(Dengan nama Allah, Segala puji bagi
Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Dalam
mengerjakan sembahyang jemaah, adakalanya makmum terlambat mengikut imam dan
adakalanya juga makmum mendahuluinya.
Pada
dasarnya, makmum wajib mengikut imam pada perbuatan-perbuatan sembahyang. Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّمَا
جُعِلَ اْلإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ
فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا، وَإِذَا قَالَ: "سَمِعَ اللَّهُ
لِمَنْ حَمِدَهُ"، فَقُولُوا: "رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ"، وَإِذَا
سَجَدَ فَاسْجُدُوا.
(رواه البخاري)
Maksudnya:
“Sesungguhnya imam itu dijadikan
untuk diikuti. Oleh itu, jika dia bertakbir maka kamu ikutlah bertakbir dan
jika dia ruku‘ maka kamu ikutlah ruku‘ dan jika dia bangkit (dari ruku‘) maka
kamu bangkitlah dan jika dia membaca: “ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ” maka
kamu bacalah: “ رَبَّنَا لَكَ
الْحَمْدُ ” dan jika
dia sujud maka kamu sujudlah.”
(Hadits riwayat
al-Bukhari)
Makmum
yang senghaja melambat-lambatkan daripada mengikut perbuatan imam sehingga imam
mendahuluinya dengan dua rukun fi‘li (rukun perbuatan dalam sembahyang) sama
ada yang panjang ataupun pendek, maka batallah sembahyang makmum tersebut
kerana terlalu banyak ketinggalan.
Sementara
makmum yang tidak senghaja melambat-lambatkan daripada mengikut perbuatan imam
sehingga imam mendahuluinya dengan dua rukun fi‘li yang panjang ataupun
pendek, maka tidaklah batal sembahyangnya.
Namun
dalam hal makmum yang tidak senghaja terlambat daripada imamnya ini, janganlah
dia ketinggalan sehingga imam mendahuluinya dengan tiga rukun fi‘li yang
panjang. Ini kerana jika imam mendahuluinya dengan tiga rukun fi‘li yang
panjang, maka hendaklah dia terus sahaja mengikut perbuatan yang dilakukan imam
pada ketika itu dan setelah imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri
lagi bagi mengganti rakaat yang dia tidak sempat menyempurnakan beberapa rukun
di dalamnya itu.
Apa
yang dimaksudkan dengan rukun fi‘li yang panjang ialah berdiri (qiyam),
ruku‘, sujud dan duduk tasyahhud akhir. Sementara maksud rukun fi‘li
yang pendek ialah i‘tidal dan duduk antara dua sujud.
Bagaimana
pula jika makmum mendahului imam sama ada pada bacaan atau perbuatan
sembahyang, adakah perkara ini boleh merosakkan sembahyang makmum itu?
Makmum
mendahului bacaan imam
Jika
makmum mendahului imam pada rukun qauli (bacaan yang wajib) selain takbiratulihram
dan salam, maka tidaklah berdosa dan sah sembahyangnya. Ini kerana makmum
tersebut melaksanakan rukun qauli itu pada tempatnya tanpa banyak percanggahan
perbuatannya dengan imam.
Adapun
makmum yang mendahului imam melakukan takbiratulihram, atau melakukannya
serentak dengan takbiratulihram imam sama ada keseluruhannya atau sebahagian
takbiratulihram, atau makmum syak sama ada dia mengangkat takbiratulihram
serentak bersama imam atau selepas selesai imam mengangkat takbiratulihram
dan dia tidak dapat meyakini perkara yang menjadi syak ke atasnya itu dalam
masa yang terdekat, maka tidaklah sah sembahyangnya itu kerana dia berniat
mengikut orang yang belum berada di dalam sembahyang.
Demikian
juga, jika makmum mendahului imam melakukan salam maka batal sembahyangnya
melainkan jika dia berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikut imam).
Makmum
mendahului perbuatan imam
Makmum
tidak boleh mendahului perbuatan imam. Perbuatan mendahului imam jika dilakukan
dengan senghaja adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
أَمَا يَخْشَى الَّذِي يَرْفَعُ رَأْسَهُ قَبْلَ اْلإِمَامِ
أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ
(رواه مسلم)
Maksudnya:
“Apakah tidak takut orang yang
mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan menukarkan
kepalanya dengan kepala keldai?”
(Hadits riwayat Muslim)
Menurut
al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, bahawa hadits di atas bermaksud
menjelaskan perihal beratnya pengharaman perbuatan mendahului imam.
Makmum
yang mendahului perbuatan imam ini bolehlah dibahagikan kepada dua:
(1) Makmum mendahului imam kurang daripada dua rukun fi‘li
Apabila makmum mendahului imam dengan senghaja atau kerana
terlupa kurang daripada dua rukun fi‘li sama ada yang panjang atau
pendek, sama ada satu rukun fi‘li yang sempurna atau sebahagian rukun fi‘li
ataupun satu dan sebahagian rukun fi‘li, tidaklah perbuatannya itu
membatalkan sembahyang. Ini kerana perbuatannya yang bersalahan dengan imam itu
adalah sedikit.
§ Contoh makmum mendahului imam dengan satu rukun fi‘li
yang sempurna:
Setelah makmum melakukan ruku‘ dan mula bangkit
daripada ruku‘, barulah imam melakukan ruku‘. Ini bererti makmum
mendahului imam dengan satu rukun yang sempurna iaitu ruku‘.
§ Contoh makmum mendahului imam pada sebahagian rukun fi‘li:
Imam masih berdiri sedang makmum sudah membongkokkan
badannya untuk melakukan ruku‘. Sebelum makmum bangkit daripada ruku‘,
imam pun melakukan ruku‘. Ini bererti makmum mendahului imam dengan
sebahagian rukun fi‘li iaitu ruku‘.
§ Contoh makmum mendahului imam pada satu dan sebahagian
rukun fi‘li:
Ketika imam masih berdiri, makmum melakukan ruku‘
dan ketika makmum melakukan i‘tidal imam pun melakukan ruku‘. Ini
bererti makmum mendahului imam dengan satu rukun fi‘li yang sempurna
iaitu ruku‘ dan sebahagian rukun fi‘li iaitu i‘tidal.
Dalam keadaan ini, apakah yang perlu dilakukan oleh
makmum? Adakah memadai dia menunggu imam sahaja ataupun kembali semula mengikut
perbuatan imam?
Makmum yang senghaja mendahului perbuatan imam boleh
menunggu imam sampai ke perbuatan yang didahuluinya, akan tetapi sunat baginya
untuk kembali semula mengikut perbuatan imam.
Sementara makmum yang mendahului perbuatan imam kerana
terlupa, harus baginya memilih sama ada menunggu imam ataupun kembali semula mengikut
perbuatan imam. Walau bagaimanapun adalah lebih baik dia kembali semula mengikut
perbuatan imam.
(2) Makmum mendahului imam sehingga dua rukun fi‘li
Dalam hal ini terdapat dua keadaan:
(i)
Mendahului
imam dengan senghaja dan tahu perbuatan itu haram
Apabila makmum mendahului imam dengan dua rukun fi‘li
yang panjang atau pendek dengan senghaja dan dia tahu bahawa perbuatan itu
haram, maka perkara ini boleh membatalkan sembahyangnya. Ini kerana perbuatannya
terlalu banyak bersalahan dengan imam.
§ Contoh:
Makmum melakukan ruku‘, i‘tidal dan mula
hendak melakukan sujud sedangkan imam masih berdiri. Ini bererti makmum
mendahului imam dengan dua rukun fi‘li iaitu ruku‘ dan i‘tidal.
(ii) Mendahului imam kerana terlupa atau tidak tahu
perbuatan itu haram
Apabila makmum mendahului imam dengan dua rukun fi‘li
yang panjang atau pendek disebabkan terlupa atau tidak tahu perbuatan itu
haram, perkara ini tidaklah membatalkan sembahyangnya akan tetapi perbuatan-perbuatan
yang didahuluinya sebelum imam itu melakukannya adalah tidak dikira. Oleh itu
wajib bagi makmum itu kembali semula mengikut perbuatan imam apabila dia
teringat.
§ Contoh:
Makmum melakukan ruku‘, i‘tidal dan mula
hendak melakukan sujud sedangkan imam masih berdiri. Dalam keadaan ini makmum itu
hendaklah kembali semula berdiri untuk mengikut imam.
Namun jika makmum itu tidak juga kembali semula mengikut
perbuatan imam, apabila imam selesai memberi salam hendaklah dia berdiri lagi
bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu. Jika imam selesai memberi salam
dan dia tidak berdiri lagi bagi mengganti rakaat yang tidak dikira itu, maka
hendaklah dia mengulang semula sembahyangnya.
Sebagai
kesimpulan, dalam perkara sembahyang jemaah banyak lagi perkara-perkara yang
perlu diketahui, contohnya dalam masalah syarat-syarat mengikut imam. Oleh
sebab itu, syarat-syarat ini perlu dipelajari dan diambil perhatian mengenainya
demi mencapai kesempurnaan sembahyang jemaah itu.
Assalamua'laikum,Jika kita tak tau kalau kite mesti balik ke keadaan semule ketika mendahului imam tanpa sengaja apakah sah shalat kite
ReplyDeleteSembahyang
Delete