NIAT DALAM HATI WAKTU SEMBAHYANG. SEMBAHYANG KERANA BELAYAR, DAN
SEMBAHYANG QASAR
Soalan:
1. Dalam
berdiri (muqaranah مقارنة ), apa niat di hati?
2. Ketika tahiyyat dalam sembahyang apa
niat dalam hati?
3. Jika belayar keluar negeri, berapa hari
diam dalam negeri yang dilawati sembahyang tamam تمام (tiada lagi sembahyang
qashar).
4. Bolehkah
dilakukan sembahyang qashar, jika mahu melawat seperti ke kawasan latihan
askar. Jika pemergian untuk memerhatikan
latihan tertinggal satu waktu atau sebagai misal pergi dari Brunei ke tempat
latihan di sebelah pagi dan balik misal kata pukul 5 sebelah petang bolehkah
sembahyang qashar waktu Zhuhur, sebelum pergi atau tiada? Dan bagaimana sembahyang ‘Ashar adakah tamam?
Daripada:
Yang Mulia Dato
Seri Laila Jasa Awang Muhammad Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji
Mohammad Taha
Brunei
Jawapan:
الحمد لله ، اللهم صل على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم
1. Niat ketika muqaranah dengan takbiratul
ikhram (Allahu akbar) ialah jika sembahyang fardhu yang lima niat sahaja aku
sembahyang fardhu Zhuhur umpamanya dan niatkan nama mana-mana sembahyang yang
empunya waktu Zhuhur atau ‘Ashar atau Maghrib atau ‘Isya’ atau Shubuh.
Jika
sembahyang itu empunya waktu bukan fardhu niatkan sahaja aku sembahyang sunat
Zhuhur dahulu atau sunat Zhuhur kemudian atau sunat raya puasa atau sunat raya
haji atau sunat wudhu’ atau sunat masuk
masjid.
Jika
sembahyang itu tiada empunya waktu seperti sembahyang sunat semata-mata niatkan
sahaja aku sembahyang sunat. Inilah yang
wajib niat waktu muqaranah itu.
Sunat
ditambah niat kerana Allah, dan niatkan bilangan rakaat dan tunai atau
qadha: Seperti ia niatkan sahaja aku
sembahyang Shubuh dua rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala. Sahaja aku sembahyang sunat raya puasa dua
rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala, sahaja aku sembahyang sunat dua rakaat kerana
Allah Ta‘ala dan qiyâslah akan yang tersebut pada lain-lain sembahyang.
2. Ketika
membaca tahiyyat dalam sembahyang ingatkan erti dan makna tahiyyat itu iaitu
segala puji-pujian tertentu kepada Allah Ta‘ala. Selamat sejahtera di atas tuan hamba Ya Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam, selamat sejahtera
di atas kami (orang yang sembahyang dan siapa yang ada bersama-samanya seperti
makmum malaikat jin dan manusia) dan di atas sekalian hamba‑hamba Allah yang
soleh di bumi dan di langit (orang soleh ialah yang menunaikan hak-hak Allah
dan hak manusia). Aku naik saksi (yakin
dan ketahui) bahawa tiada Tuhan disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud
ini melainkan Allah jua, dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu persuruh
Allah (kepada sekalian manusia dan jin), salawat rahmat dengan penuh kebesaran
ke atas Sayyidina Muhammad, dan di atas keluarga Sayyidina Muhammad. Sebagaimana selawat dan rahmat Allah ke atas
Sayyidina Ibrahim dan keluarga Sayyidina Ibrahim dan berkatkan (tambahkan
segala kebajikan) ke atas Sayyidina Muhammad dan ke atas keluarga Sayyidina
Muhammad sebagaimana Allah telah berkatkan ke atas Sayyidina Ibrahim dan
keluarga Sayyidina Ibrahim dan Tuhan hamba kekalkan yang demikian itu pada
sekalian alam kerana Tuhan hamba Maha Mulia dan Maha Murah. Ini ringkasan erti dan tujuan tahiyyat.
Apabila orang yang sembahyang
ingatkan tujuan tahiyyat itu, maka ia bertambah-tambah khusyû‘ dan
bertambah-tambah ia berdoa pada menghasilkan doa yang ada dalam tahiyyat
itu. والله اعلم
3. Apabila orang yang belayar sampai ke
negeri yang ia lawati itu dan ia berniat iqamah (tinggal) di negeri itu sama
ada lama masanya atau sekejap iqamah itu, padahal pelayarannya dua marhalah (56
batu) atau lebih, maka wajiblah ia sembahyang tamam.
Atau
ia sudah iqamah pada negeri yang dilawatinya itu selama 4 hari betul selain
dari hari ia sampai dan selain dari hari keluar dari negeri itu. Maka wajiblah ia sembahyang tamam.
Atau ia sampai negeri itu kerana
menunaikan hajat atau kerja-kerjanya dalam negeri itu dan kerja-kerjanya
selsesai sebelum 4 hari betul dan dia berharap selesai sebelum 4 hari betul
tiba-tiba tiada selesai dan ia berharap selesai bila-bila masa. Maka ia boleh sembahyang qashar sehingga 18
hari betul selain hari tiba dan selain hari keluar. والله اعلم
4. Jika kawasan latihan askar jauhnya dari
tempat kediaman dua marhalah (56 batu) atau lebih seperti dari istana, maka
harus ia jama‘kan sembahyang Zhuhur dengan ‘Ashar jama‘ taqdim atau
ta’khir. Dan harus juga ia jama‘kan
sembahyang Maghrib dengan ‘Isya’ jama‘ taqdim atau ta’khir, dan jika perjalanan
atau pelayaran itu kurang dari dua marhalah (56 batu) dari istana ke tempat
latihan askar itu, maka tiadalah boleh atau tiada sah dijama‘kan sembahyang
fardhu demikian juga sembahyang qashar tiada sah kurang dari dua marhalah.
Menurut
hadis sahabat Ibnu ‘Abbas:
يا أهل مكة لا تقصروا فى أقل من أربع برد
Ertinya: Hai penduduk Makkah jangan kamu qasharkan
sembahyang fardhu dalam perjalanan yang kurang dari 4 barid بريد
iaitu dua marhalah (56 batu). Dari Talkhishul
Khabirتلخيص الخبير.
Menurut
hadis sahabat Anas: Bahawa Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Baginda jama‘kan sembahyang Zhuhur
dengan ‘Ashar dalam pelayaran (pelayaran 56 batu) diriwayatkan Al-Imam- Al-Imam
Al-Bukhari dan Muslim. Menurut riwayat
Muslim: Apabila Baginda hendak jama‘kan di antara dua sembahyang
dalam pelayaran, maka Baginda lewatkan
sembahyang Zhuhur sehingga masuk awal waktu ‘Ashar. Kemudian Baginda jama‘kan dua sembahyang itu. Pada riwayat yang lain: Baginda
lewatkan sembahyang Maghrib, sehingga Baginda jama‘kan Maghrib dengan ‘Isya’ ketika masuk
mambang merah.
Telah tsabit bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, apabila
adalah Baginda belayar ketika masuk
waktu yang pertama (Maghrib atau Zhuhur) maka Baginda lewatkan sembahyang yang pertama ke dalam
waktu yang kedua (‘Ashar atau ‘Isya’) dan apabila Baginda singgah yakni berhenti ketika waktu yang pertama, maka Baginda segera atau dahulukan sembahyang yang kedua
dalam waktu yang pertama. Dari
Talkhishul Khabir.
Yakni
erti pelayaran atau perjalanan ialah perjalanan atau pelayaran dua marhalah (56
batu) atau lebih.
وَاللهُ اَعْلَمْ
[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA
DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam
|
Pejabat Mufti, Brunei
|
Mufti Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment