Wednesday, May 13, 2015

SEMBAHYANG SUNAT SEBELUM QADHA SEMBAHYANG FARDHU

ORANG YANG MENINGGALKAN SEMBAHYANG FARDHU YANG LIMA DAN DIA MENGERJAKAN SEMBAHYANG-SEMBAHYANG SUNAT SEBELUM IA QADHA SEMBAHYANG-SEMBAHYANG FARDHU APA HUKUMNYA

Soalan:

Sukacita akan mendapat fatwa Pehin mengenai dengan jika seseorang itu dalam pertengahan umurnya (katalah umurnya 35 tahun) telah insaf dan mula mendekatkan dirinya kepada Allah dengan mengerjakan sembahyang fardhu serta mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat rawatib, sunat hajat, sunat tahyatul masjid, sunat tarawikh dan hari-hari raya.  Dalam pada itu mengqadha secara perlahan-perlahan sembahyang-sembahyang fardhu yang ditinggalkannya dahulu.

Dalam pada itu ia mendapat tahu bahawa sembahyang‑sembahyang sunat yang dilakukan itu adalah haram hukumnya oleh kerana masih banyak lagi hutang sembahyang fardhu yang belum diqadhakan, dan menjadikan ia sekarang ini ragu-ragu hendak menunaikan sembahyang sunat hajat, sembahyang sunat tahyatul masjid dan sebagainya.

2.       Oleh yang demikian kaola sukacita akan mendapat penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kedudukan sembahyang-sembahyang sunat dalam perkara di atas, termasuklah pendapat-pendapat ulama dari mazhab yang empat.

Jawapan:

الحمد لله الذى جعل الصلاة موقوتا ، والصلاة والسلام على رسول الله واله وصحبه الذين يقيمون الصلاة ويرون تركما كفرا ظاعرا ممقوتا ، وتابعيهم باخسان كان جزاؤهم موفورا

1.                 Ketahuilah firman Allah Ta’ala:

(#qÝàÏÿ»ym n?tã ÏNºuqn=¢Á9$# Ío4qn=¢Á9$#ur 4sÜóâqø9$#

Ayat 238 Surah Al-Baqarah.

Tafsirnya:  Pelihara oleh kamu dan kekalkan oleh kamu akan sembahyang yang lima dengan mengerjakannya dalam waktu-waktunya, istemewa sembahyang ‘Asar atau Subuh atau Dzuhur begitulah ditafsirkan oleh ulama tafsir.

          Firman Allah Ta’ala:

 bÎ*sù (#qç/$s? (#qãB$s%r&ur no4qn=¢Á9$# (#âqs?#uäur no4qŸ2¨9$# (#q=yÜsù öNßgn=Î;y

Ayat 5 Surah At-Taubah.

Tafsirnya: Jika kiranya orang-orang kafir itu berhenti dari kufur dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, maka kamu biarkan mereka dan jangan diganggu mereka.  Dari tafsir Al-Jalalin.

Sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi Wasallam

اِنَّ بَينَ الرَّجُلِ وَبَينَ الشِّركِ وَالكُفرِ تَركَ الصَّلاةِ

Ertinya: Bahawa diantara seseorang itu dan syirik dan kufur itu ialah meninggalkan sembahyang, yakni dinding menceraikan diantara orang kafir dan orang Islam ialah sembahyang.

Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim daripada sahabat Jabir radhiallahu ‘anhu.

Sabda Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam:

العَهدُ الَّذِى بَينَناَ وَبَينَهُمُ الصَّلاَةُ ، فَمَن تَرَكَهَا فَقَد كَفَرَ

Ertinya: Batasan yang menceraikan diantara kita orang Islam dan diantara orang-orang munafiq ialah sembahyang, maka barangsiapa telah meninggalkan sembahyang, maka sesungguhnya ia telah kafir.

          Hadits ini diriwayatkan oleh Al-Imam Tirmidzi daripada sahabat Buraidah radhiallahu ‘anhu.

          Berkata Tabi’ie Muttafaqu ‘Ala Jalalatihi Syaqiq bin Abdullah rahimahullahu ta’ala:  Adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wasallam tiada nampak sesuatu perkara, jikalau ditinggalkan menjadi dia kufur melainkan sembahyang, ini diriwayatkan oleh Al-Imam Tirmidzi dengan isnad yang sah betul (shahih).

          Berkata Al-’Allamah Ibnu Hazmim ketua puak Dzahiriah di Maghribi dalam kitabnya Maratibul Ijma’:  اتَّفَقُوا عَلَى أَنَّ الصَّلَوَاتِ الخَمسَ فَرَائِضُ

          Ertinya:  “Sahabat-sahabat Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam dan ulama Islam telah itfaq dan sekata dan ijma’ bahawa sembahyang fardhu yang lima itu adalah suatu fardhu dan wajib”.

          Katanya lagi:

اتَّفَقُوا عَلَى مَن نَامَ عَن صَلاٍَة أَو نَسِيهَا أَو سَكِرَ مِن خَمرِ حَتَّى خَرَجَ وَقتُهَا فَعَلَيهِ قَضَاؤُهَا أَبَدًا

          Ertinya:  “Sahabat-sahabat Rasulullah dan ulama Islam telah itfaq dan sekata dan ijma’ bahawa barangsiapa tidur dengan tiada mengerjakan sembahyang, atau lupa dari sembahyang atau ia mabuk dari arak sehingga keluar waktu sembahyang itu, maka wajib di atas masing-masing itu qadhakan sembahyang dengan tiada boleh tidak”.

          Al-Imam An-Nawawi penyusun mazhab Al-Imam Syafi’e, telah membawa ayat-ayat Al-Qur’an dan hadits‑hadits yang shahih dalam kitabnya Ribadhus Shalihin dan kita telah nukilkan di sini, menyatakan menurut Al-Qur’an bahawa orang-orang kafir itu diminta mereka masuk Islam, jika mereka masuk Islam dan bertaubat dari kufur  mereka dan mendirikan sembahyang dan membayar zakat harta mereka, maka dibiarkan dan tiada diganggu, dan orang-orang Islam wajiblah memelihara sembahyang lima waktu itu, istemewa menjaga sembahyang ‘Asar atau Subuh atau Dzohor itu.

          Kata Al-Imam An-Nawawi:  Menurut hadits bahawa beza diantara orang Islam dan orang kafir itu ialah sembahyang, apabila tiada sembahyang maka orang itu orang kafir.

          Kata Al-Imam An-Nawawi:  Sahabat-sahabat Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam berpendapat bahawa tiada suatu amal jikalau ditinggalkan dia menjadikan orang yang meniggalkan itu kafir, melainkan hanya sembahyang jikalau ditinggalkan maka orang yang meniggalkan itu menjadi kafir sekalipun jamhur ulama Islam mengatakan bahawa seseorang Islam yang tiada sembahyang fardhu itu, tiada keluar dari ugama Islam, hanya ia menjadi orang fasiq membuat dosa besar bagaimana kata Al-Imam Ibnu Hajar dalam Az-Zawajir:

          Dosa besar yang ke 76:  Sengaja meniggalkan sembahyang fardhu yang lima.  Dengan ia membawa dalil dari Al-Qur’an dan hadits.

          Ini kata-kata ulama Syafi’iah yang terkenal dalam Fiqh dan Istinbat hukum.

          Al-’Allamah Ibnu Hazmim ketua puak Dzahiriah berkata telah ijma’ dan sekata umat Islam iaitu sahabat-sahabat Nabi Salallahu 'Alaihi Wasallam seluruhnya mengatakan bahawa sembahyang fardhu yang lima itu wajib dan fardhu di atas tiap-tiap orang-orang mukallaf laki-laki dan perempuan dan barangsiapa meninggalkan sembahyang dengan sebab tertidur atau dengan sebab terlupa atau dengan sebab minum arak sehingga keluar waktu sembahyang hendaklah ia qadhakan sembahyang yang ditinggalkan itu dengan tiada boleh tidak.

          Ini setengah-setengah dari dalil-dalil ijma’ mengatakan wajib qadha sembahyang yang ditinggalkan itu.

          Berkata ‘Arifu Billahi Ta’ala Al-’Allamah Al-Syeikh Ahmad Hulwani dalam kitabnya وَسَائِلُ الرَّحَمَاتِ فِيمَا يُطلَبُ لِمَن مَاتَ .  Seorang alim ulama Al-Azhar Mesir:

          Hendaklah orang-orang Islam itu memelihara diri dari perkara yang membawa mati dalam سوء الخاتمة (mati dalam kesudahan yang tiada baik sama ada mati dalam dosa besar atau kufur).

          Katanya:  Dari perkara yang membawa mati dalam سوء الخاتمة :

1.       Bercakap-cakap ketika bilal atau orang melaung suara kerana azan atau bang sembahyang (tiada pedulikan orang azan dan tiada menjawab orang azan).  Ini banyak berlaku sekarang.

2.       Mencuaikan sembahyang lima waktu.

3.       Enggan dan tiada mengeluarkan zakat harta kepada orang yang berhak menerima apabila sampai nisab atau haul.

4.       Melambat-lambatkan haji dengan tiada uzur sehingga luput haji itu.

5.       Melaknat dan mengutuk orang Islam.  Ini tidak berlaku diantara puak-puak Islam.

6.       Derhaka kepada ibu bapa, ini juga banyak.

7.       Menyakiti orang Islam.

8.       Menyakiti jiran-jiran.

9.       curang dan menipu orang Islam.

10.     Makan rasuah.

11.     Makan riba dan bunga.

12.     Ria dan bermuka-muka.

13.     Takabbur dan sombong.

14.     Meninggalkan dari menyuruh orang berbuat baik, dan meninggalkan dari menegah orang berbuat jahat.
15.     Bencikan keluarga Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam dan sahabat-sahabat Rasulullah.

16.     Membuat keputusan dalam hukum-hukum ugama Islam dengan jahil dan ikut sedap akal atau dengan cara zalim dan aniaya dan tiada mengikut syara’ Rasulullah.

17.     Ingkarkan wali-wali Allah yang bersifat taqwa.

18.     Berseluruh berbuat dosa sehingga ia mati.


          Inilah setengah-setengah sebab bagi mati dalam سوء الخاتمه  dari 70 perkara.


2.       Orang aqil baligh suci dari haidh dan nifas yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja atau mencuai-cuaikan setengah-setengah sembahyang fardhu itu, seperti dalam pelayaran, dalam perayaan dan dalam jamuan dan dalam majlis, maka orang yang mencuaikan sembahyang fardhu itu adalah orang fasiq dan membuat dosa besar dan ditakuti ia mati dalam سوء الخاتمه , maka wajib di atasnya qadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkan itu dengan segera, mengikut mazhab ahli sunnah wal jama’ah dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali, kerana tiap-tiap hutang itu wajib dibayar.  Meninggalkan sembahyang itu suatu hutang kepada Allah Ta’ala, sebagaimana meninggalkan haji Islam itu suatu hutang kepada Allah Ta’ala, bagaimana disebutkan dalam hadits-hadits dan kerana ada hadits-hadits menyuruh orang yang tertidur dari sembahyang dan yang lupakan dari sembahyang itu, maka ulama telah qiaskan bahawa orang yang sengaja meninggalkan fardhu itu lebih-lebih lagi wajib qadha dan bayar dan wajib mendatangkan sembahyang yang ditinggalkan dan dibuat akannya di luar waktu, ini dia ijtimad dan istinbat ulama ahli sunnah wal jama’ah radhiallahu ‘anhum.

          Kita telah nukilkan di atas ini bahawa Al-’Allamah Ibnu Hazmim telah menyatakan bahawa ijma dan sekata umat Islam bahawa orang yang minum arak itu wajib dan mesti ia qadhakan sembahyang fardhu yang ia tinggalkan waktu ia mabuk itu dengan tiada boleh tidak.  Biasanya orang minum arak dengan suka hati dan sengaja, bukan dengan terpaksa atau tersalah minum arak.

          Kita mestilah mengikut jejak langkah ahli sunnah wal jama’ah dan langkah-langkah umat Islam iaitu puak yang terbesar dan terbanyak daripada umat Islam nescaya kita selamat dari api neraka dan jangan kita ikut mereka yang sesat dan melampau dari ahli bid’ah dan ahludh Dhalal nanti kecewa dan masuk neraka.

          Jangan ikut qaul-qaul yang ... ganjil daripada Al‑’Allamah Ibnu Taimiah dan Ibnu Qayim dan Syaukani dan puak-puak bid’ah yang ada sekarang di tanah Arab atau ahli-ahli yang mengaku mujtahid (mutajahhid) daripada orang-orang yang ada di Mesir dan di tanah Arab.

          Di hadapan kita ada sebuah kitab bernama البَرَاهِينُ السَاطِعَةُ فِى رَدِّ بَعضَ الِبدَعِ الشَائِعَة , dikarang Al-’Allamah Mudaqqiqul Muhadits Faqyihushufiyyu Al-Syeikh Salamah Qudha’iyyul ‘Azzami Syafi’e daripada ulama Al-Azhar bermazhab Asy-Syafi’e, dalam kitab itu kita dapat dalil dari Al-Qur’an, hadits, dan kata ulama menurut mazhab kita Asy-Syafi’e radhiallahu ‘anhu boleh menolak bid’ah dan sesat ahli bid’ah dan ahli kufur yang pura-pura masuk Islam dari puak Qadiyani atau jemaah Ahmadiah Muslim atau Bahai atau Ismailiah dan puak Bathiniah dan puak Taslim yang semuanya kufur dan kafir itu, kitab ini ada di pejabat Ugama Brunei sayugia dibaca oleh ahli pengetahuan Islam supaya dapat menolak ahli sesat dan bid’ah itu, dan bid’ah dan sesat itu boleh membawa kufur dan keluar dari ugama Islam.

          Berkata Al-Imam An-Nawawi dalam منهاج الطالبين  serta At-Tuhfah karangan Al-Imam Ibnu Hajar:

          Wajib disegerakan sembahyang fardhu yang lima telah luput daripada orang yang wajib mengerjakan sembahyang itu, kiranya sembahyang fardhu itu luput dengan tiada ‘uzur, dan jika luput sembahyang itu dengan ada uzur seperti luput sembahyang itu dengan sebab tertidur yang tiada melampau pada tidur itu, atau dengan sebab lupa yang tiada melampau pada lupa itu, iaitu sekira-kira tiada berlaku tidur atau lupa itu dengan taqshir atau cuai, bersalahan berlaku lupa itu dengan tafsir atau cuai seperti lupa sembahyang dengan sebab main catur, maka wajib disegerakan, atau sebab jahil akan hukum sembahyang dengan sebab ia ada diam jauh daripada orang Islam, atau dipaksakan dia meninggalkan sembahyang fardhu, atau ia membuat suatu perkara yang berlawan dengan sembahyang, maka sunat disegerakan sembahyang, sebab diwajibkan disegerakan qadha sembahyang ketika tiada uzur atau sunat disegerakan qadha sembahyang ketika ada uzur, supaya segera kita selesaikan tanggungan kita pada sembahyang itu.

          Sunat ditertibkan sembahyang fardhu yang luput dengan ada uzur itu dan didahulukan sembahyang yang luput dengan ada uzur itu dari sembahyang fardhu yang telah ada sedia hadhir yang tiada ditakutti akan luputnya dari waktunya, sekalipun ia takut luput jemaah menurut qaul Mu’tamad, supaya kita keluar dari khilaf yang mengatakan bahawa wajib tertib dan wajib didahulukan sembahyang yang luput dari sembahyang yang sedia ada itu, tamat kata keduanya.

          Di sini kita dapat faham dari perkataan Al-Imam An‑Nawawi, penyusun mazhab Al-Imam Asy-Syafi’e dan dari Al-Imam Ibnu Hajar kedua-duanya pakar dalam mazhab Al-Imam Asy-Syafi’e:  Bahawa sembahyang fardhu yang luput dengan tiada sebarang uzur, atau ditinggalkan sembahyang fardhu itu dengan sengaja, atau dicuaikan sembahyang fardhu itu dalam pelayaran, dalam menonton hiburan, dalam hadhir majlis-majlis maulid dan majlis-majlis orang kahwin atau majlis‑majlis mesyuarat dan seumpamanya, maka wajib dikerjakan sembahyang fardhu yang dilengahkan dengan sengaja itu, dengan dibuat sembahyang fardhu yang dilengahkan itu, kemudian dari waktunya itu dengan segera tiada boleh berlengah-lengah lagi, kerana wajib menyelesaikan tanggungjawab yang telah dipikulnya itu daripada dirinya.
          Perkataan Al-Imam An-Nawawi dan Ibnu Hajar itu disetujui Al-Imam Ar-Ramli dalam kitabnya Nihayah dalam perkara wajib menyegerakan qadha sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur, dan sunat menyegerakan qadha sembahyang yang luput dengan ada uzur, dan bersetuju dengan perkataan Al-Imam Asy‑Syarbini Al-Khatib dalam Al-Mughni, dan bersetuju dengan perkataan Al-’Allamah Al-Malibari dalam Fathul Mu’in, dan Al-’allamah Al-Said Bakri dalam Al-’Anah, dan bersetuju dengan perkataan Syeikh Islami Zakaria Anshari dalam Al-Manhaj, dan Al-’Allamah Bijirmi dan Al-’Allamah Sulaiman Jamal dalam Hasyiatul Manhaj.

          Inilah setengah-setengah qaul ulama dalam perkara wajib qadhakan sembahyang fardhu yang ditinggalkan sama ada dengan uzur atau tiada uzur diantara mereka, ulama yang di’iktimadkan bagi dibuat fatwa.

          Perkara sembahyang sunat bagi orang yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja atau mencuaikan setengah-setengah sembahyang fardhu yang lima itu, maka orang yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja atau mecuai-cuaikan setengah-setengah sembahyang fardhu yang lima itu, haram baginya mengerjakan perkara yang sunat apa jua sunat seperti tahyatul masjid, sembahyang rawatib, sembahyang tarawikh, sembahyang hajat, sembahyang tasbih, sembahyang raya, sembahyang jenazah, tawaf dan membaca Al-Qur’an dan dzikir apatahlagi berjoging, bersukan, menonton dan mendengar hiburan atau bersembang lebih-lebih lagi haram.

          Dalil haram sembahyang sunat bagi orang yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja dan belum ia kerjakan dan belum qadhakan sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja itu ialah:

1.       Perkataan Al-Imam Ibnu Hajar dalam At-Tuhfah:  Bahkan tiada harus (tiada boleh dan haram), sebagaimana yang zahir, bagi siapa di atasnya sembahyang luput dengan tiada apa-apa uzur, menghabiskan mana-mana waktu dan masanya dengan tiada mengerjakan dan tiada qadhakan sembahyang fardhu yang telah luput daripadanya, seperti ia mengerjakan perkara-perkara sunat adalah tiada harus dan haram, melainkan waktu dan masa yang ia terpaksa menggunakannya kerana seperti tidur, atau masa dan waktu bagi mencari nafkah dirinya dan nafkah dan sara hidup orang yang ia wajib sarakan hidupnya (seperti sara isterinya, anaknya, ibu atau bapanya menurut syarat-syaratnya) atau masa dan waktu bagi mengerjakan perkara wajib yang lain yang sempit waktu dan masanya yang ia takut luput wajib yang lain itu (seperti menunaikan sembahyang yang telah sedia ada hadhir waktu dan masanya yang akan luput jika tiada dikerjakannya.

2.       Berkata Al-’Allamah Malibari dalam Fathul Mu’in berkata tuan guru kami Al-Syeikh Ibnu Hajar rahimahullahu ta’ala:  Yang zahir dan nyata bahawa mesti bagi orang yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan sengaja itu dengan tiada apa-apa uzur, menghabiskan segala masanya bagi qadhakan sembahyang fardhu yang luput itu dengan tiada uzur itu, selain dari masa yang ia hajatkan bagi digunakan membuat perkara yang mesti dan tiada dapat tiada, dan haram baginya mengerjakan perkara yang sunat.

3.       Berkata Al-’Allamah Said Bakri dalam Al-’Inah ketika mengulas perkataan Al-’Allamah Malibari dalam 2 di atas ini:  Perkataan At-Tuhfah itu begini:  Wajib didahulukan sembahyang fardhu yang telah luput dengan tiada apa-apa uzur dari sembahyang fardhu yang telah luput dengan ada uzur, sekalipun tiada ada tertib, kerana tertib diantara sembahyang yang luput dengan tiada uzur dengan sembahyang yang luput dengan ada uzur itu sunat, dan bersegera pada qadhakan sembahyang yang luput dengan tiada uzur itu adalah wajib.  Dari sebab itu wajiblah didahulukan qadha sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur, dari sembahyang fardhu yang telah sedia hadhir waktunya.  Jika kiranya waktu sembahyang yang hadhir itu ada luas waktunya, bahkan tiada harus, sebagaimana yang zahir dan nyata, bagi siapa menanggung sembahyang yang luput dengan tiada uzur, wajiblah ia habiskan waktunya pada mengerjakan dan qadhakan sembahyang yang luput itu, tiada boleh ia habiskan waktunya kerana kerja lain sekalipun perkara-perkara sunat, dikecualikan masa yang ia terpaksa gunakan pada perkara yang terpaksa dan mesti tiada boleh tiada, seperti masa bagi tidur, dan masa bagi mencari sara hidup bagi orang-orang yang wajib ia sarakan hidupnya, atau masa bagi mengerjakan perkara yang wajib yang lain yang sempit ditakuti luput akannya.  Tamat katanya.

          Berkata Al-’Allamah Said Bakri lagi:  Seperti perkataan At-Tuhfah di atas ini, ialah perkataan Nihayah bagi Al-Imam Ramli:  Pendekkata mestilah bagi yang meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja dengan tiada uzur itu, menghabiskan sekalian masa dan waktunya bagi mengerjakan dan qadhakan sembahyang yang luput itu, dikecualikan masa yang mesti dan terpaksa bagi digunakan bagi perkara-perkara yang tersebut ini.

          Diketahui juga dari At-Tuhfah dan Nihayah bahawa haram di atas orang yang meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja (atau mencuai-cuaikan setengah-setengah sembahyang fardhu), mengerjakan perkara-perkara sunat seperti sembahyang sunat, tawaf sunat, fardhu‑fardhu kifayah seperti sembahyang jenazah, kerana wajib dan mesti qadhakan sembahyang fardhu itu, didahulukan dari segala sunat-sunat dan fardhu-fardhu kifayah itu.

          Kedua-dua Al-Imam Ibnu Hajar dan Al-Imam Ramli bersetuju keduanya di atas perkara yang tersebut ini.  Tamat perkataan Al-’Allamah Bakri.

          Yang di atas ini perkataan dan pendapat ulama iaitu Al-Imam Al-Imam Ibnu Hajar dan Ramli dan Al-’Allamah Al-’Allamah Malibari dan Said Bakri dalam perkara orang yang meninggalkan fardhu dan belum ia kerjakan dan qadhakan sembahyang sembahyang yang luput dan ia pergi membuat perkara-perkara yang sunat seperti tawaf sunat, dan sembahyang sunat, membaca Al-Qur’an, zikir dan fardhu kifayah seperti sembahyang jenazah, diketahui dari perkataan-perkataan ulama itu apatahlagi bermain-main dan menonton hiburan dan mainan-mainan sukan lebih-lebih lagi haram dan sangat-sangat haram.

4.       Menurut perkataan Al-Imam Zakaria bahawa orang yang meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja dengan tiada apa-apa uzur, dan dia pergi mengerjakan perkara-perkara sunat seperti sembahyang sunat, tawaf, sembahyang jenazah semuanya itu haram dan tiada sah dan tiada hasil segala perkara sunat itu dan semuanya itu sia-sia dan dosa.  والله اعلم



SAYUGIA BAGI ORANG YANG SUKA MENINGGALKAN SETENGAH-SETENGAH SEMBAHYANG FARDHU YANG LIMA

1.       Ia sentiasa berada dalam air sembahyang, bila dia sudah masuk tandas dan qadha hajat, dengan cara begitu dia dapat sembahyang, bila datang kepadanya perkara yang tiada semena-mena.

2.       Bila dia ada lapang dan cergas, ia pergi sembahyang fardhu, sebelum ia disibokkan dengan kerja-kerja dan sebelum ia letih dan lesu dan sebelum waktu sembahyang keluar dan luput.
3.       Ia keluar rumah, sesudah qadha hajat dan mengambir air sembahyang dan dengan pakaian yang suci dan menutup aurat, dengan cara begitu, dia boleh sembahyang di mana-mana tempat dan dalam apa jua keadaan, sekalipun di tanah lapang, di tanah pasir dan di tepi pantai.

4.       Ia keluar rumah, sesudah ia sembahyang fardhu.

5.       Keluar rumah kerana belajar, maka ia mengambil air sembahyang sesudah ia bercermat dari makan dan minum, dan berjaga-jaga dari qadha hajat dalam masa pelayaran, dengan cara begitu, ia dapat sembahyang di lapangan terbang, di tambatan kapal, dan dalam kapal, dan dalam kapal terbang.

6.       Ia bawa kain sarong, jika ia tiada senang sembahyang dengan seluar ...

7.       Pakai pakaian melayu, suatu pakaian menyenangkan mengambil air sembahyang dan bersembahyang fardhu, dari pakaian coat ... cara Eropah dan barat itu, dan pakaian ketat-ketat laki-laki dan perempuan.

8.       Dalam kapal terbang saya lihat lorong-lorong sembahyang dari tempat ia duduk dengan isyaratkan ruku’ dan sujud, kiraan tiada ada tempat lapang bagi sembahyang cara biasa.

9.       Adakan tempat-tempat yang khas yang selesa bagi mengerjakan sembahyang, di kedai-kedai, tempat-tempat kerja, pejabat-pejabat, di rumah-rumah, di station-station motokar, di station-station kerita-api, di lapangan kapal terbang, di tembatan-tembatan kapal, di stadium‑stadium, di gelanggang-gelanggang sukan, di hotel-hotel, di hospital-hospital, di sekolah-sekolah, di balai-balai raya dan di bengkel-bengkel, supaya orang sembahyang di tempat-tempat khas itu dengan tenang dan tiada gangguan.

10.     Kanak-kanak sekolah diberi kemudahan memakai seluar panjang, supaya mereka dekat dari sembahyang.

11.     Universiti-universiti, maktab-maktab, bengkel-bengkel, sekolah-sekolah itu tempat-tempat yang baik bagi mengajak pelajar-pelajar dan penuntut-penuntut dan kanak-kanak sembahyang, bila waktu sudah masuk, kerana banyak masa dan peluang sepanjang hari bagi sembahyang berjemaah, di bilik-bilik, di kuliah-kuliah, di kelas-kelas, di kantin-kantin dan seumpamanya.

12.     Hendaklah ditanamkan dalam fikiran dan semangat orang Islam dan kanak-kanak, bahawa sembahyang itu lebih utama dari pelajaran-pelajaran, dari perhimpunan‑perhimpunan, dari mesyuarat-mesyuarat, dan dari majlis-majlis jamuan dan dari majlis-majlis syarahan.

13.     Pemimpin-pemimpin, ketua-ketua, penghulu-penghulu, dan guru-guru, sebaik-baik contoh dan ikutan pada sembahyang di tempat-tempat awam itu.

14.     Dimulakan mesyuarat, majlis, perhimpunan, setelah selesai upacara sembahyang.

15.     Di negeri saudi, saya lihat orang-orang menutup kedai setelah azan dilaungkan dan mereka pergi ke masjid, dan saya lihat orang-orang sembahyang berjemaah dalam pejabat di antara waktu-waktu bekerja.
16.     Di negeri Pakistan, saya lihat orang-orang sembahyang di halaman-halaman hotel sebelum mereka mulakan perhimpunan dan jamuan di hotel-hotel itu.

17.     Ulama berkata tiada menghiraukan menghiraukan suara azan yang sedang dilaungkan, dengan berbual-bual, dengan bermesyuarat, dengan pelajaran-pelajaran dan seumpamanya adalah tanda orang itu akan mati dalam keadaan سوء الخاتمه  (mati keadaan jahat).

Dengan cara ini dan seumpamanya dan ada kemudahan‑kemudahan bagi mengerjakan sembahyang, kita dapat membiasakan diri kita sembahyang dalam waktunya, dan dapat kita mengajak orang sembahyang dengan tiada payah kita merungut dan mengeluh.

PENDEK KATA

Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu yang lima dengan tiada apa-apa uzur, seperti setengah-setengah orang yang tiada mahu sembahyang fardhu yang lima itu, pada hal ia hidup dan besar dalam kalangan umat Islam, maka orang itu namanya orang tiada apa-apa uzur melengah dan cuaikan sembahyang fardhu yang lima, kerana fardhu dan wajib sembahyang lima waktu memang telah diketahui oleh tua muda, laki-laki perempuan, kanak-kanak dan orang baligh, atau ibarat yang lain atau kata yang lain bahawa hukum fardhu sembahyang yang lima itu adalah perkara yang diketahui dalam Islam dengan ilmu dan pengetahuan yang yakin yang tiada boleh disangkal atau ditolak hukumnya sebagaimana ada matahari di langit dan ada bumi di bawah tapak kaki dan ada diri masing-masing kita, yang tiada boleh kita sangkal atau tolak, sebab tiada seorang pun orang Islam boleh mengatakan sembahyang yang lima itu tiada wajib, jikalau ia berkata begitu, maka ulama Islam hukumkan dia orang murtad dan keluar dari ugama Islam dan orang kafir kerana ia ketika itu sudah membohongkan Al-Qur’an, hadits dan perkara mutawatir, membohongkan itu kufur, kerana wajib sembahyang itu rata diketahui segala genap lapisan umat Islam oleh tiap-tiap orang zaman Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam, tiap-tiap orang lepas zaman Rasulullah atau tiap‑tiap orang zaman sahabat Rasulullah, dari selapis ke selapis keturunan hingga zaman kita ini.  Perkara yang seumpama ini disebut atau dinamakan oleh ulama Islam perkara mutawatir atau perkara yang diketahui dengan yakin tiada dapat ditolak atau sangkal kerana rata dan umumnya (معلوم بالضرورة)

Apabila Allah Ta’ala taklifkan atau tanggungkan ke atas orang ‘aqil baligh dan suci mengerjakan sembahyang lima waktu itu, maka taklif Allah Ta’ala atau perintah Allah Ta’ala itu wajib dan mesti disempurnakan dan dijalankan dan ditunaikan sama ada dalam waktunya seperti sembahyang lima waktu dalam waktunya dan puasa dalam bulan Ramadhan, kiranya tiada ditunaikan dalam waktunya maka wajib dan dimesti pula dibuat dan ditunaikan dulu waktunya.

Menunaikan perkara yang wajib yang mempunyai waktunya, di luar waktunya dinamakan qadha atau bayar hutang, kita tahu bahawa tiap-tiap hutang mesti dibayar sama ada pada ugama atau pada adat manusia.  Ini terang tiada boleh dipertikaikan lagi.

Hutang itu ada kalanya hutang manusia dengan manusia dan hutang kepada manusia itu wajib dibayar mengikut ugama Islam, ini terang dan nyata.  Kalau tiada dibayar boleh diekori oleh tuan punya hutang kemana-mana orang yang berhutang itu pergi dan boleh dilokap oleh qadhi atau pemerintah dengan permintaan tuan punya hutang.  Ini menurut kitab-kitab Fiqh.

Dan hutang kepada allah itu seperti hutang haji, hutang puasa, hutang fidyah dan kifarah.  Jika seseorang sudah wajib dan di atasnya mengerjakan haji, kemudia ia lengahkan sehingga ia mati, maka wajib haji itu tertanggong di atasnya dan wajib haji itu menjadi hutang kepadanya, mesti diselesaikan oleh waris‑warisnya dari harta peninggalannya, sebelum harta peninggalannya dibahagi-bahagikan kepada waris-warisnya begitu juga hutang puasa dan hutang sembahyang telah disebutkan dalam kitab-kitab Fiqh.

Berkata العَلاَمَة المُدَقِّقُ المُحَدِّثُ الفَقِيهُ الصُّوفِى الشَّيخُ سَلاَمَة القَضَاعِى العَزَّامِى dari kalangan ulama syafi’iah dari kalangan ulama Al-Azhar dalam kitabnya البَرَاهِين السَاطِعَة فِى رَدِّ بَعضِ البِدَعِ الشَائِعَةِ وَبَراهِينُ الكِتَابِ وَالسُّنَّةِ النَاطِقَةُ عَلَى وُقُوعِ الطَلَقَاتِ المَجمُوعَة مُنَجَّزَةً اَو مُعَلَّقَةً

Ketahui olehmu bahawa dari perkara yang diketahui adanya diantara ahli tahqiq daripada ulama alim Usul Fiqh dan ulama Fiqh, apabila sudah ada berlaku sesuatu sebab dari sebab-sebab wajib syar’i (pada syara’) iaitu apa yang dinamakan oleh ulama dengan nama syarat-syarat (wajib syar’i) dan tiada padanya sesuatu mani’ (halangan), maka tsabitlah hukum wajib syar’i itu dengan tiada syak lagi, dan jadilah tanggungan orang mukallaf terikat dengannya, jika wajib syar’i itu mempunyai waktu, dan ia tunaikan dalam waktunya, dengan meraikan dan membawa apa-apa perkara yang dipandang oleh syara’ pada menjadikan wajib syar’i itu sah dan betul, maka lepaslah tanggungannya itu, dan jika kiranya ia cuaikan waktu bagi perkara wajib syar’i itu, dengan sengaja dan dengan suka-suka hatinya dan pilihannya sendiri, maka dia (orang mukallaf) telah membuat perkara wajib syar’i itu dari waktunya, dan ia masih bertanggungjawab pada menjalankan wajib syar’i yang dicuaikan dan diabai-abaikannya itu.

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengetahui bahawa tiap-tiap anak Adam itu membuat salah, dan manusia itu dikatakan penyakit berbuat dosa, maka Allah Ta’ala yang amat berkuasa dan yang amat kesihan itu, mengadakan suatu jalan bagi hambanya, supaya anak Adam itu dapat akan rahmatnya, dan dapat akan redhanya.  Maka Allah syara’kan bagi mengubat penyakit dosa itu dengan ubat yang dinamakan taubat dan istighfar, dan Allah Ta’ala syara’kan bagi menyelesaikan tanggungjawab yang dipikulkan di atas orang-orang mukallaf itu ialah qadha atau bayar ganti  اداء  atau tunai.

Di atas faedah yang di atas ini, ulama telah mengeluarkan dan istinbatkan dan ijtihadkan masalah qadha atau bayar fardhu sembahyang, bayar fardhu puasa Ramadhan, dan bayar fardhu haji Islam.  Apabila seseorang mukallaf itu sengajakan pada melambat dan ta`khirkan perkara-perkara itu dari waktunya, maka orang mukallaf itu berdosa dengan sebab ia lambatkan dan ta`khirkan pada menunaikan ibadat itu, dari waktunya yang tertentu dan khas bagi ditunaikan, dan jadilah ibadat itu suatu hutang ditanggung dan dipikulnya, hutang mestilah dibayar dan ditunaikan, dikecualikan kalau orang yang punya hutang itu menggugurkan hutang itu.

Hadits-hadits daripada Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam  telah menerangkan perkara-perkara yang tersebut dengan cukup terang, dan telah menegaskan dengan setegas-tegasnya.  Sekali masa Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam menjawab perkara masalah dari masalah-masalah itu dengan jawab yang meletakkan pada pandangan sahabat yang bertanya itu akan علة القياس , supaya diketahui oleh umat Islam bahawa hukum masalah itu rata dan umum kesuluruhan sama ada pada orang yang bertanya atau pada orang yang tiada bertanya, sama ada pada masalah itu atau pada masalah lain kerana ada ‘illah dan sebab yang sama pada kedua-dua masalah itu, pada kali lain Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam menjawab pertanyaan sahabat-sahabat dengan cara memberitahu kepada sahabat yang bertanya itu bahawa hukum masalah yang lain yang tiada ditanyakan sama hukum dengan masalah yang ditanyakan itu, ini dinamakan oleh ulama Usul Fiqh dengan دلالة النص  atau قياس الأولى

Al-Imam Al-Bukhari dengan sanadnya telah meriwayatkan dalam kitabnya Shahihul Bukhari pada bab puasa daripada sahabat Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma, telah berkata ia:  Seorang laki-laki telah datang mengadap Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam, dan ia berkata:  Ya Rasulullah, bahawa ibu hamba telah mati, dan dia ada meninggalkan puasa sebulan yakni (ibunya tiada puasa sebulan Ramadhan kerana uzur) maka adakah boleh hamba qadhakan sebulan puasa itu kerana ibu hamba?  Sabda Rasulullah:  نَعَم ، فَدَينُ اللهِ أَحَقُّ أَن يُقضَى , ertinya:  Ia, kerana hutang Allah (tak puasa sebulan Ramadhan baginda namakan hutang) lebih utama dan lebih berhak dibayar dan diqadhakan.

Al-Imam Al-Bukhari juga telah meriwayatkan dalam kitabnya Shahihul Bukhari pada bab haji dengan sanadnya daripada sahabat Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma:  Bahawa seorang perempuan daripada suku Juhaiyah telah datang mengadap Nabi Salallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata ia:  Bahawa ibu hamba telah bernazar hendak pergi haji, dan dia tiada pergi haji sehingga ia mati, maka adakah hamba hajikan dia?  Sabda Rasulullah kepadanya:

نَعَم حُجِّى عَنهَا ، أَرَأَيتِ لَو كَانَ عَلَى اُمِّكِ دَينٌ أَكُنتِ قَاضَيتِهِ؟ اُقضُوا الله َ، فَالله ُأَحَقُّ بِالوَفَاءِ

Ertinya:’Ya, kamu hajikan dia, adakah kamu fikir, jikalau ibu kamu menanggung sesuatu hutang dengan seseorang, adakah kamu bayar hutang ibu kamu itu kepadanya?  Kamu bayarlah hutang Allah, (Haji Nazar), kerana hutang kepada Allah itu lebih utama dan lebih berhak dibayar dan disempurnakan.


Telah diriwayatkan oleh ulama hadits dari kalangan sahabat dan tabi’en daripada Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam akan perkara bayar hutang Allah dan bayar hutang manusia itu, dengan berbagai-bagai thuruq dan bermacam-macam jalan dan cara yang banyak dengan berbagai-bagai lafaz dan ibarat-ibarat yang seakan-akan dan serupa dalam kitab-kitab hadits iaitu Shahih Muslim, Sunan Abi Daud, sunan Tirmidzi dan Sunan Nasa’ie, iaitu Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam telah menjadikan ibadat yang fardhu (puasa Ramadhan dah Haji Islam dan seumpamanya) yang telah luput waktu menunai dan mengerjakannya, akan suatu hutang kepada Allah Subhanahu Wata’ala daripada orang mukallaf, menjadi tanggungjawab orang mukallaf itu, dan menjadi sebagai atau seolah-olah atau serupa dengan hutang harta orang mukallaf yang wajib dibayar oleh orang-orang yang berhutang kepadanya, dan orang-orang yang berhutang itu ketahui bahawa mereka mestilah membayar hutang harta itu kepada tuan punya hutang itu, sekalipun tempoh masa yang tertentu bagi membayar hutang telah luput, dan Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam tiada berpada dengan begitu, tetapi Rasulullah jadikan bahawa hutang kepada Allah Ta’ala ahaqqu yakni lebih utama dan berlebih berhak bagi dibayar dan dijelaskan, dan Rasulullah menambah keterangan dengan menyuruh bayar hutang itu, cuba tuan lihat sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam (فدين الله أحق ان يقضى)  dengan صيغه تفضي: Lebih utama lebih berhak, dan Rasulullah tiada bersabda dengan حَقِيقٌ (yakni berhak, patut, dan sebagainya), dan tuan perhatikan sabda Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam (اقضوا الله) itu dengan صيغه  perintah dan suruh (yakni bayarlah dan jelaskanlah hutang Allah itu), dan tuan perhatikan alat dan sebab suruh bayar dan jelaskan hutang Allah itu pada sabda Rasulullah itu (فالله أحق بالوفاء) kerana hutang kepada Allah hendaklah lebih diutamakan dibayar dan dijelaskan dari hutang kepada manusia, (dari itu ulama berkata dalam perkara harta peninggalan simati jika kiranya simati itu ada meninggalkan hutang maka hendaklah dibayar dari harta simati itu lebih dahulu hutang-hutang Allah iaitu seperti zakat, Haji, kafarah, fidyah dan sebagainya jika simati itu belum bayar zakat hartanya dan fitrahnya, lewat pergi haji, belum bayar kafarah, fidyah dan belum bayar nazar dan lain-lain lagi kemudian lepas bayar hutang Allah, maka dibayar pula hutang simati kepada manusia) dan Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam tiada membezakan diantara hutang‑hutang Allah itu sama ada hutang itu hutang ibadat badan semata-mata badan seperti puasa atau hutang itu hutang ibadat badan dan ibadat harta bersama-sama seperti haji.  Tamat katanya.

Begitulah ulama Islam dan ulama hadits dan ulama Fiqh berpendapat bahawa mencuaikan sembahyang lima waktu itu dari waktunya dipanggil dan dinamakan hutang sembahyang kepada Allah Ta’ala dan membayar hutang sembahyang atau qadha sembahyang adalah wajib dan fardhu.

Telah ijma’ ulama Islam dan ulama ahli sunnah wal jama’ah dan sekata bahawa hutang sembahyang atau meninggalkan sembahyang fardhu itu hingga keluar waktunya, mestilah dibayar dan diqadha dan didatangkan sembahyang fardhu itu, sekalipun di luar waktunya, dengan tiada boleh tidak.

Al-’Allamah Ibnu Hazmim pun telah menegaskan bahawa telah ijma’ ulama Islam dari zaman sahabat Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam bahawa orang yang minum arak itu dan ia terus mabuk sehingga keluar waktu sembahyang fardhu, maka wajiblah ia qadhakan sembahyang itu, kita tahu bahawa orang minum arak itu biasa minum arak dengan sengaja dan melampau, dan orang yang minum arak dengan tersalah dan tiada melampau adalah nyata hukumnya, dan yang nampak dan zahir bahawa yang dimaksudkan oleh Al-’Allamah Ibnu Hazmim ialah orang yang minum arak dengan melampau itu.

Al-’Allamah Ibnu Taimiyah tatkala ia mengulas kitab Maratibul Ijma’ karangan Al-’Allamah Ibnu Hazmim itu, maka dia tiada mengulas perkara orang minum arak yang mabuk sehingga keluar waktu sembahyang, seolah-olah ia bersetuju dengan Al-’Allamah Ibnu Hazmim dalam perkara orang yang minum arak itu mesti qadhakan sembahyang yang tertinggal, tatkala ia sedang mabuk itu, sama ada sengaja atau tidak.

Ini dia setengah-setengah dalil dari Al-Qur’an dan hadits dan kata-kata ulama yang kita dapat bawa di sini dalam wajib qadhakan sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja dengan tiada apa-apa uzur dengan segera tiada boleh dilambat‑lambatkan, kerana menurut qaedah yang diambil dari hadits Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam bahawa hutang itu mestilah dibayar, dan hutang kepada manusia yang tiada bertangguh mesti dibayar dengan segera, begitulah juga hutang kepada Allah Ta’ala, lebih-lebih dibayar dengan segera.


2.       Orang mukallaf ada menanggung hutang sesuatu sembahyang fardhu yang lima, dan belum ia bayar atau qadhakan sembahyang yang ditanggungnya itu, kemudian ia mengerjakan sembahyang sunat, atau tawaf sunat, atau membaca Al-Qur’an atau zikir atau mengerjakan fardhu kifayah seperti sembahyang orang mati, dan lain-lain kerja yang dibuatnya selain dari waktu tidur dan mencari sara hidup dan seumpamanya, maka orang yang kelakuannya begitu, adalah membuat dosa, dan dosa meninggalkan sembahyang fardhu itu adalah dosa besar, dan erti dosa besar ialah suatu amaran yang keras telah datang dalam Al-Qur’an dan hadits dalam sesuatu perkara yang tertentu, seperti perkara meninggalkan fardhu sembahyang dengan tiada apa-apa uzur telah datang amaran keras padanya, bagaimana telah diertikan di dalam kitab Raudhah bagi Al-Imam An-Nawawi dan di dalam Zawajir bagi Al-Imam Ibnu Hajar akan erti dosa besar itu, dari sebab itu, kata ulama Fiqh wajib dikerjakan sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur itu, dengan segera, menurut perintah dalam hadits, dan menurut qaedah: melepaskan tanggungjawab dari orang mukallaf adalah wajib disegerakan.
          Berkata Al-Imam Syirazi dala Muhazzab:  Saya kata: Jika ia tinggalkan sembahyang dengan tiada apa-apa uzur, mestilah ia qadhakan dengan segera.

          Berkata Al-Imam An-Nawawi dalam المجموع شرح المهذب :  Telah dinukilkan oleh Imam Harmaini bahawa telah itfaq dan sekata ulama syafi’iah bahawa wajib qadha sembahyang yang ditinggalkan tiada uzur itu dengan segera.

          Berkata Al-Imam An-Nawawi:  Perkataan Al-Imam Harmaini itu adalah betul kerana orang itu telah cuai pada meninggalkan sembahyang, dan kerana ia dihukum bunuh dengan sebab meninggalkan sembahyang yang luput itu, dan jikalau qadha sembahyang itu boleh dengan dilambat-lambatkan nescaya ia tiada dihukum bunuh.  Tamat katanya.

          Sila lihat kata-kata tiga orang ulama yang terkemuka dan pakar dalam mazhab kita Syafi’iah menegaskan bahawa sembahyang yang luput dengan tiada uzur mestilah disegerakan dengan itfaq dan sekata ulama syafi’iah seperti sembahyang Dzuhur ditinggalkan dengan sengaja, satu dari syarat wajib mengerjakan sembahyang Dzuhur itu ialah dengan sebab telah tergelincir matahari dari tengah-tengah langit ke barat.  Apabila sembahyang Dzuhur itu ditinggalkan dari masa tergelincir matahari ke barat sehingga keluar waktu Dzuhur dan masuk ‘Asar tiada juga dikerjakannya dengan tiada apa-apa uzur, maka orang mukallaf itu menanggong wajib mengerjakan sembahyang Dzuhur itu walaupun sudah keluar waktu Dzuhur itu, kerana syarat-syarat wajib syar’i telah berjalan ke atas dan terus berjalan dan masih berjalan sehingga ia kerjakan sembahyang Dzuhur atau qadhakan sembahyang Dzuhur itu.  apabila orang mukallaf itu mengerjakan sembahyang sunat atau perkara-perkara sunat yang lain atau fardhu kifayah, dalam masa untuk qadha sembahyang Dzuhur itu, maka ia telah membantah dan melanggar perintah Allah suruh segera qadhakan Dzuhur itu, dan ia telah berdosa dengan berbuat perkara-perkara sunat itu dalam detik dan saat yang wajib dilepaskan qadha Dzuhur itu dari tanggungannya, kalau ia mati ketika melanggar perintah Allah Ta’ala dengan membuat perkara-perkara sunat atau tiada sunat dan mengabai-abaikan qadha Dzuhur itu, nescaya ia mati dalam keadaan derhaka dan سوء الخاتمة

          Orang mukallaf  ini telah ditanggungkan Allah Ta’ala kepadanya akan suatu sembahyang Dzuhur umpamanya, sebab syarat wajib telah berjalan ke atasnya, kemudian ia ingkarkan perintah Allah yang telah menanggongkan dia pada mengerjakan sembahyang Dzuhur ke atasnya, dan ia tiada ta’at pada perintah Allah pada tiap-tiap detik dan saat dan second bagi diqadhakan Dzuhur itu, dan pada detik dan second itu juga ia mengerjakan perkara yang lain yang tiada diperintahkan dia membuatnya, maka orang mukallaf itu telah membuat dosa dan derhaka dan ingkarkan perintah Allah Ta'ala, jika ia gunakan detik dan second itu pada berbuat sembahyang sunat atau tawaf sunat umpamanya maka sembahyang sunat dan tawaf sunat itu sah dan betul dengan hal keadaan ia berdosa mengerjakan keduanya itu. Orang yang sembahyang sunat itu dihukumkan sebagai hukum seorang sembahyang padahal ia menggunakan tikar sejadah orang dengan tiada izin daripada tuan sajadah, maka sembahyangnya itu sah dan ia menggunakan sajadah orang dengan tiada izin tuan punya, maka ia telah berbuat dosa besar dengan merampas (غصب)  sajadah, begitulah pendapat ulama Fiqh, yang dapat saya hurai dan dikatakan pada fahaman pembaca fatwa ini.

          Berkata Al-Imam Zarkasyi: Oleh kerana Allah Ta'ala telah tuntut daripada orang mukallaf ini, pada tiap-tiap detik dan saat dan second, pada mengerjakan sembahyang yang telah ia tinggalkan dan cuaikan itu, setelah waktu sembahyang itu keluar dan habis, maka tiadalah boleh dan tiadalah sah ia mengerjakan perkara‑perkara yang sunat apatahlagi perkara yang harus dan sia-sia, jika ia mengerjakan sembahyang sunat ketika itu, padahal tiap-tiap detik dan saat dan second itu wajib dikerjakan pada tempat dan detik sembahyang fardhu itu adalah tiada sah, kerana tiada ada tempat bagi sembahyang sunat itu sebelum sembahyang fardhu yang ditinggalkan itu diqadha dan dikerjakan, dan perbuatan begitu rupa, maka ia telah berbuat dosa dengan melanggar dan ingkarkan perintah Allah suruh qadha sembahyang yang fardhu itu, maka orang mukallaf ini sebagai seorang telah masuk dalam bulan Ramadhan dengan ru`yah atau dengan digenapkan Sya’aban 30 hari, maka wajib ia puasa kerana Ramadhan, kemudian ia tiada mahu puasa Ramadhan dan pergi hendak puasa sunat atau puasa nazar, maka puasa sunat atau nazar itu tiada sah, kerana tiada ada tempat dan detik bagi puasa keduanya dalam bulan Ramadhan setelah tsabit bulan Ramadhan telah masuk.

          Ini pendapat Al-Imam Zarkasyi, dan pendapatnya itu adalah munasabah, dari itu ulama mengambil perhatian akan pendapatnya itu dan disebutkan dalam kitab-kitab Fiqh, sebagai menguatkan haram mengerjakan perkara‑perkara yang sunat sama ada sembahyang sunat atau tawaf atau wirid atau membuat fardhu kifayah seperti sembahyang orang mati bagi orang yang mukallaf yang menanggung sembahyang fardhu yang telah ia abaikan dan cuaikan itu, demikianlah suatu huraian yang dapat saya terangkan sebagai mendekatkan fahaman kepada pembaca-pembaca fatwa ini والله اعلم

          Berkata Al-Imam Sayuthi dalam الأشباه والنظائر: Suatu kaedah dalam mazhab Al-Imam Asy-Syafi’ie: Barangsiapa telah diwajibkan mengerjakan sesuatu, dan luput sesuatu itu daripadanya, maka mestilah ia qadhakan, kerana menyambong dan menyunsong perkara itu.

          Maka menurut kaedah ini:  Barangsiapa telah luput daripadanya, sesuatu sembahyang dari sembahyang fardhu yang lima waktu, nescaya hendaklah ia datangkan sembahyang yang telah luput daripadanya itu, sebagai menyambong dan menyunsong perkara yang telah ia luputkan dan tinggalkan itu.

KATA AKHIR

Perkara wajib dan mesti qadhakan sembahyang fardhu yang lima yang dicuaikan dengan tiada apa-apa sebab dan uzur, telah sekata sekutu dan sepakat dan itfaq sekalian ulama syafi’iah bahawa hendaklah diqadhakannya dengan segera tiada boleh berlengah-lengah. Bahawa ulama syafi’iah yang di’iktimadkan perkataan mereka bagi dibuat fatwa seperti Al-Imam Syirazi dan Al-Imam An-Nawawi yang dahulu dan Al-Imam Ibnu Hajar dan Al-Imam Ramli yang kemudian, sekalian mereka bersetuju mesti disegerakan qadha sembahyang fardhu yang luput dengan tiada apa-apa uzur itu, jadi ulama yang sekarang mengikut kata-kata ulama yang di atas adalah betul, kerana ia mengikut dan berpandu dengan hadits-hadits yang berkenaan, dan bersetuju dengan beberapa kaedah Fiqh dan Usul Fiqh والله اعلم

Ini fatwa yang kita pakai, dengan berpegang dengan perkataan ulama syafi’iah yang di’iktimad dan dipakai oleh ulama akan perkataan-perkataan mereka bagi dibuat fatwa dan bersetuju dengan ulama mazhab yang empat dari ahli sunnah wal jama’ah, yang mereka berpegang dengan hadits dan sunah Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam, dengan perjalanan sahabat-sahabat Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam dan orang Islam zaman Salaf Shalih dari zaman sahabat dari selapis ke selapis sehingga zaman kita ini dalam negeri-negeri Islam seluruhnya رضى الله عنهم واجعلنا منهم وفيهم



NASIHAT KITA DAN BUKAN FATWA

Menurut soal yang di atas ini, bahawa masalah ini dikemukakan ialah masalah seorang telah insaf, jika orang yang telah insaf itu telah bertaubat dengan berhenti dari enggan tiada mahu sembahyang dan menyesal di atas mencuaikan sembahyang, dan mengaku berjanji dengan Allah tiada akan mencuaikan sembahyang pada masa-masa akan datang, dan bersegera membayar hutang sembahyang itu, jika ada taubatnya, bagaimana di atas ini dan menurut syarat taubat maka sah taubatnya.

Maka sayugialah bagi orang itu membayar hutang sembahyang yang ia cuai dan tinggalkan itu, serta bersungguh-sungguh mengerjakan dan menunaikan sembahyang yang ada berjalan itu dengan sempurna dan baik, dan tiada cuai, tiada lengah dan tiada taqsir dengan sedaya upayanya, maka saya berharap orang itu akan diampunkan Allah Ta'ala akan kesalahannya, kerana Allah Ta'ala itu yang maha murah dan yang maha pengampun di atas hamba-hambanya yang ruju’ dan kembali dan taubat kepadanya, sebagaimana kata setengah-setengah ulama, ini sebagai nasihat dan tunjuk ajar dan bukan sebagai fatwa, والله يلهمنا رشدنا ويبصرنا بعيوبنا وينجينا من عذاب النار والله أعلم

FATWA INI SAYA TULIS SETELAH MELIHAT:

1.       Kitab المهذب dan التنبيه oleh Al-Imam Syirazi Syafi’ie yang mati tahun 476 hijrah.

2.       الوجيز  dan  الاحياء  oleh Al-Imam Ghazali Syafi’ei yang mati tahun 505 hijrah.

3.       قواعد الاحكام  oleh Al-Imam ‘Aziuddin bin Abdul Salam Syafi’ei yang mati tahun 660 hijrah.

4.       Kitab-kitab  منهاج الطالبين  dan  الروضة  dan المجموع  oleh Al-Imam Nawawi yang mati tahun 676 hijrah penyusun mazhab kita Al-Imam Asy-Syafi’ei yang mati tahun 204 hijrah.

5.       البهجة  oleh Al-Imam Wardiyyu yang mati tahun 749 hijrah dan syarhinya oleh Syeikh Islam Zakaria Anshari yang mati tahun 926 hijrah.

6.       الانوار  oleh Al-Imam Ar-Dabiliyyu yang mati tahun 779 hijrah.

7.       متن بافضل  oleh Al-Imam Walliyu Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhli yang mati tahun 850 hijrah.

8.       الاشباه والنظائر  oleh Al-Imam Sayuthi yang mati tahun 911 hijrah.

9.       المنهج  dan  شرح الروض  dan  شرح البهجة  oleh Syeikh Al‑Islami Zakaria Al-Anshari yang mati tahun 926 hijrah.

10.     حاشية شرح الروض  oleh Al-Imam Abu ‘Abbas Ahmad Ramli Al-Anshari yang mati tahun 919 hijrah.

11.     مغنى المحتاج  dan  شرح الاقناع  oleh Al-Imam Syarbini Al‑Khatib yang mati tahun 977 hijrah على متن الغاية والتقريب  oleh Al-Imam Abu Syuja’ Ahmad bin Husaini Ishfahani Khadam Masjiddin Nabi di Madinah Al‑Munawarah yang mati di Madinah pada tahun 488 hijrah kuburnya beberapa langkah dari bilik makam baginda Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam .

12.     Kitab-kitab شرح بافضل  dan  تحفة المحتاج  dan  فتح الجواد  oleh Al-Imam Ibnu Hajar Khatimatul Muhaqiqin yang mati tahun 974 hijrah.

13.     فتح المعين  oleh Al-’Allamah Zainuddin Malibari anak murid Al-Imam Ibnu Hajar.

14.     Hasyiyatu Ahmad bin Qasim ‘Abadi yang mati tahun 994 hijrah على التحفة

15.     نهاية المحتاج  oleh Al-Imam Jamal Muhamadur Ramli Anshari yang mati tahun 1004 hijrah.

16.     Hasyiyatul Imam Muhammad Kurdi Mazanni yang mati 1194 هالكبرى  dan   الصغرى على شرح ابن حجر على مقدمة بافضل

17.     Tajridul ‘Allamah Muhammad bin Ahmad Tsaubarri Al‑Azhari yang mati tahun 1069 hijrah على حاشية ابى العباس احمد الرملى الانصارى  yang mati tahun 919 hijrah.

18.     Hasyiyatul Imam Jamal yang mati tahun 1204 hijrah على المنحج

19.     Hasyiyatul Imam Al-Bujairimi ‘Alal Iqna’ Wahasyiyaddu ‘Alal Manhaj yang mati tahun 1221 hijrah.

20.     Syarhul ‘Allamah Sa’id Ba’asyan Hadharmi yang ada kemudian dari zaman Al-Imam Bujairimi Wasyarqawi, ‘Ala Matan Bafadhlin.

21.     Hasyiyatul Syeikh Al-Islami ‘Abdullah Syarqawi yang mati tahun 1226 hijrah على تحفة الطلاب بشرح تحرير تنقيح الطلاب  oleh Syeikh Al-Islam Zakaria Al-Anshari yang mati tahun 926 hijrah.

22.     Hasyiyatul Syeikh Al-Islam Ibrahim Baijuri yang mati tahun 1277 hijrah على فتح القريب  oleh Al-Imam Muhammad Ghaziyul Azhari yang ada tahun 859 hijrah - 918 hijrah.

23.     وسائل الرحمات فيما يطلب لمن مات  oleh Al-”Allamah‘Ariful Billah Ahmad bin Ismail Hulwani Al-azhar yang mati tahun 1308.

24.     فيض الاله المالك فى حل الفاظ عمدة السالك وعدة النساسك  oleh Said ‘Umar berkata Syamiyul Makki di Mekkah yang ada pada tahun 1307 hijrah.

25.     حاشية الاعانة  oleh Al-’Allamah Said Abu Bakar Syathal Makki di Mekkah yang mati tahun 1310 hijrah.

26.     نهاية الزين شرح قرة العين المليبا  oleh Al-Syeikh Muhammad bin ‘Umar bin ‘Ali Nawawi Al-Haman Makki Di Mekkah yang mati tahun 1316 hijrah على فتح المعين oleh Al-’Allamah Zainuddin Abdul Aziz Malibari anak murid kepada Al-Imam Ibnu Hajar.

27.     بغية المسترشديد  oleh Al-’Allamah said Abdul Rahman Al‑Masyhur mufti Hudharmut yang mati tahun 1320 hijrah.

28.     ترشيح المستفيدين على فتح المعين  oleh Al-’Allamah Said ‘Alwi bin Abdul Rahman Saqqaf Makki di Mekkah yang mati tahun 1335 hijrah.

29.     حاشية العلامة محمد محفوظ الترمسى الجاوى المكى  di Mekkah yang ada tahun 1332 hijrah ‘Ala Syarhi Ibnu Hajar ‘Ala Bafadhlin.

30.     البراهين الساطعة على البدع الشائعة  oleh Al-’Allamah AlMudaqqi ‘Ariful Billah Shufi Selamat ‘Azzami Alazhar Syani’i yang mati tahun 1376 hijrah di Mesir.

Semua ulama yang tersebut di atas ini ulama ahli mazhab AlImam Syafi’ei radhiallahu ‘anhum واجعلنا منهم وفيهم

31.     Kitab مراتب الاجماع  oleh Al-’Allamah Ibnu Hazmim Dzahirri ketua mazhab ahli Dzahiriah di Maghribi yang mati tahun 456 hijrah.

32.     الافصاح عن معانى الصحاح  (Al-Bukhari dan Muslim) dalam Fiqh mazhab yang empat, oleh Al-’Allamah Wazir Ibnu Hubairah Hambali yang mati tahun 560 hijrah.

33.     المغنى  oleh Al-’Allamah Ibnu Qudamah Hambali mazhab Hambali yang mati tahun 620 hijrah.

34.     Kitab الفقه على المذاهب الاربعة  oleh Al-‘Allamah Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri saya lihat ia mengajar dibahagian Takhashush di fakulti Usuluddin Al-Azhar tahun 1361 hijrah saya pada masa itu di bahagian tinggi fakulti Usuluddin.  Kitabnya itu dalam Fiqh mazhab empat.


Ini beberapa buah kitab yang kita dapat lihat dan baca dalam mazhab kita Al-Imam Asy-Syafi’ei radhiallahu ‘anhu, banyak sangat kitab yang ditulis oleh ulama syafi’iah, dan ulama syafi’iah yang bekerja dalam hukum halal haram atau dinamakan ilmu Fiqh itu banyak sangat bilangan mereka, apabila kita melihat kitab-kitab ulama yang menulis tarikh hidup ulama syafi’iah atau tarikh ulama yang am seperti kitab حلية الأولياء الامام ابى نعيم , kitab طبقات الشافعية الكبرى للامام التاج السبكى الشافعى , طبقات الشافعية للامام الأسنوى الشافعى ,  طبقات المفسرين للامام السيوطى , طبقات الشفعية للامام العبادى , dan طبقات الشافعية لابن هداية الحسينى  dan lain-lain.

INGATAN

Ulama syafi’iah yang menulis kitab fiqh ada kalanya:  Mereka menyebutkan qaul-qaul  اصح  dan   معتمد  dan adakala mereka menyebutkan semua qaul dalam satu-satu masalah qaul-qaul yang banyak itu bukan semuanya betul, bahkan ada yang karut dan tiada benar, tetapi disebutkan, supaya ulama yang kemudian ketahui bahawa qaul itu qaul karut atau salah yang diheboh-hebohkan oleh orang-orang sesat dan ahli bid’ah dan puak-puak kafir seperti Bathiniah zaman dahulu dan sekarang puak-puak kafir seperti Qadiniah atau jemaah Ahmadiah Muslim (Qadianiah) dan puak Bahai atau Baha`iah, supaya kita ketahui dan kita berjaga-jaga dari qaul-qaul sesat dan kufur itu dari termasuk dalam fikiran kita dan faham kita seperti orang jahil sekarang puasa ramadhan hendak ikut hisab, kata Al‑’Allamah ‘Alwi bin Thahir Al-Hadad Mufti Johor dalam kumpulan fatwanya penggal I:  Ikut hisab itu fikiran Rafidhi zaman dahulu dan fikiran Qadianiah zaman sekarang.

Ulama berkata:  Barangsiapa mengambil segala pendapat dan qaul dalam Fiqh itu, adalah perbuatan itu haram, dan ia akan menjadi sesat dan akhirnya menjadi kufur والعياذ بالله , ulama itu berkata:  تتبع الرخص ليس من الدين ، ولا يجوز تأ سيس مذهب ملفق .  Berkata Al-Imam Al-Ustaz Abu Ishaq Isfirayinni Min ‘Udzama Syafi’iah yang dahulu, dalam masalah mengatakan semua perkara ijtihad itu betul dengan tiada apa-apa qaid dan syarat itu,: أوله سفسطة واخره زندقة .  Ertinya:  ... ... , cakap-cakap kosong, dan akhirnya tiada memegang sebarang ugama (keluar dari sebarang ugama).

Berkata tuan guru kita Al-Imam Adibul Arbi, الموحدالمؤرخ, الفقيه الجدلى المحقق, والمحدث المفصل المدقق,  التقى اللوذعى الالمعى,  الشيخ محمد زاهد الكوثرى رحمه الله تعالى  dalam perkara orang sekarang ikut sebarang qaul dan fikiran:  اللامذهبية قنطرة اللادينية.  Ertinya: Tiada pakai mazhab jambatan keluar dari sebarang ugama.



والله أعلم

[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam


Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei

10 comments:

  1. Sedih kerana tidak menjawab soalan yg ditanya. Perlukah diteruskan melakukan solat sunat spt biasa atau tak perlu tp tumpukan hanya kpd solat qadha semata.

    ReplyDelete
  2. Penanya termasuk org lain mmg telah maklum bahawa wqjib diqadha solat fardhu yg ditinggalkan tp ingin tahu kedudukan solat solat sunat sama ada berhenti dari melakukan nya dan hanya tumpukan kpd solat qadha sahaja. Jawapan tuan yg panjang berjela tidak memberikan jawapan yg memuaskan. Maaf jika saya terkasar bahasa.

    ReplyDelete
  3. Maaf...jawapan tidak menepati pertanyaan. Penanya mmg dah tau tinggalkan solat fardhu adalah berdosa dan perlu dibayar. Apa yg penanya nk tahu ialah berkenaan kedudukan solat sunat sama ada tak perlu buat langsung spt tahyat masjid, tahjud dan lain2 tp tumpukan solat qadha saja. Tak perlukan jawapan yg berjela jela dan lebih keliru. Harap maaf kalau tersinggung....wassalam

    ReplyDelete
  4. Betul jawapan yg terlalu panjang hingga menyukarkan kita mendapat jawapan kpd soalan. Harap jawab yg perlu saja. Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. pening kepala terlalu panjang tiada jawapan...

    ReplyDelete
  6. ada 2 PENDAPAT rupanya.. syukur alhamdulillah ada jalan keluarnya.. boleh rujuk pencerahan yang lebih jelas dengan ustaz Azhar Idrus di sini :

    https://www.youtube.com/watch?v=lVxOFWhOC44

    ReplyDelete
  7. Maaf saya juga rasa jawapan terlalu panjang hingga tiada jalan penyelesaian...

    ReplyDelete
  8. Saya ada kena qada solat bukan sehari tapi bertahun tahun. Saya ada beribu ribu kena qada. Ni saya nak solat taubat, duha, hari raya tak boleh lah? Bertahun tahun ni..? Jawapan tuan tak straight to the point..

    ReplyDelete
  9. .. yg nak ditanya tu pendek jer... jawapan huraian panjang gila... aku baca separuh dah boring tak jumpa2 jawapan dia.. baik cari jawapan
    lain lerr

    ReplyDelete
  10. Tuan tuan memang kurang hajar. Jawapan yang diberi sangat-sangat informatif. Sebenarnya telah menjawap soalan. Korang je yang malas berfikir.

    ReplyDelete