar adat kebiasaan sahaja akan tetapi mempunyai asas dan dalil yang kukuh dalam syara‘.

Pada dasarnya hukum menyegerakan sembahyang jenazah itu suatu tuntutan, namun ada keadaan-keadaan yang membenarkan untuk melambatkannya.

Menyegerakan Sembahyang Jenazah

Hukum sembahyang jenazah merupakan fardhu kifayah. Ianya boleh dikerjakan secara bersendirian ataupun secara berjemaah. Jenazah yang sudah dimandikan dan dikafankan, wajib disembahyangkan sebelum dikebumikan. Menurut ulama, adalah sunat disegerakan sembahyang ke atas jenazah tanpa melambat-lambatkannya melainkan kerana beberapa keadaan serta syarat-syarat tertentu. Dalil mengenai perkara ini diambil secara umum berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Bersegeralah kamu dengan (pengurusan) jenazah.”
(Hadits riwayat Muslim)

Berikut adalah pendapat ulama mengenai perkara menyegerakan atau melambatkan sembahyang ke atas jenazah:

1. Tidak disunatkan untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang ke atas jenazah kerana menunggu atau mengharap bertambahnya bilangan orang yang akan menyembahyangkan jenazah tersebut.

Perkara menyegerakan sembahyang jenazah adalah dituntut melainkan jika yang ditunggu itu adalah wali kepada jenazah tersebut untuk menyembahyangkan jenazah tersebut. Dalam hal ini, maka tidak mengapa diakhirkan sembahyang jenazah kerana menantikan kedatangan walinya. Ini kerana menurut pendapat ulama, wali kepada jenazah adalah orang yang berhak (mustahiq) untuk menjadi imam bagi sembahyang jenazah itu. Namun perkara yang penting ialah bukan menjadi suatu kewajipan untuk diakhirkan sembahyang ke atas jenazah hanya kerana menunggu kedatangan wali. Tambahan daripada itu, ulama telah menggariskan beberapa syarat jika sembahyang jenazah hendak diakhirkan kerana menunggu walinya, iaitu:

i. Jika diharapkan kedatangan wali tersebut daripada tempat yang dekat atau berhampiran, maka sunat mengakhirkan sembahyang ke atas jenazah.

ii. Hendaklah selamat daripada terjadinya perubahan terhadap mayat.

2. Sebahagian ulama mengatakan jika tidak ditakuti terjadi perubahan pada jenazah, maka sepatutnya ditunggu sehingga jemaah itu sempurna bilangannya seratus atau empat puluh orang yang diharapkan kehadiran mereka daripada tempat yang dekat. Antara alasan yang dikemukakan ialah:

i) Perkara ini adalah warid berdasarkan hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ مَيِّتٍ تُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيْهِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Tidak ada satu mayat yang disembahyangkan ke atasnya oleh sekumpulan muslimin yang mencapai bilangannya seratus orang, kesemuanya memohon syafaat baginya (mayat), melainkan diterima syafaat mereka itu pada mayat tersebut.”
(Hadits riwayat Muslim)

ii) Hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئاً إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللهُ فِيْه ِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang meninggal dunia lalu disembahyangkan ke atas jenazahnya oleh empat-puluh orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, melainkan Allah menerima syafaat mereka itu pada mayat tersebut.”
(Hadits riwayat Muslim)

iii) Diriwayatkan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma telah mengakhirkan sembahyang jenazah kerana menanti sempurnanya bilangan 40 orang.

iv) Dikatakan bahawa hikmahnya ialah tidak berkumpul 40 orang kecuali terdapat di antara mereka itu seorang wali. Adapun hikmah 100 orang adalah  serupa dengan hikmah 40 orang.

v)    Pada masa akhir-akhir ini, sudah menjadi suatu kebiasaan atau kelaziman bahawa sembahyang jenazah itu tidak dilakukan di atas kubur, yakni selepas jenazah dikebumikan. Ini kerana ittiba‘ (mengikut sunnah Nabi), apabila seseorang atau satu jemaah itu hadir setelah jenazah disembahyangkan dan mereka mahu menyembahyangkannya, maka sembahyang ke atas jenazah sunat dilakukan di atas kubur.

Atas anggapan bahawa sembahyang jenazah itu tidak akan dilakukan setelah jenazah dikebumikan, maka sunat ditunggu sempurnanya bilangan yang disebutkan, di samping terdapatnya maslahat untuk jenazah tersebut.




Sebagai kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu kifayah dan menyegerakan sembahyang jenazah itu adalah dituntut. Namun sunat ditangguhkan atau dilambatkan untuk menunggu kedatangan wali kepada jenazah dan dengan syarat tidak terjadi perubahan kepada jenazah. Manakala warid daripada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, amalan sahabat dan pendapat sebahagian ulama jika tidak ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, sepatutnya menunggu seketika bagi menyempurnakan bilangan seratus atau empat puluh orang untuk menyembahyangkan jenazah tersebut. 

No comments:

Post a Comment