Thursday, May 14, 2015

QADHA BELAKANG IMAM TARAWIH

SEMBAHYANG QADHA DI BELAKANG IMAM
SEMBAHYANG TARAWIKH


Soalan:

Pertanyaan daripada Awang Shahminan bin Haji Awang Tengah, beralamat Rumah Sakit Besar, Brunei. Surat pertanyaan 7.7.83.

Jawapan:

الحمد لله

1.       Disini saya bawa perkataan ulama daripada kitab-kitab Fiqh yang menjadi keterangan dan petunjuk kepada Awang dalam perkara makmum mengikut imam sembahyang, yang sembahyang masing-masing makmum dan imam berlainan tiada sama seperti makmum sembahyang Dzuhur dan imam sembahyang Asyar dan makmum sembahyang Suboh dan imam sembahyang Maghrib dan makmum sembahyang qadha dan imam sembahyang adaan dan sebaliknya.

          Berkata Al-Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Minha:  Sah orang sembahyang tunai mengikut imam yang sembahyang qadha, dan sah orang sembahyang fardhu mengikut imam yang sembahyang sunat, dan sah orang sembahyang Dzuhur mengikut imam yang sembahyang Asar, dan sebaliknya, begitu juga sah orang sembahyang Dzuhur mengikut imam sembahyang Suboh atau sembahyang Maghrib, dan sah makmum sembahyang Dzuhur di belakang imam sembahyang Subuh atau Maghrib sebagai orang masbok, hendaklah ia selesaikan sembahyang Dzuhurnya lepas salam imam dari sembahyang Subuh atau Maghrib itu, tiadalah mengapa ia mengikut imam pada bersama-sama berqunut dan bersama-sama duduk yang akhir pada sembahyang Maghrib itu, dan makmum boleh mufaraqah dan meninggalkan imam apabila itu membuat qunut dan duduk akhir pada sembahyang Maghrib itu tetapi mengikut imam lebih afdhal dari mufaraqah dan harus makmum sembahyang Subuh mengikut imam yang sembahyang Dzuhur menurut qaul Al-Azhar, maka apabila imam bangkit kerana rakaat yang ketiga, maka makmum jika ia suka, ia mufaraqah meninggalkan imam dan ia memberi salam, dan jika ia suka ia tunggu imam supaya ia memberi salam bersama-sama imam itu.  Kata Al-Imam An-Nawawi pada pendapat saya:  Makmum itu tunggu imam lebih afdhal dan lebih kelebihan dari mufaraqah wallahu a’alam.  Dan jika ia boleh qunut dalam rakaat kedua maka dia qunut, dan jika ia tiada boleh qunut maka ia tinggalkan qunut itu dan tiadalah ia sujud sahwi, dan ia boleh mufaraqah meninggalkan imam (mana-mana mufaraqah meninggalkan imam hendaklah dengan ada niat mufaraqah itu), kerana membuat qunut.

          Jika sembahyang kedua makmum dan imam bersalah‑salahan seperti sembahyang fardhu yang lima dengan sembahyang gerhana matahari atau sembahyang fardhu lima dengan sembahyang jenazah maka tiadalah sah makmum mengikut imam dalam sembahyang bersalah-salahan kelakuannya itu menurut qaul Assashih.  Tamat.

2.       Maka menurut kaedah yang disebutkan Al-Imam An‑Nawawi itu maka makmum yang sembahyang qadha Subuh di belakang imam sembahyang Tarawikh maka ia memberi salam bersama-sama imam memberi salam Tarawikh, dan selesai sembahyangnya dan jika makmum qadha sembahyang Maghrib, apabila imam Tarawikh memberi salam ia bangkit menyudahkan sembahyang Maghrib itu, dan dia sebagai makmum masbok yakni makmum yang dahulukan oleh imam pada sebahagian sembahyang begitu juga makmum buat pada sembahyang Dzuhur atau Asar atau Isya bila berimam dengan imam yang sembahyang Tarawikh dan telah maklum sembahyang Tarawikh dibuat dua-dua rakaat dan tiap-tiap dua rakaat disudahi dengan salam.

3.       Makmum yang sembahyang qadha sembahyang lima waktu di belakang imam yang sembahyang Tarawikh, tiadalah berbangkit perkara mufaraqah dan perkara menunggu, bagaimana yang disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta’ala itu.  Wallahu A’alam.

4.       Apa yang diniatkan pada berjemaah sembahyang qadha dengan berimamkan imam yang sembahyang Tarawikh itu, moga-moga Allah beri pahala pada niat itu, kerana Allah Ta’ala maha pemurah dan maha luas kelebihan dan anugerahnya.

5.       Sila baca kaedah dibentangkan oleh Al-Imam An‑Nawawi yang di atas dalam perkara afdhal atau tiada afdhal, dalam perkara makmum masbok sama ada dia mahu menunggu atau mufaraqah.

والله أعلم


[YDM. PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam


Pejabat Mufti, Brunei
Mufti Kerajaan Brunei

No comments:

Post a Comment