PERMASALAHAN SUJUD SAHWI
|
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam
ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
pengikut Baginda)
Sujud sahwi merupakan
satu daripada pelengkap rahmat dan nikmat yang tidak terhingga dari Allah Subhanahu
wa ta‘ala
ke atas umat Islam seluruhnya.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam juga adalah manusia biasa seperti kita yang pernah melakukan kesilapan
dalam amal perbuatannya. Akan tetapi Allah Subhanahu wa ta‘ala
tidak menjadikan kesilapan dan keterlalaian Baginda itu sebagai yang sia-sia, bahkan
ada hikmah disebaliknya. Dari kesilapan tersebutlah disyariatkan sujud sahwi
ke atasnya untuk menjadi ikutan umat Islam kemudian.
Dari Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu
‘anhu,
telah berkata ia:
صَلَّى
النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ إِبْرَاهِيمُ النَّخَعِي: لاَ
أَدْرِيْ زَادَ أَو نَقَصَ ، فَلَمَّا سَلَّّّمَ قِيْلَ لَهُ: يَا رَسُوْلَ
اللَّهِ أَحَدَثَ في الصَّلاةِ شَيْءٌ؟ قَالَ: وَمَا ذَاكَ؟ قَالُواْ: صَلَّيْتَ كَذَا
وَكَذَا. فَثَنَى رِجْلَيهِ وَاسَتَقْبَلَ الْقِبلَةَ وَسَجَدَ سَجَدَتَيْنِ ثُمَّ
سَلَّمَ. فَلَمَّا أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْههِ قَالَ: إِنَّهُ لَوْ حَدَثَ فِي
الصَّلاَةِ
شَيْءٌ لَنَبَّأْتُكُمْ بِهِ، وَلَكِنْ إِنَّما أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ، أَنْسَى كَمَا تَنْسَونَ، فَإِذَا نَسِيْتُ فَذَكِّرُونِي، وَإِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتهِ فَلْيَتَحَرَّ الصَّوَابَ، فَلْيُتِمَّ عَلَيْهِ ثُمَّ لَيُسَلِّمْ، ثمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَينِ.
شَيْءٌ لَنَبَّأْتُكُمْ بِهِ، وَلَكِنْ إِنَّما أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ، أَنْسَى كَمَا تَنْسَونَ، فَإِذَا نَسِيْتُ فَذَكِّرُونِي، وَإِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتهِ فَلْيَتَحَرَّ الصَّوَابَ، فَلْيُتِمَّ عَلَيْهِ ثُمَّ لَيُسَلِّمْ، ثمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَينِ.
(رواه
مسلم)
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang,
berkata Ibrahim An-Nakha‘i Radhiallahu ‘anhu: "Aku tidak pasti sama ada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menambah ataupun mengurangkan raka‘at
sembahyangnya". Maka setelah
selesai Baginda memberi salam, lalu dikatakan kepadanya: "Ya Rasulullah,
adakah telah berlaku sesuatu ketika Tuan bersembahyang tadi?". Lalu Baginda
pun bersabda: "Apakah yang telah berlaku tadi?". Mereka menjawab: "Sesungguhnya
Tuan telah melakukan sembahyang begini dan begini".
Lalu
Baginda pun melipatkan kedua belah
kakinya seraya menghadap qiblat lalu bersujud sebanyak dua kali sujud
kemudian Baginda pun memberi salam. Apabila Baginda berpaling menghadap kami
(setelah selesai memberi salam), Baginda pun bersabda: "Seandainya terjadi
sesuatu (perubahan) dalam sembahyang, nescaya aku akan mengkhabarkannya kepada
kamu. Akan tetapi aku hanyalah manusia biasa seperti kamu (yang boleh lupa
sebagaimana halnya kamu). Andainya aku terlupa, maka ingatkanlah aku. Apabila
seseorang daripada kamu merasa ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka berusahalah
untuk mencari kepastian (meyakinkan diri), lalu sempurnakanlah (sembahyang
tersebut). Kemudian hendaklah dia
bersujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi)".
(Hadits riwayat Imam Muslim)
Dengan sujud sahwi inilah
umat Islam dapat memperbaiki sembahyang mereka seandainya berlaku sesuatu
kekurangan dalam sembahyang mereka tanpa perlu untuk bersembahyang semula.
Apakah Yang Dimaksudkan
Dengan Sujud Sahwi?
Sujud sahwi ialah sujud
yang dilakukan manakala terlupa atau tertinggal sesuatu yang disuruh atau melakukan
sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan senghaja atau sebaliknya,
iaitu sebagai penampal terhadap kelalaian-kelalaian tersebut, sama ada ianya
berlaku dalam sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat.
Dari Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
إذَا
شَكَّ أحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلْيُلْقِ الشَّكَ وَلْيَبْنِ عَلَى الْيَقِينِ،
فَإذَا اسْتَيْقَنَ التَّمَامَ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، فَإِنْ كَانَتْ صَلاَتُهُ
تَامَّةً كَانَتِ الرَّكْعَةُ نَافِلَةً وَالسَّجْدَتَانِ، وَإنْ كَانَتْ نَاقِصَة
ًكَانَتِ الرَّكْعَةُ تَمَاماً لِصَلاَتِهِ وَكَانَتِ السَّجْدَتَانِ تَرْغِيمَتَىِ
الشَّيْطَانِ.
(رواه أبو داود)
Maksudnya: "Jika seseorang daripada kamu
ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka hendaklah membuang dan meninggalkan
keraguan tersebut dan tetapkanlah bilangan raka‘at yang
diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan
kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan dua kali sujud (sujud
sahwi). Jika ternyata sembahyangnya
adalah sempurna (empat raka‘at), maka raka‘at tambahan (yang kelima) dan sujud sahwi
tersebut adalah sebagai nafilah (amalan sunat). Dan jika ternyata sembahyangnya kurang, maka raka‘at keempat itu adalah sebagai
pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi pula sebagai pengajaran (tamparan)
bagi syaitan".
(Hadits riwayat Imam Abu Daud)
Penyebab Sujud Sahwi
Menurut mazhab as-Syafi‘e, penyebab
sujud sahwi ada dua, iaitu terlupa sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu
yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan senghaja atau sebaliknya, walaupun
hanya syak terhadap perkara-perkara tersebut.
Adapun penyebab yang pertama
iaitu terlupa sesuatu yang disuruh dalam sembahyang terbahagi kepada dua
perkara:
1) Terlupa rukun-rukun
sembahyang.
Rukun-rukun sembahyang itu ada
tigabelas perkara:
1. Niat.
2. Berdiri
betul.
3. Takbiratul
ihram.
4. Membaca
surah al-Fatihah.
5. Ruku‘ serta thuma'ninah padanya.
6. I‘tidal
serta thuma'ninah padanya.
7. Sujud
serta thuma'ninah padanya.
8. Duduk
di antara dua sujud serta thuma‘ninah padanya.
9. Membaca tahiyyat akhir.
10. Duduk membaca tahiyyat akhir.
11. Membaca shalawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasaallam ketika tahiyyat akhir.
12. Memberi salam.
13. Tertib.
Jika yang tertinggal itu sesuatu rukun daripada rukun-rukun di
atas, maka tidaklah memadai dengan hanya melakukan sujud sahwi sahaja, bahkan
mestilah menyempurnakan rukun-rukun yang tertinggal tersebut mengikut tertib sembahyang
sebelum melakukan sujud sahwi.
2)Terlupa sunat-sunat ab‘adh.
Sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang ada enam
perkara:
1.
Tasyahhud awal dan
duduknya.
2.
Qunut subuh dan qunut witir, dan berdirinya.
3.
Shalawat ke atas Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal.
4.
Shalawat ke atas Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam ketika qunut.
5.
Shalawat ke atas keluarga
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir.
6.
Shalawat ke atas keluarga
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
Jika yang tertinggal itu sunat-sunat ab‘adh,
maka memadailah menggantikannya dengan sujud sahwi sahaja.
Adapun
perkara-perkara sunat dalam sembahyang selain daripada sunat-sunat ab‘adh
seperti doa Iftitah, membaca surah-surah selepas surah al-Fatihah dan
membaca Isti‘azah
(أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ), jika terlupa untuk mengerjakannya
tidaklah disunatkan untuk bersujud sahwi menurut pendapat yang paling rajih
dalam mazhab as-Syafi‘e. Bahkan ianya boleh membatalkan sembahyang jika senghaja melakukan
sujud sahwi sedangkan dia mengetahui akan hukumnya kerana ianya seolah-olah
menambah sujud dalam sembahyang tanpa sebab-sebab yang dituntut oleh syara‘.
Dalam kitab al-Majmu‘ ada
disebutkan bahawa tidak diharuskan untuk melakukan sujud sahwi jika
meninggalkan sunat-sunat sembahyang yang bukan sunat ab‘adh
sama ada secara senghaja ataupun tidak
kerana perkara ini tidak sabit dari Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam.
Penyebab kedua pula juga terbahagi kepada
dua bahagian:
1) Perkara yang jika dilakukan dengan
senghaja tidak akan membatalkan sembahyang seperti menoleh, berfikir dalam
sembahyang, melangkah tidak sampai tiga langkah berturut-turut dan lain-lain. Perkara-perkara
sebegini tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada
membuatnya secara senghaja ataupun tidak.
Dikecualikan dalam perkara ini jika
sekiranya menukarkan suatu rukun qauli selain daripada salam dan takbiratul
ihram ke tempat lain yang bukan tempatnya, misalnya terbaca surah al-Fatihah
ketika tahiyyat akhir, ataupun terbaca bacaan tahiyyat akhir ketika ruku‘.
Jika perkara ini berlaku, ia tidaklah
membatalkan sembahyang walaupun disenghajakan menurut pendapat yang paling rajih
sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtaj. Ini adalah kerana
memindahkan rukun qauli kepada yang lain dari tempatnya tidaklah
mengubah rupa sesuatu sembahyang. Maka dalam hal ini, adalah disunatkan untuk melakukan
sujud sahwi. Berlainan pula halnya jika memindahkan rukun fi‘li
kerana ianya mengubah rupa sesuatu sembahyang, dan akan membatalkan sembahyang jika ianya
disenghajakan.
Demikian juga sunat hukumnya melakukan sujud
sahwi jika terpindah bacaan-bacaan yang lain seperti zikir-zikir ruku‘, sujud, i‘tidal dan bacaan duduk di antara
dua sujud ke tempat yang bukan tempatnya.
Mengenai hal ini, Imam Ibnu Hajr al-Haitami
pernah ditanyakan, adakah perlu untuk melakukan sujud sahwi jika terbaca
zikir ruku‘ ketika sujud ataupun bacaan sujud ketika
ruku‘? Imam Ibnu Hajr al-Haitami memfatwakan,
jika terbaca mana-mana zikir ruku‘, sujud, i ‘tidal
dan duduk di antara dua sujud pada tempat yang bukan tempat asalnya, disunatkan
untuk melakukan sujud sahwi sama ada disenghajakan ataupun tidak, ini
adalah kerana kesalahan tidak mengikut perkara yang disuruh dalam sembahyang,
iaitu kegagalan untuk menjaga tatatertib bacaan.
Akan tetapi jika memindahkan salam ataupun takbiratul
ihram dengan senghaja, ini boleh membatalkan sembahyang jika ianya
diniatkan untuk memberhentikan ataupun untuk memulakan sembahyang. Bagaimanapun,
disunatkan untuk melakukan sujud sahwi jika ianya tidak disenghajakan.
2) Perkara yang jika dilakukan dengan
senghaja akan membatalkan sembahyang, antaranya makan, berkata-kata,
memindahkan rukun fi‘li, menambah ataupun mengurangkan ruku‘ dan sujud.
Dalam hal ini, jika sekiranya sembahyang
tersebut belum lagi batal, misalnya hanya tercakap sedikit sahaja (tidak
melebihi enam patah perkataan menurut Imam Sayyid al-Bakri), maka sunatlah baginya
untuk melakukan sujud sahwi.
Akan tetapi jika dia bercakap-cakap yang
boleh membatalkan sembahyang, maka tidaklah perlu baginya untuk melakukan sujud sahwi lagi kerana
sembahyangnya memang sudah batal.
Kayfiyyah (Cara Melakukan) Sujud Sahwi
Dalam mazhab as-Syafi‘e, sujud sahwi
dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan
wajib berniat untuk melakukan sujud sahwi dalam hati.
Caranya ialah sama seperti sujud yang biasa
kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara
keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud
barulah memberi salam.
Disunatkan untuk membaca ketika dua sujud sahwi
tersebut bacaan tasbih berikut:
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ
يَسْهُو
Maksudnya: "Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak
lalai"
Adakah Memadai Dua Kali
Sujud Sahaja Jika Banyak Berlaku Kesalahan Dalam Sembahyang?
Imam Khatib as-Sharbini menyatakan
dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, adalah memadai dengan dua sujud sahaja walaupun
berlaku berbagai-bagai jenis kelalaian, sama ada tertambah, terkurang atau
kedua-duanya sekali. Ini berdasarkan hadits riwayat Imam Bukhari, bahwasanya
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
telah berkata:
صَلَّى
بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ أَوِ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ،
فَقَالَ لَهُ ذُوالْيَدَيْنِ: الصَّلاَةُ يَا رَسُوْلَ اللّهِ أَنَقَصَتْ؟
فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ِلأَصْحَابِهِ: أَحَقٌّ ما يَقُوْلُ؟
قَالُواْ: نَعَمْ. فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ، ثُمَّ سَجَدَ سَجَدَتَيْنِ
(رواه البخاري)
Maksudnya:
"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang
fardhu Zuhur ataupun ‘Asar bersama kami, lalu Baginda
memberi salam. Kemudian berkata kepadanya Zul Yadain: "Wahai Rasulullah! Adakah
sembahyang telah dikurangkan?". Lalu Baginda pun bertanya kepada
sahabat-sahabatnya: "Benarkah apa yang dikatakannya?" Para sahabat lalu
menjawab: "Benar ya Rasulullah". Lalu Baginda pun menyambung dua raka‘at
terakhir sembahyangnya tadi kemudian Baginda pun melakukan sujud dua kali sujud
(sujud sahwi)".
(Hadits riwayat
Imam Bukhari)
Berdasarkan hadits
tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam hanya melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali sujud
sahaja sedangkan Baginda telah terlupa dua raka‘at penuh termasuk rukun-rukun
serta sunat-sunat ab‘adh
yang ada dalam kedua-dua raka‘at tersebut.
Hukum Melakukan Sujud Sahwi
Selepas Salam
Menurut pendapat yang
paling rajih dalam mazhab as-Syafi‘e, waktu untuk mengerjakan
sujud sahwi itu ialah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum
memberi salam, ini berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah
bin Buhainah Radhiallahu ‘anhu
telah berkata:
إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ مِنِ اثْنَتَيْنِ
مِنَ الظُّهْرِ لَمْ يَجْلِسْ بَيْنَهُمَا. فَلَمَّا قَضَى صَلاتَهُ سَجَدَ سَجْدَتَينِ،
ثُمَّ سَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ
(رواه البخاري)
Maksudnya:
"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah
berdiri setelah dua raka‘at bersembahyang fardhu
Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda
bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua
kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam".
(Hadits riwayat
Imam Bukhari)
Bagaimanapun, disunatkan
juga untuk melakukan sujud sahwi selepas salam jika terlupa untuk
mengerjakannya sebelum salam dengan syarat belum jauh jarak waktu pada
kebiasannya di antara salamnya tadi dengan waktu teringat dan juga tidak terkena
najis, sekalipun seseorang itu telah bercakap-cakap sedikit (kira-kira tidak
membatalkan sembahyang) ataupun telah membelakangi qiblat sepertimana yang dijelaskan
dalam kitab Mughni al-Muhtaj. Ini berdasarkan hadits dari Abdullah bin Mas‘ud
Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الظُّهْرَ
خَمْساً. فَلَمَّا سَلَّمَ قِيلَ لَهُ: أَزِيدَ فِي الصَّلاَةِ؟ قَالَ: وَمَا
ذَاكَ؟ قَالُواْ: صَلَّيْتَ خَمْساً.
فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ
(رواه مسلم)
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersembahyang Zuhur bersama kami sebanyak lima raka‘at. Setelah Baginda
memberi salam, lalu ditanyakan kepadanya: "Adakah telah ditambah (raka‘at)
sembahyang?" Lalu Baginda bertanya kembali: "Apa yang ditambah?"
Lalu para sahabat pun menjawab: "Tuan telah bersembahyang lima raka‘at". Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun melakukan sujud
sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi)".
(Hadits riwayat Imam Muslim)
Dari Shahih Imam Bukhari
pula meriwayatkan, bahwasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
telah berkata:
صَلَّى
النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِحْدَى صَلاَتَيِ العَشِيِّ. قاَلَ مُحَمَّدٌ:
وَأَكْثَرُ ظَنِّي أَنَّهَا الْعَصْرُ رَكْعَتَيْنِ، ثمَّ سلَّمَ، ثمَّ قَامَ إِلَى
خَشَبَةٍ فِي مُقَدَّمِ الْمَسْجِدِ فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهَا، وَفِيْهِمْ أَبُو
بَكْرٍ وَعُمَرُ رَضِيَ اللّهُ عَنْهُمَا فَهَابَا أَنْ يُكَلِّمَاهُ، وَخَرَجَ
سَرَعَانُ النَّاسِ، فَقَالُواْ: أَقُصِرَتِ الصَلاَةُ؟، وَرَجُلٌ يَدْعُوهُ رَسُولُ
اللّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَا الْيَدَيْنِ فَقَالَ: أَنَسِيْتَ أَمْ
قَصُرَتْ؟ فَقَالَ: لَمْ أَنْسَ وَلَمْ تُقْصَرْ. قَالَ: بَلَى قَدْ نَسِيْتَ. فَصَلَّى
رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ كَبَّرَ فَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ،
ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَكَبَّرَ، ثُمَّ وَضَعَ رَأْسَهُ فَكَبَّرَ فَسَجَدَ مِثْلَ
سُجُوْدِهِ أَوْ أَطْوَلَ، ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وَكََبَّرَ
(رواه البخاري)
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan satu daripada dua sembahyang
siang (kemungkinan besar ianya adalah sembahyang fardhu ‘Asar mengikut pendapat Muhammad
bin Sirin) sebanyak dua raka‘at
lalu Baginda memberi salam. Kemudian Baginda
pun bangun lantas menuju ke arah sebatang kayu (tiang) yang terletak di muka
masjid lalu meletakkan tangan Baginda pada kayu tersebut
(bersandar padanya).
Antara kalangan para sahabat yang hadir pada ketika itu ialah
Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar al-Khattab Radhillahu ‘anhuma.
Kedua-dua sahabat itu merasa segan untuk menghadapkan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallahu
‘alaihi
wasallam. Maka jemaah yang berada dalam masjid pun keluar cepat-cepat lalu
bertanya: "Adakah sembahyang‘ Asar itu tadi telah diqasharkan? Kemudian bertanya pula
seorang sahabat yang digelarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam sebagai Zul Yadain: "Adakah Tuan tadi terlupa ataupun shalat itu
tadi telah diqasharkan?". Baginda pun menjawab: "Aku tidak terlupa
dan shalat itu tadi pun tidak diqasharkan" Lalu Zul Yadain berkata lagi: "Betul,
Tuan tadi telah terlupa".
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam pun menyambung kembali sembahyangnya
sebanyak dua raka‘at,
lalu memberi salam, kemudian bertakbir, lalu melakukan sujud sebagaimana sujud
yang biasa ataupun lebih lama dari itu. Selepas itu Baginda pun bertakbir
kemudian sujud lagi sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu.
Sesudah itu Baginda mengangkat kepalanya dan bertakbir."
(Hadits riwayat Imam Bukhari)
Kedua-dua hadits di atas menerangkan bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah melakukan sujud sahwi selepas Baginda memberi salam
sedangkan Baginda telahpun berkata-kata, berjalan dan berpaling dari arah
qiblat. Akan tetapi, jarak masa di antara salam dan waktu Baginda diingatkan oleh
para sahabat itu tidak panjang yakni belum lagi lama.
Sebaliknya, jika jarak
masanya sudah jauh maka luputlah sujud sahwi tersebut berdasarkan
pendapat yang paling rajih dalam mazhab as-Syafi‘e. Begitu juga jika sekiranya
seseorang itu terkena najis ataupun
telah bercakap-cakap dengan banyak.
Bagaimanapun, jika seseorang
itu dengan senghaja memberi salam sebelum melakukan sujud sahwi, maka
luputlah sujud sahwi tersebut kerana tempat sujud sahwi itu
asalnya ialah sebelum salam sedangkan dia telah dengan senghaja menutup
sembahyangnya dengan memberi salam.
Pendapat Ulama Mengenai Kadar
Jangka Masa Pendek Ataupun Panjang Dalam Permasalah Sujud Sahwi.
Diibaratkan oleh para
ulama, kadar jangka masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam daripada kisah Zul Yadain. Dalam kisah tersebut, digambarkan
bahawa Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zul
Yadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka.
Sementara kadar masa panjang pula ialah
apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zul Yadain
tersebut.
Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq pula,
bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa seraka‘at.
Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar
jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada
dua, tiga atau empat raka‘at.
Hukum Jika Teringat Ada Kekurangan Dalam Rukun
Sembahyang Selepas Memberi Salam
Menurut pendapat Imam
Nawawi, jika seseorang itu teringat bahawa dia telah terlupa sesuatu rukun dalam
sembahyangnya selain daripada niat dan takbiratul ihram sesudah memberi salam,
misalnya terlupa untuk ruku‘, sujud, membaca surah al-Fatihah
dan sebagainya dalam sembahyangnya tadi, jika jarak waktu teringat akan
kelalaian tersebut masih belum lagi jauh pada adat kebiasaannya selepas memberi
salam, maka wajiblah ke atasnya menyempurnakan sembahyang itu mengikut tertib
sembahyang, kemudian melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Bagaimanapun, jika jarak
waktu di antara keduannya sudah jauh, maka wajiblah ke atasnya mengulangi
sembahyang tersebut.
Umpamanya
jika dia terlupa untuk membaca surah al-Fatihah pada raka‘at yang terakhir, wajib
ke atasnya untuk berdiri betul dan membaca surah al-Fatihah kemudian menyambung
sembahyangnya itu mengikut tertib dalam raka‘at akhir kemudian melakukan
sujud sahwi sebelum memberi salam.
Akan tetapi jika yang
tertinggal itu adalah niat ataupun takbiratul ihram, wajib ke atasnya mengulangi
sembahyang tersebut.
Waswas Selepas Memberi
Salam
Jika seseorang ragu-ragu
atau waswas selepas memberi salam bahawa dia mungkin terlupa suatu rukun selain
niat ataupun takbiratul ihram, maka tidaklah dituntut ke atasnya untuk
menyempurnakan rukun tersebut dan tidak juga dituntut melakukan sujud sahwi atas keraguannya terhadap sesuatu rukun itu,
kerana pada zahirnya dari segi syara‘ dia dikira sudah
menyempurnakan sembahyangnya.
Ini kerana jika keraguan
tersebut memberi kesan ke atas sembahyangnya tadi, maka ini akan menjadi bebanan
yang berat khususnya bagi orang yang menghidap penyakit waswas.
Adapun jika sekiranya keraguan
tersebut pada niat ataupun takbiratul ihram, misalnya dia keliru adakah
dia telah berniat untuk sembahyang fardhu ataupun sunat, atau adakah dia telah berniat
untuk sembahyang Zuhur ataupun ‘Asar, maka wajib ke
atasnya mengulangi sembahyang tersebut sepertimana penjelasan mengenai hal ini dalam
kitab Mughni al-Muhtaj.
Jika Ragu-Ragu Pada Bilangan
Raka‘at
Dalam kitab Mughni
al-Muhtaj ada dijelaskan beberapa permasalahan
jika berlaku syak pada bilangan raka‘at dalam sembahyang. Permasalahan
tersebut adalah seperti berikut:
1) Jika seseorang itu
sudah berdiri untuk mengerjakan raka‘at keempat, kemudian dia
ragu-ragu sama ada raka‘at tersebut adalah raka‘at yang ketiga ataupun
keempat, hendaklah dia memilih bilangan raka‘at yang paling sedikit, iaitu
menganggap raka‘at tersebut adalah raka‘at yang ketiga kemudian disunatkan
dia melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam oleh sebab keraguan
tersebut, walaupun keraguannya itu tadi telah hilang sebelumnya memberi salam.
Ini kerana pada asalnya dia
dikirakan belum lagi masuk ke dalam raka‘at yang keempat ketika
itu, sungguhpun raka‘at tersebut sebenarnya adalah raka‘at yang keempat kerana
dia merasa ragu-ragu mengenainya.
Ini berdasarkan hadits
dari Abu Sa‘id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu,
bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟
ثَلاَثاً أَمْ أَرْبَعاً؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا
اسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَانَ
صَلَّى خَمْساً، شَفَعْنَ لَهُ صَلاَتَهُ
(رواه مسلم)
Maksudnya:
"Apabila ragu-ragu seseorang daripada kamu di dalam sembahyangnya, lalu
dia tidak pasti sudah berapa raka‘at dia bersembahyang, sama
ada tiga raka‘at ataupun sudah yang keempat, maka hendaklah
dia membuang dan meninggalkan keraguan tersebut, dan
tetapkanlah bilangan raka‘at yang diyakini
(mengambil bilangan raka‘at yang paling sedikit).
Kemudian hendaklah dia melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi)
sebelum dia memberi salam. Jika sebenarnya dia telahpun bersembahyang sebanyak lima raka‘at,
maka disempurnakan sembahyangnya itu dengan sujud sahwi tersebut (dikira
sempurna empat raka‘at) ".
(Hadits riwayat
Imam Muslim)
2) Jika seseorang itu
berada pada raka‘at yang ketiga, kemudian berasa ragu terhadap raka‘at
tersebut sama ada raka‘at yang ketiga ataupun keempat, lalu dia teringat bahawa raka‘at
tersebut adalah raka‘at yang ketiga sebelumnya berdiri semula untuk mengerjakan raka‘at
yang seterusnya (yang keempat), maka tiadalah perlu untuknya melakukan sujud sahwi
kerana apa yang dibuatnya selepas itu (berdiri untuk menyambung raka‘at
keempat) memang dituntut (tepat) dan dia yakin dan tidak ragu-ragu lagi akan kedudukan
raka‘at
tersebut, walaupun sebelum itu dia waswas.
Lainlah halnya jika dia
baru teringat sesudahnya berdiri untuk mengerjakan raka‘at keempat. Ini kerana
dia telah menyambung raka‘at keempat tersebut dengan keadaannya yang masih lagi ragu-ragu, iaitu
raka‘at
tersebut mungkin yang keempat ataupun boleh jadi sudah yang kelima, kemudian
barulah dia teringat sesudah mengerjakan raka‘at tersebut bahawa raka‘at
tersebut sememangnya adalah raka‘at yang keempat.
Maka di dalam hal ini
disunatkan ke atasnya untuk melakukan sujud sahwi kerana mengerjakan
raka‘at
keempat tersebut dalam keraguan pada mulanya.
Jika Senghaja Meninggalkan
Sunat Ab‘adh Bolehkah Melakukan
Sujud Sahwi?
Sujud sahwi
disunatkan apabila tertinggal rukun sembahyang atau sunat ab‘adh
dengan tidak senghaja. Persoalannya, bagaimanakah kedudukan sujud sahwi
tersebut jika seseorang itu senghaja meninggalkan rukun sembahyang ataupun
sunat ab‘adh dengan niat untuk melakukan
bersujud sahwi?
Imam Nawawi dalam
kitabnya al-Majmu‘
ada menyebutkan bahawa jika
seseorang itu dengan senghaja meninggalkan rukun sembahyang maka sembahyangnya
akan batal.
Manakala sunat ab‘adh
pula jika senghaja ditinggalkan dengan niat untuk senghaja melakukan sujud sahwi,
umpamanya senghaja untuk tidak membaca doa qunut semasa bersembahyang Subuh, menurut
pendapat yang paling rajih adalah juga disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.
Ini adalah kerana sujud sahwi
disyariatkan ke atas mereka yang dengan tidak senghaja melakukan kecacatan
dalam sembahyang, maka orang yang dengan senghaja mencacatkan sembahyangnya
adalah lebih perlu dan lebih dituntut untuk melakukan sujud sahwi.
Adakah Sah Sembahyang
Jika Tidak Melakukan Sujud Sahwi?
Sujud
sahwi disyariatkan untuk menampal kekurangan-kekurangan yang berlaku
dalam sembahyang seseorang supaya kekurangan-kekurangan
tersebut dapat ditutup kembali.
Bagaimanakah pula
kedudukannya jika seseorang itu tidak melakukan sujud sahwi sedangkan
dia sudah mengetahui bahawa terdapat kekurangan dalam sembahyangnya?
Bagi menjawab persoalan
ini, adalah perlu untuk kita merujuk kembali hukum mengerjakan sujud sahwi
tersebut, adakah ia wajib ataupun sunat?
Menurut mazhab as-Syafi‘e, sujud sahwi
hukumnya sunat mu'akkad, ianya disyariatkan untuk memperbaiki sembahyang
dan bukannya salah satu daripada syarat sah sembahyang berdasarkan hadits
riwayat Abu Daud dari Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda:
إذَا شَكَّ
أحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلْيُلْقِ الشَّكَ وَلْيَبْنِ عَلَى الْيَقِينِ، فَإذَا
اسْتَيْقَنَ التَّمَامَ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، فَإِنْ كَانَتْ صَلاَتُهُ تَامَّةً
كَانَتِ الرَّكْعَةُ نَافِلَةً وَالسَّجْدَتَانِ، وَإنْ كَانَتْ نَاقِصَةً كَانَتِ
الرَّكْعَةُ تَمَاماً لِصَلاَتِهِ وَكَانَتِ السَّجْدَتَانِ مُرْغِمَتَيِ
الشَّيْطَانِ.
(رواه أبو داود)
Maksudnya:
"Jika ragu-ragu seseorang daripada kamu dalam sembahyangnya, maka
hendaklah membuang dan meninggalkan keraguan tersebut dan tetapkanlah
bilangan raka‘at
yang diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan
kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan sujud dua kali sujud
(sujud sahwi). Jika ternyata bahawa sebenarnya sembahyangnya itu tadi adalah
sempurna (empat raka‘at), maka raka‘at tambahan (yang kelima) dan dua sujud
sahwi tersebut adalah sebagai nafilah (amalan sunat). Dan jika ternyata bahawa
sembahyangnya tadi sebenarnya kurang, maka raka‘at keempat itu adalah sebagai
pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi tersebut adalah sebagai pengajaran
(tamparan) bagi syaitan".
(Hadits riwayat Imam Abu Daud)
Dalam hadits ini, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan jelas menyatakan bahawa sujud sahwi tersebut adalah nafilah
(amalan sunat) dan juga mengibaratkannya sebagai pengajaran bagi syaitan.
Untuk menguatkan lagi pendapat ini, dalam
kitab Hasyiatan Qalyubi dan ‘Umairah ada disebutkan, bahawa sujud sahwi adalah
merupakan sebagai pengganti atau penampal sunat-sunat ab‘adh yang ditinggalkan dalam
sembahyang, sedangkan sesuatu pengganti atau penampal mestilah yang sama taraf
ataupun yang kurang sedikit daripada yang diganti. Adalah tidak munasabah jika
amalan-amalan sunat tersebut ditampal dengan sesuatu yang wajib, maka jelaslah
di sini bahawa hukum sujud sahwi adalah sunat.
Maka berdasarkan hadits tersebut, para ulama
mazhab as-Syafi‘e
telah bersepakat menghukumkan sujud sahwi sebagai sunat mu'akkad.
Oleh yang demikian, meskipun sujud sahwi tersebut ditinggalkan, sembahyang
seseorang itu tetap sah, walaupun ianya ditinggalkan dengan senghaja.
Mudah-mudahan dengan maklumat mengenai
permasalahan dan persoalan sujud sahwi ini maka akan bertambah pula
pengetahuan kita tentang sembahyang.
No comments:
Post a Comment