PERIHAL SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID
Soalan:
Di sini saya ada
kemusykilan mengenai dengan solat dan pahala.
Seperti yang sedia maklum, bila seseorang itu masuk ke dalam masjid
adalah digalakkan untuk melakukan solat sunat tahiyyatul masjid terlebih dahulu
sebelum melakukan ibadah yang lain.
Soalan saya, adakah benar pendapat ini, seseorang itu akan mendapat
pahala sunat tahiyyatul masjid, sedangkan ia tidak melakukannya dan terus
sahaja melakukan solat qadha?
Jawapan:
اَلـحَمدُ للهِ الفَتَّاحِ
الوَهَّابِ الهَادِى اِلَى الحَقِّ وَالصَّوَابِ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِهِ
خَاتَمِ الأَنبِيَاءِ وَالرُّسُلِ، وَالِهِ وَصَحبِهِ أَجـمَعِينَ، وَبَعْدُ.
Adalah
benar pendapat yang mengatakan bahawa seseorang itu akan mendapat pahala sunat
tahiyyatul masjid, sedang dia tidak melakukannya dan terus sahaja melakukan
sembahyang qadha atau lainnya sebagaimana akan dihuraikan di bawah ini.
Sembahyang
sunat tahiyyatul masjid dianggap telah terlaksana dengan mengerjakan sembahyang
fardhu atau dengan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat atau lebih dari dua
rakaat. Di dalam hadis diterangkan:
اِذَا دَخَلَ
اَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
(رواه البخارى
ومسلم)
Ertinya: “Apabila salah seorang kamu masuk ke dalam masjid,
maka janganlah dia duduk hingga melaksanakan sembahyang dua rakaat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya
sembahyang sunat tahiyyatul masjid itu dianggap telah terlaksana dengan
mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat sama ada diniatkan atau tidak dalam
sembahyang itu untuk mengerjakan juga sembahyang sunat tahiyyatul masjid, maka
dengan demikian itu gugurlah tuntutan untuk mengerjakan sembahyang tahiyyatul
masjid serta terlepas dari hukum makruh meninggalkannya.
Berkata ulama Syafi‘e:
Tidaklah disyaratkan seseorang yang masuk masjid berniat sembahyang tahiyyatul
masjid dua rakaat, bahkan jika dia sembahyang dua rakaat dengan niat sembahyang
mutlak atau sembahyang sunat rawatib atau bukan rawatib atau sembahyang fardhu
tunai atau qadha atau nazar, maka memadai yang demikian itu dan baginya apa
yang dia niatkan dan hasillah sembahyang tahiyyatul masjid secara ‘dhimnan’
(termasuk juga). Tiada khilaf dalam
perkara ini.
Berkata
lagi ulama Syafi‘e: Jikalau seseorang itu berniat sembahyang fardhu dan
tahiyyatul masjid atau sembahyang rawatib dan tahiyyatul masjid, maka hasil
semuanya tanpa khilaf ulama. المجموع للنووى: 4: 45))
Walau
bagaimanapun sembahyang tahiyyatul masjid tidak terlaksana dengan mengerjakan
sembahyang yang lain yang hanya serakaat, sembahyang jenazah, sujud tilawah dan
sujud syukur.
Sembahyang
tahiyyatul masjid dapat dilaksanakan beberapa kali kerana beberapa kali masuk
ke dalam masjid.
Perkara-perkara yang
menggugurkan tuntutan sembahyang tahiyyatul masjid
1.
Senghaja duduk
sekalipun untuk mengambil wudhu.
2.
Duduk yang lama
kerana tidak tahu, namun apabila hanya sebentar sahaja umpama lupa atau tidak
tahu, tidaklah menghapuskan tuntutan sembahyang tahiyyatul masjid itu.
Perkara-perkara yang
tidak menggugurkan tuntutan sunat tahiyyatul masjid:
(i)
Tuntutan itu
tidak terhapus dengan berdiri sekalipun lama.
(ii)
Kalau orang yang
kehausan masuk ke dalam masjid maka tuntutan untuk mengerjakan sembahyang
tahiyyatul masjid dengan duduk minum kerana minum dengan duduk terhindar dari
makruh dan juga makruh sembahyang dalam keadaan haus.
(iii)
Tidak terhapus
tuntutan mengerjakan sembahyang tahiyyatul masjid kerana sembahyang duduk
sesudah mengangkat takbir dengan berdiri.
Makruh melakukan
sembahyang tahiyyatul masjid
Makruh meninggalkan
sembahyang tahiyyatul masjid tanpa uzur.
Kalau seseorang masuk ke dalam masjid sedang sembahyang fardhu berjemaah
hampir didirikan, seandainya jika dikerjakan sembahyang tahiyyatul masjid
membawa luput fadhilat takbiratul ihram bersama-sama dengan imam, maka
janganlah dikerjakan sembahyang tahiyyatul masjid, tetapi hendaklah berdiri
menanti sembahyang fardhu. Kerana jika
dia mengerjakan sembahyang tahiyyatul masjid atau duduk pada saat itu maka
hukumnya makruh, namun jika tidak luput fadhilat takbiratul ihram bersama
dengan imam kerana mengerjakan sembahyang tahiyyatul masjid, maka tidaklah
makruh mengerjakan sembahyang tahiyyatul masjid pada waktu itu bahkan sunat.
Makruh khatib yang masuk
ke dalam masjid melakukan sembahyang tahiyyatul masjid sedang waktu berkhutbah
telah tiba.
Makruh
masuk ke dalam masjid untuk duduk tanpa wudhu.
Orang
yang masuk ke dalam masjid yang tidak berwudhu atau berwudhu tetapi tidak dapat
mengerjakan sembahyang tahiyyatul masjid kerana sesuatu hal, maka disunatkan
baginya membaca empat kali:
سُبْحَانَ
اللهِ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ ، وَاللهُ اَكْبَرُ ،
وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ
بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
Ertinya: “Maha suci Allah dan segala puji hanya bagi Allah, tiada tuhan
selain Allah. Allah Maha Besar dan tidak
ada daya dan kekuatan melainkan dengan daya dan upaya yang dikurniakan Allah
yang Maha Tinggi Lagi Maha Agong.”
وَاللهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN
JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
No comments:
Post a Comment