SEMBAHYANG HAJAT
BERJEMA‘AH SEBELUM JUMAAT PADA HARI
JUMAAT DI MASJID-MASJID NEGARA BRUNEI
DARUSSALAM.
Soal :
Sebagaimana Pehin sedia maklum, bahawa sembahyang
hajat berjemaah pada hari Jumaat di masjid-masjid seluruh Negara Brunei ini
telah lama berjalan ( jika tidak silap semenjak daripada selepas peruntukan
tahun 1962 ). Bersabit dengan inilah sembahyang hajat itu diadakan bagi memohonkan
kepada Allah agar Brunei
dijauhkan dari malapetaka dan bencana. Hingga sekarang, Alhamdulillah , Negara
Brunei telah menikmati keamanan dan kemakmuranya, dan dengan lembaran barunya
yang gilang-gemilang dan bersejarah mencapai semula taraf kemerdekaan yang tulen lagi penuh berdaulat,
iaitu satu lagi tanda jelas yang menunjukkan negara ini semakin matang dan
teguh, terlepas dari segala unsur kekacauan dan krisis, iaitu suatu rahmat dan
nikmat daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada rakyat dan penduduk
yang kebanyaknnya beragama Islam di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan selaku pewaris yang teguh
beragama kepada ayahanda Baginda, raja yang soleh lagi bijaksana Kebawah Duli
Yang Teramat Mulia Paduka seri Begawan Sultan Haji Sir Muda ‘Omar Ali Saifuddin
Sa‘dul Khairi waddien.
2. Berdasarkan
para (1) di atas serta untuk mengambil
sukut sempena baik kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada awal tahun
1984 ini, maka apakah sesuai ataupun tidak mulai daripada tarikh tersebut kita
tidak lagi mengadakan sembahyang hajat di masjid-masjid pada tiap-tiap hari
Jumaat sebagai salah satu daripada cara kita melahirkan kegembiraan dan
kesyukuran kita keluar dari suasana dan keadaan yang kurang menyenangkan kepada
suatu suasana dan keadaan baharu yang bahagia ?
3. Dipohonkan
ulasan dan fatwa Pehin mengenainya.
Jawab :
الحدلله حمدا يوافى نعمه ويكافى مزيده ،
اَللَّهُمَّ صل وسلم على سيدنا محمد واله وصحبه كلما ذكره الذاكرون وغفل عن ذكره
الغافلون.
Berhubung dengan berlaku angkara yang tiada diingini pada bulan November 1962, di Negara Brunei
Darussalam , maka Allahyarham Mulia Pengiran Syahbandar Qadhi Besar Negara
Brunei Darussalam, telah mengesyor dan meminta diadakan Sembahyang Jumu‘ah , di masjid-masjid seluruh Negara
Brunei Darussalam, dan berjalanlah sembahyang Hajat itu seluruh Negara hingga
hari ini.
Dalam peperangan dunia yang kedua di Timur Jauh dan
Tenggara Asia dan di dalam masa darurat di Malaya Semenanjung Tanah Melayu yang
berakhir pada tahun 1960, maka dalam Negeri Johor, bahawa Jabatan Agama Johor
telah memerintahkan segala masjid-masjid dalam Negeri Johor dan orang-orang
Islam supaya membaca Qunut Nazilah dalam sembahyang waktu, memohon supaya
diselamatkan dari segala kesusahan, sengasara kezaliman, aniaya dan bala yang
terbit dari peperangan dan darurat pengganas itu.
Apabila darurat diangkat pada tahun 1960, maka Qunut
Nazilah dibatalkan dengan rasminya dari Negeri Johor.
Membaca Qunut Nazilah dalam sembahyang Fardhu yang lima itu adalah sunat apabila berlaku sesuatu
kesusahan ke atas orang-orang Islam seperti ketakutan dan kebimbangan dan
kemarau dan banjir.
Berkata Al-Imam An-Nawawi dalam Al-Minhaj :
Disyara‘kan
( yakni sunat ) membaca Qunut dalam segala sembahyang Fardhu yang lima , kerana ada sesuatu
kemalangan yang berat menimpa ke atas orang-orang Islam dan tiadalah disyara‘kan Qunut semata-mata Qunut
sama ada kemalangan yang berat atau yang tiada kemalangan yang berat seperti
qaul Al-Masyor ( yakni salah satu dari qaul Al-Imam As-Syafi‘e yang dipilih dan
ditarjihkan ).
Berkata Al-Imam As-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu dalam kitab Al-Umm dalam masalah sembahyang Jumu‘ah
:
Mereka
telah menghikayatkan bilangan sembahyang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam
Sembahyang Jumu‘ah , maka saya tiada ketahui seseorang daripada mereka
telah menghikayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Qunut
dalam Sembahyang Jumu‘ah , melainkan jika qunut itu masuk dalam kumpulan
qunut-qunut yang ada di dalam sembahyang Fardhu yang lima ketika Qunut sebab
pembunuhan ke atas sahabat-sahabat di dalam kemalangan di tempat بئر
معونة , dan
tiadalah ada qunut pada sesuatu yang lain dari sembahyang yang lima melainkan
qunut pada sembahyang Shubuh, melainkan ada berlaku kemalangan berat menimpa ke
atas orang-orang Islam, maka disyara‘kan qunut dalam semua sembahyang Fardhu
itu, kiranya imam sembahyang suka berbuat begitu.
Sembahyang Hajat itu ialah tujuan mohon sesuatu
daripada Allah Ta’ala atau minta sesuatu daripada manusia, maka barangsiapa ada
sesuatu hajat daripada Allah Ta’ala atau daripada manusia sama ada hajat
mustahak atau tiada mustahak sama ada perkara agama atau perkara dunia, maka ia
mengambil wudhu’ dengan sempurna dengan membawa segala wajib-wajibnya dan
sunat-sunatnya, kemudian ia sembahyang dua raka‘at, kemudian ia memuji Allah
Ta’ala seperti katanya :
الحمدلله
حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم
سلطانك ، الحمدلله حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه dan berselawat di atas Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam kemudian ia :
لا اله الا الله
الحليم الكريم ، سبحان الله رب العرش العظيم ، الحمدلله رب العالمين ، أسألك وجبات
رحمتك ، وعزائم مغفرتك ، والعصمة من كل دنب ، والغنيمة من كل بر ، والسلامة من كل
إثم ، لا تدع لى ذنبا إلا غفرته ، ولا هما إلا فرجته ، ولا حاجة هى لك رضا إلا
قضيتها ، يا آرحم الراحمين ربنا آتنا فى الدنيا حسنة ةفى الآخرة حسنة وقنا عذاب
النار .
Bagaimana tersebut dalam Al-Azkar dan syarahnya
Al-Futuhat Ar-Rabbaniyah.
Kemudian disudahkan dengan selawat dan Alhamdulillah.
Maka dari nash dua kitab Al-Imam As-Syafi‘e dan
Al-Imam An-Nawawi Radhiallahu ‘anhuma, tiadalah disyara‘kan sembahyang Hajat
apabila ada kemalangan berat menimpa umat Islam.
Adapun Sembahyang Hajat yang dibuat sebelum Sembahyang
Jumu‘ah itu, adalah permohonan minta
jauhkan bala. Maka tiada mengapa dibuat akan tetapi Qunut Nazilah adalah
disyara‘kan dan diutamakan menurut dalil di atas ini kerana memohon tolak bala
yang akan datang dan tolak kemalangan berat yang disangka akan berlaku dan
boleh berlaku, dari sebab itu kata sesetengah ulama : Sunat dibaca qunut itu di
dalam Witir yang akhir pada tiap-tiap malam, kerana dalam qunut ada permohonan
hidayah mohon masukkan dalam golongan hamba-hamba Allah yang mndapat hidayah,
mohon afiat dari segala kekurangan sama ada zahir dan batin, sama ada dunia dan
Akhirat, mohon masukkan dalam golongan
hamba-hamba Allah yang afiat , mohon
perlindungan dan peliharaan, mohon masukkan dalam golongan hamba-hamba Allah
yang mendapat peliharaan mohon berkat, mohon jauhkan dari qada yang jahat. Maka
Qunut Nazilah ini lain dari qunut sembahyang Shubuh yang dibaca itu.
Qunut Nazilah itu seperti di bawah ini :
اَللَّهُمَّ إنا
نستعينك ونستغفرك ، ونسئ عليك الخير كله
ولا نكفرك ، ونخلع ونترك من يفجرك ، اَللَّهُمَّ إياك نعبد ونصلى ونسجد ، وإليك
نسعى ونحفد ، نرجو رحمتك ونخشى عذابك ، إن عذابك بالكفارملحق .
اَللَّهُمَّ احفظنا
والمسلمين ، وقنا وإياهم شر المخاوف أجمعين ، واحفظنا من الفتن والوبآء وشرور
الحرب وصولة الظالمين ، واجعلنا من شر ما قضيته سالمين ، وصلى الله على سيدنا محمد
واله وصحبه أجمعين والحمدلله رب العالمين .
Sekarang Sembahyang Hajat telah
dibuat lama dan kemalangan berat seperti yang berlaku tiada berlaku. Maka
tiadalah sebab diteruskan Sembayang Hajat itu dan lagi pula Sembahyang Hajat
itu tiadalah dia lebih utama dari Qunut Nazilah yang disyara‘kan itu dan Negara
Brunai Darussalam semenjak angkara itu sentiasa dalam aman damai dan pada
sempena menyambut Hari Kemerdekaan pada 1 Januari 1984, Maka sayugialah
ditamatkan Sembahyang Hajat pada hari Jumaat di masjid-masjid Negara Brunei
Darussalam.
Molek perkara yang di atas ini
dibawa ke depan Majlis Mesyuarat Agama.
والله أعلم
[YDM. PEHIN
DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL
BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara Brunei
Darussalam
|
Mufti Kerajaan
|
No comments:
Post a Comment