WAKTU
SEMBAHYANG MAGHRIB,
Soal:
Pehin,
Dikeluaran
kali ini sukacita Kaola membentangkan lagi beberapa masalah yang masih
meragukan kepada Kaola,
Bilakah
masuknya waktu sholat fardhu Maghrib dan bilakah akan berakhir seperti yang
tersiar di dalam radio dan televisyen waktu berakhir bagi sholat fardhu
Maghrib apabila saja akan masuk waktu sholat fardhu Isya’ sedangkan di dalam kitab ada menyatakan
waktu sholat fardhu Maghrib itu adalah sangat pendek kadar sholat fardhu dengan
di tambah dengan empat raka‘at sholat sunat adakah? melalui Radio dan
Televisyen itu betul dan jika tidak bolehkah pihak Pehin menjelaskannya.
Jawab:
الحمدلله
رب العالمين اَللَّهُمَّ هداية للصواب .
Hendaklah
diketahui bahawa tiap-tiap pekerjaan dan pertukangan itu ada orangnya, maka
kalau sakit sila datang berjumpa doktor, dan kalau hendak buat jambatan atau
titi sila minta nasihat jurutera. Kalau hendak buat rumah sila berunding dengan
tukang pelan, kalau hendak menghantar surat saman sila serahkan kepada
juruhantar saman, kalau motokar rosak pergi berjumpa tukang baiki motokar begitulah
seterusnya.
Kalau hendak
tahu hukum agama pergi berjumpa guru agama dan ahli ilmu agama, yang
benar-benar tahu perkara itu, jangan pergi kepada sebarang orang nanti
kedua-dua yang bertanya dan menjawab tanya itu sesat, kalau tak tahu atau musykil hukum-hukum perkara
mengerjakan haji tanya orang-orang yang benar-benar tahu hukum haji itu dan
jangan ikut kata orang-orang jahil di Makkah itu atau orang-orang haji yang cuma
dapat melepaskan dirinya dalam perkara haji itu.
Jangan
dengar orang-orang berkata begitu dan berkata begini di dalam sesuatu hukum agama
atau hukum sembahyang itu, jangan lekas dengar cakap-cakap orang dalam perkara
hukum agama atau lekas percaya bila membaca sesuatu hukum ditulis oleh orang
dalam majalah atau akhbar atau buku atau siaran atau diceramahkan oleh orang
sekalipun ia profesor atau pengarah atau dato’ atau encik atau pehin atau
lebai, sila lebih dahulu selidik dan lihat kitab-kitab agama yang berkenaan ,
kerana ulama yang pakar-pakar itu telah membukukan masalah atau seumpama
masalah itu dalam kitab-kitab mereka.
Kalau ada
musykil hukum (waktu Maghrib), dari mana mulanya dan sampai ke mana sudahnya,
sila baca Kitabul Mathla‘ Al-Badrain atau kitab Kasyful Litham atau Kifayatul
Muhtadî atau lain-lain kitab seumpamanya atau kitab Fathul Qarib, atau kitabul
Yaqut An-Nafîs atau Safinatun Najâ atau Matanuz Zaid atau Minhaj atau Bi afdhal
dan seumpamanya kitab-kitab itu dipakai dan dii‘tiqâdkan jangan lekas
dengar cakap-cakap orang yang bodoh atau cuma pandai bercakap sahaja kerana
menurut kaedah tiap-tiap kerja ada tukangnya dan tiap-tiap perkara ada ahlinya.
Hukum-hukum
Islam itu telah matang dan masak, kerana telah ia diambil daripada Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat
Baginda dan Tabi‘ien dan Tabi‘ Tabi‘ien
hingga sampai zaman iman-iman yang empat dengan cermat dan teliti dan ditapis
mengikut kaedah mashthalahul hadis, kemudian pengikut-pengikut imam-imam yang
empat menghalusi dan mengkaji hukum-hukum yang dihimpunkan oleh imam-imam yang
empat dan lain-lain imam-imam yang besar, kemudian pengikut-pengikut imam itu
berijtihad dan ? dan istinbath dan mengeluarkan hukum-hukum pada
perkara-perkara yang berlaku pada masa mereka dan perkara yang berlaku pada
masa dahulu tetapi tiada sampai kepada mereka atau belum terang perkara itu
kepada mereka.
2. Segala perkara yang berlaku dan hukum-hukum
yang dikeluarkan ulama Islam di atas perkara itu, sama ada ijtihad itu tepat
atau tiada tepat, maka mereka merekodkan dalam kitab-kitab karangan mereka
supaya orang yang datang kemudian ketahui bahawa perkara seperti itu telah
berlaku dan ulama-ulama Islam memberikan hukum Islam padanya : Ada kala
hukum-hukum dan ijtihad itu berubah dan dapat dalil-dalil dan
keterangan-keterangan yang lanjut maka
semuanya itu direkodkan.
Direkodkan
supaya jangan ada orang-orang yang kemudian berkata saya sudah ijtihad pada
perkara ini padahal ijtihad seumpama itu pada perkara itu telah dibahaskan oleh
ulama-ulama pada zaman-zaman yang lalu, mana yang betul dipakai oleh orang
kemudian dan mana yang salah dan tiada tepat direkodkan dalam kitab-kitab
supaya orang kemudian membuat sempadan dan jangan dijadikan hukum dan buat
pegangan.
3. (1) Ulama telah membuat keputusan berdasarkan
hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam maka awal waktu Maghrib ialah dari terbenam
segala bulatan matahari dalam ufuk dengan ijmâ‘ ulama Islam.
(2)
Habis waktu Maghrib itu ialah hilang syafa‘ merah atau cahaya merah dari
ufuk. Ini pendapat mazhab Al-Imam Abi Hanifah , Malik dan Al-Imam Ahmad bin
Hanbal.
(3)
Adapun dalam mazhab Al-Imam As-Syafi‘e , maka bagi Al-Imam As-Syafi‘e
ada dua Qaul atau dua pendapat maka menurut pendapat Al-Imam As-Syafi‘e masa ia
di Baghdad, maka akhir waktu maghrib itu ialah manakala hilang syafa‘ merah
dari ufuk.
Kemudian
pendapat Al-Imam As-Syafi‘e pada masa ia di Mesir, maka ia berpendapat bahawa
Maghrib itu adalah ia satu waktu iaitu awal waktu.
Kata Al-Imam
An-Nawawi : Satu waktu itu iaitu apabila tenggelam matahari dan berlalu kadar bersuci, kadar menutup
aurat, dan kadar azan dan iqamah dan kadar lima raka‘at sembahyang.
Maka ulama
Syafi‘eyyah telah mengkaji hadis-hadis itu bagi dalil waktu Maghrib itu, maka
berdalil dengan hadis yang mengatakan satu waktu itu adalah lemah, maka
hadis-hadis yang mengatakan akhir waktu Maghrib
berakhir sehingga hilang syafaq merah adalah shahîh dan
banyak.
Berkata
Al-Imam An-Nawawî dalam Al-Minhaj beserta At-Tuhfah oleh Al-Imam Ibnu Hajar ,
waktu Maghrib itu masuk dengan hilang segala bulatan matahari sekalipun masih
ada cahayanya.
Dan kekallah
waktu Maghrib itu sehingga hilang syafaq merah menurut Qaul Qadim bagi Al-Imam As-Syafi‘e , ialah
menurut hadis-hadis yang shahîh yang sarih dan tegas
padanya.
Menurut Qaul
Al-Jadid bagi Al-Imam As-Syafi‘e , ialah sekadar waktu berwudhu’, mandi,
tayamum , mencari air, dan menghilangkan najis dari badan, pakaian dan tempat
sembahyang yakni najis mughallazah , dan menutup aurat, dan mencari
Kiblat dan azan dan iqamah, dan membuat perkara yang sunat dahulu dari
sembahyang dan kadar lima raka‘at bahkan tujuh raka‘at (ini dia kadar waktu
Maghrib menurut Qaul Al-Jadid)
Dalilnya
kerana Sayyidina Jibril sembahyang dua hari bersama-sama Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam di Makkah dengan
begitu, tetapi hadis-hadis yang shahîh yang terkemudian dari Makkah itu berlaku di Madinah
dan hadis-hadis itu banyak rawinya dan lebih sah sanadnya maka hadis-hadis ini
dahulukan dari hadis yang berlaku di Makkah itu dan dipakai hadis-hadis masa
Al-Madinah itu dan ditinggalkan hadis-hadis yang berlaku di Makkah itu.
Ertinya :
Hadis yang menyebutkan sembahyang Sayyidina Jibril ‘Alaihissalam dengan Rasulullah di Makkah dalam masa dua
hari itu, ialah sembahyang pada waktu
fadhilat bukan menunjukan kadar masa Maghrib begitu.
Ada banyak
hadis-hadis yang menunjukan kadar Maghrib, kemudian dari masa di Makkah itu
iaitu waktu masa di Madinah dan masa di Madinah kemudian dari masa di Makkah
iaitu hadis –hadis menunjukkan kadar
lanjut waktu maghrib itu sehingga hilang syafaq merah dari ufuk.
Ringkasnya :
1. Akhir waktu
Maghrib itu berlanjut sehingga habis syafaq merah.
2. Sunat
sembahyang Maghrib itu pada waktu fadhilat iaitu awal waktunya dan sembahyang
pada lain dari waktu fadhilat itu .
3. Makruh
melambatkan sembahyang Maghrib dari waktu fadhilat iaitu awal waktunya dan
sembahyang pada lain dari waktu fadhilat itu.
Berkata
Al-Imam An-Nawawi : kata saya Qaul
Al-Qadim itu lebih zahir kerana Al-Imam As-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu sendiri
telah berkata kiranya hadis itu shahîh maka telah sah hadis-hadis
pada Qaul Al-Qadim itu.
Ertinya :
Al-Imam As-Syafi‘e memakai Qaul Al-Jadid
itu dengan bersyarat kiranya hadis Qaul Al-Jadid itu shahîh dan ulama telah memeriksa hadis – hadis bagi Qaul Al-Jadid
dan Al-Qadim maka didapati hadis-hadis Qaul Al-Qadim itu lebih utama dan lebih
banyak dari hadis-hadis Qaul Al-Jadid dan lebih sah. Jadi ertinya Al-Imam
As-Syafi‘e memakai Qaul Qadim bukan Qaul Al-Jadid.
Jadi dalam
masalah akhir waktu Maghrib ialah hilang syafaq merah pada imam-imam yang empat
itu iaitu Al-Imam-Al-Imam As-Syafi‘e, Abu Hanifah , Malik dan Ahmad bin Hanbal.
Ringkasnya
akhir waktu maghrib hilang syafaq merah dari ufuk dengan itfaq ulama yang empat
, dan itfaq mereka pada sunat sembahyang Maghrib di awal-awal waktu dan Makhruh
menambah-melambat-lambatkan dari awal-awal waktu.
Berkata
Al-Imam Ibnu Hajar dalam At-Tuhfah :
Makruh
dilambatkan sembahyang Maghrib dari waktu fadhilat awal-awal waktu, sebagaimana
telah dinaqalkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi daripada kalangan sahabat dan
ulama yang kemudian.
Dan
orang-orang yang berpegang dengan Qaul Al-Jadid berkata begitu bahawa makhruh
dita’khirkan sembahyang Maghrib dari waktu fadhilat awal-awal waktu.
Ini
difahamkan dari Al-Minhaj , At-Tuhfah, An-Nihayat oleh Al-Imam Ar-Ramlî, dan
Al-Mughnî Li Ibnî Qadamah Al-Hanbalî dan lain-lain kitab Fiqeh Syafi‘eyyah.
(4)
Orang yang menegur dan menyalahkan
orang-orang yang berkata akhir waktu Maghrib itu sehingga hilang syafaq
merah itu, adalh salah dan suka menegur
dengan tiada siasat dan dengan tiada
baca kitab-kitab yang muktabar lebih dahulu dan fahamkan kata-kata ulama Islam
lebih dahulu dan bertanya kepada guru-guru yang faham perkara seperti akhir
waktu Maghrib itu.
والله أعلم
[YDM. PEHIN
DATU SERI MAHARAJA DATO SERI UTAMA
HAJI ISMAIL
BIN OMAR ABDUL AZIZ]
Mufti
Kerajaan,
Negara
Brunei Darussalam
Pejabat
Mufti, Brunei
|
Mufti
Kerajaan Brunei
|
No comments:
Post a Comment